Ada orang mudah menceritakan masalah hidup yang dia hadapi kepada kenalan. Ada juga jenis manusia, sangat berahsia sehinggakan seberat-berat manapun masalah yang sedang dia hadapi; dia memilih untuk berdiam diri.
Jika anda mempunyai kenalan, adik-beradik atau saudara-mara sebegini, memang sukar untuk anda membantu mereka kerana besar kemungkinan anda tak tahu pun mereka sedang bergelut dengan masalah kewangan atau kerja.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi ada beberapa petunjuk terbuka yang boleh membantu anda mengenalpasti siapa di antara kenalan anda yang sedang dalam tekanan kerja. Berikut adalah lima tanda paling mudah dikenali kita.
1. Dia mula menceburi bidang ejen
Menjadi seorang ejen, baik ejen jualan hartanah, takaful atau insurans, jualan kereta, penapis air dan sebagainya biasanya bukan pilihan kerjaya pertama kita.
Tetapi bidang ini mempunyai syarat kemasukan yang terbuka, di mana sesiapa saja yang mempunyai kelayakan pendidikan minima boleh menyertai tanpa mengambil kira latar belakang kemahiran atau pendidikan kita.
Oleh sebab itulah biasanya kerjaya sebagai ejen jualan ini menjadi kerjaya pilihan mudah, bagi mereka yang telah kehilangan kerja atau sedang berdepan masalah kewangan. Kebebasan waktu yang diberikan serta peluang potensi pendapatan lumayan menjadikan pilihan ini sering diambil mereka yang sedang sesak.
Seandainya ada di antara kawan anda tiba-tiba jadi ejen, seeloknya janganlah jauhkan diri anda daripada dia walaupun ada kemungkinan dia akan 'menjual' kepada anda. Sebaliknya, berikan dia sokongan moral walaupun anda tak dapat nak jadi client dia.
2. Dia buat e-hailing
Kami sudah membicarakan berkenaan kelemahan ekonomi gig dalam sebuah artikel kami sebelum ini.
Walaupun banyak kritikan boleh dilaburkan kepada sistem ekonomi sebegini, realitinya baik e-hailing, p-hailing atau apa saja bentuk sistem ekonomi gig memang boleh membantu mereka yang sedang berdepan kesesakan hidup memperolehi duit belanja.
Kalau ada kawan-kawan anda tiba-tiba rajin bawa teksi persendirian atau hantar makanan, itu adalah petanda awal mereka sebenarnya sedang dalam masalah kewangan. Bukan semua orang nak jadi ejen jualan, jadi bidang ini biasanya adalah bidang pilihan utama mereka yang telah kehilangan kerja.
3. Dia kata dia work from home
Ada orang yang diberikan peluang untuk bekerja dari rumah, sejak era pandemik dahulu.
Namun ramai juga ketika ini sebenarnya sedang tiada kerja, tetapi menggunakan alasan 'saya sedang work from home' untuk mengaburi mata kita daripada masalah mereka.
Bukanlah penulis nak kata semua orang yang work from home bermasalah kewangan, tetapi ramai lebih selesa mengakui mereka sedang bekerja dari rumah berbanding mengaku mereka sedang tiada sumber pendapatan.
Jika anda ada kawan yang dah berbulan-bulan mengaku dia work from home, tapi tak pernah nampak pun bila dia bekerja - cubalah siasat sikit, agar kita dapat tahu keadaan sebenarnya. Kalau dia susah, bantulah apa yang kita terdaya.
4. Dia mula aktif menjual di media sosial
Menjadi ejen jualan dengan syarikat takaful, hartanah dan sebagainya memerlukan kita mempunyai lesen kelayakan. Keperluan ini memang menjadi kekangan mereka yang sedang kesempitan.
Oleh kerana itulah bagi individu yang benar-benar tersempit, menjadi ejen jualan secara tidak rasmi baik sebagai ejen dropship atau melakukan jualan langsung di media sosial menjadi pilihan. Ini kerana kerja sebegini biasanya memerlukan modal yang minima dan apa yang perlu dilaburkan individu terkesan adalah masa.
Mana yang ada bakat dan kemahiran seperti memasak, menyediakan perkhidmatan cucian dan sebagainya, waktu inilah mereka akan memanfaatkan kemahiran mereka.
5. Dia rajin up status media sosial
Di antara banyak golongan individu terkesan masalah kewangan, petanda inilah rasanya yang paling sukar untuk dikesan. Ini kerana kita sebagai manusia, pasti akan berkongsikan perkara-perkara yang positif saja tentang kita untuk tatapan umum di media sosial.
Jadi sukar untuk kita tahu sama ada seseorang itu sedang bermasalah atau tidak. Bagaimana nak mengenalinya?
Lihat kekerapannya. Media sosial dalam era sekarang sudah menjadi ruang di mana kita melepaskan kekecewaan yang kita rasai dalam hidup. Sekiranya ada di antara kawan, kenalan atau saudara-mara anda yang sebelum ini jarang mengemaskini status tetapi entah tiba-tiba rajin pula up macam-macam...
Besar kemungkinan dia sedang berhadapan masalah, mungkin di rumah, mungkin di tempat kerja.
Media sosial sebenarnya sudah dibuktikan menjadi medan di mana individu bermasalah melepaskan stress mereka serta boleh juga menjadi tempat di mana individu-individu sebegini mendapatkan isi kandungan yang dirasa meredakan apa yang mereka rasai.
Anda ada kawan yang tiba-tiba rajin mengemaskini status? Cuba dekati dia dan tanya, adakah semuanya OK dalam hidup dia?