Zaman sekarang semua aspek hidup kita banyak dibantu oleh teknologi, yang menjadikan elemen kehidupan seharian kita bertambah mudah.

Teknologi harus diakui banyak manfaat dan kebaikan tetapi dalam masa yang sama menjadi serampang dua mata, yang turut menyebabkan kita sebagai manusia dan masyarakat menjadi semakin kurang berfikir - kerana adanya teknologi memudahkan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada beberapa perkara dalam hidup kita yang jadi mudah, terlalu mudah, sehinggakan kita hilang banyak kemahiran yang kita bentuk. Adakah kehilangan kemahiran ini akan menggigit kita di masa depan?

1. Bagaimana dulu kita ingat tarikh dan nombor

kenapa kita boleh ingat nombor

Cuba anda sebutkan nombor-nombor telefon individu penting yang patut dihubungi sekiranya berlaku kecemasan. Boleh tak anda sebutkan tarikh-tarikh penting seperti hari jadi atau ulang tahun melibatkan hidup anda?

Satu ketika dulu, mengingati nombor sama ada dalam bentuk tarikh atau urutan nombor adalah satu kemahiran penting. Dengan adanya teknologi khususnya telefon, tidak ramai antara kita mampu mengingati nombor-nombor sebegini.

Sampaikan ada yang perlu rujuk dululah untuk sebutkan nombor telefon atau nombor kad pengenalan pasangan sendiri, hanya kerana di zaman sekarang kita kurang keperluan untuk 'hafal nombor.'

2. Apa kaedah kita bernavigasi tak lama dulu?

lakar peta untuk tahu panduan jalan

Sebelum teknologi GPS benar-benar meluas penggunaannya, masih ingat tak bagaimana kita hendak ke sesuatu tempat? Kita dapatkan alamatnya, kita kenalpasti penanda atau 'landmark' yang memudahkan navigasi kita. Ada juga yang lukiskan peta untuk membantu diri sendiri tahu hendak ke mana.

Kemahiran mengenalpasti penanda persekitaran ni sebenarnya sangat penting untuk seseorang manusia, tak kiralah dia di mana-mana sekalipun. Tetapi bagi kita di zaman moden, perjalanan dah jadi satu pengalaman kosong.

Kita dah biasa bergerak dari satu titik ke satu titik lain tanpa benar-benar cam apa ada di sekeliling kita. Sedar-sedar dah sampai.

Kita tak lagi peduli dengan apa yang ada sepanjang navigasi kerana sistem GPS benar-benar mengoptimumkan perjalanan kita, tetapi dalam masa yang sama banyak sebenarnya perkara yang kita abaikan bila kita guna GPS.

3. Komunikasi terlalu mudah menyebabkan kita ambil ringan banyak perkara

buku nota untuk ingat perkara penting

Bila kali terakhir anda menulis 'peringatan' untuk diri anda sendiri atas kertas, agar anda tidak lupa sesuatu perkara? Apa yang kita usahakan dalam cuba mengingati sesuatu sebelum ini, sebenarnya banyak membantu minda kita jadi lebih tajam.

Tetapi sekarang mudahnya informasi disebar mengakibatkan kita sudah tidak lagi 'mengambil nota'. Ini kerana biasanya informasi itu sudah ada disebar dalam aplikasi kumpulan mesej. Perkara ini jelas menjejaskan pemikiran kita, khususnya di kalangan pelajar sekolah.

Berapa ramai pelajar sekarang menyalin sesuatu dalam buku nota kecil untuk memperingatkan diri? Rasanya dah tak ramai. Kenapa ini berlaku? Kerana mereka tahu guru akan mengingatkan apa perlu dibuat, perlu dibawa, perlu disiapkan dalam aplikasi mesej kelas.

Kita tidak lagi berusaha untuk ingatkan diri sendiri kerana ramai di antara kita lebih suka diperingatkan.

4. AI dan bahayanya

risiko kebergantungan pada ai

Teknologi kepintaran buatan kini semakin menular penggunaannya di kalangan pengguna internet. Tidak dapat kami nafikan, AI banyak kebaikan tetapi dalam masa yang sama, AI JUGA BANYAK KEBURUKANNYA.

Salah satu bahaya paling jelas dan sedang kerap berlaku, adalah bagaimana semakin ramai orang sudah bergantung 100% dengan AI untuk melakukan sesuatu; sebagai contoh menyiapkan tugasan atau esei, menulis surat, menyemak tatabahasa dan sebagainya.

Bagi individu sebegini yang merasakan penggunaan AI sangat-sangat-sangat membantu menyelesaikan kerja mereka, mereka hanya melihat faedah besar yang AI tawarkan. Namun dalam masa yang sama mereka gagal melihat penggunaan AI sebegitu menjadikan mereka kurang berfikir dan langsung tidak mencabar diri untuk jadi lebih baik.

Kami ramalkan dalam 5 ke 10 tahun lagi, akan makin ramai ahli akademik yang kelulusannya tinggi-tinggi tapi bila diminta memberikan pendapat, pendapatnya tiada kualiti. Kenapa itu ramalan kami? Ini kerana semakin ramai graduan dan pasca-graduan yang akan menggunakan AI untuk meluluskan diri sendiri, tanpa benar-benar memajukan diri.

5. Enjin carian buat kita malas rujuk silang

cross reference rujuk silang kemahiran pupus enjin carian

Enjin carian memang sudah lama menjadi sebahagian daripada hidup kita. Tak kiralah anda pengguna Google, Bing, Yahoo atau apa saja enjin carian anda - teknologi ini memang hebat memberikan anda gedung informasi tanpa had yang terbuka 24 jam sehari.

Tetapi kita juga harus sedar realitinya kebergantungan kita kepada enjin carian sebegini sebenarnya turut menjadikan kita sangat malas. Ini kerana kita dah dibiasakan dengan kaedah senang, bila hendak mendapatkan sesuatu maklumat.

Bahayanya adalah kebergantungan ini akan membentuk kepercayaan yang jitu di antara kita sebagai individu, dengan enjin carian kesukaan kita. Apa saja maklumat yang enjin carian papar, kita ambil sebagai fakta tanpa usul periksa.

Apa kemahiran yang semakin hilang bila kita dah biasa dengan enjin carian? Kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran menyemak silang fakta. Kita akan telan bulat-bulat informasi digital depan mata kita kerana kita dah percaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)