Sekarang terdapat banyak berita tentang rasuah dan skandal kewangan yang berlaku di negara kita bukan? Tidak semua orang faham dengan integriti. Secara ringkasnya, integriti ini merujuk kepada cara kita bertingkah laku sebenarnya.
Apakah tujuan kita melakukan itu dan ini? Hidup kita ini ada tujuannya. Jadi, bagaimana dengan niat kita? Dan lebih penting ialah cara atau kaedah untuk mencapai tujuan dan niat itu mestilah dilakukan dengan betul dan maksud betul itu pula adalah dengan mengikut ajaran agama dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Dapatkah anda bayangkan apabila amalan integriti sudah hilang dalam diri setiap manusia? Adakah masih wujud ketelusan? Apatah lagi jika perkara tersebut berlaku di dalam sebuah syarikat, di mana integriti merupakan perkara utama yang menjadi nadi perjalanan sesebuah syarikat. Sudah tentu, empayar yang dikatakan sangat hebat bakal rebah jua akhirnya.
Itulah yang terjadi sebenarnya terhadap Enron Corporation, yang juga membawa kepada pembubaran syarikat Arthur Andersen iaitu salah satu daripada 5 firma audit dan perakaunan terbesar di dunia.
Kejatuhan empayar Enron boleh disifatkan sebagai kebankrapan terbesar dalam sejarah Amerika dan menunjukkan kelemahan sistem audit yang digunakan pada masa itu.
Enron Corporation
Enron Corporation merupakan syarikat sumber tenaga Amerika yang berpusat di Houston, Texas. Enron mempunyai hampir 21,000 orang pekerja dan merupakan salah satu syarikat terkemuka di dunia yang menerajui industri elektrik, gas asli, kertas dan komunikasi.
Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1985 yang diasaskan oleh Kenneth Lay setelah Houston Natural Gas bergabung dengan InterNorth. Selepas beberapa tahun berkembang secara domestik dan antarabangsa, Enron terlibat dengan hutang yang bernilai berbilion dolar oleh kerana transaksi dan kontrak yang rumit.
Jadi, semua hutang telah disembunyikan dari pengetahuan pemegang saham melalui penipuan perakaunan, pinjaman haram dan perkongsian dengan syarikat lain yang turut dirancang iaitu dikenali sebagai Skandal Enron.
Skandal itu juga telah mewujudkan banyak persoalan tentang amalan perakaunan dan kegiatan kebanyakan syarikat di Amerika Syarikat dan merupakan faktor utama wujudnya undang-undang Sarbanes-Oxley. Di samping itu, disebabkan skandal inilah syarikat perakaunan besar, Arthur Andersen dibubarkan.
Punca-punca kejatuhan Enron
#1 Perakaunan "Mark to Market"
Perakaunan ini merupakan amalan perakaunan dimana anggaran keuntungan masa depan dari setiap perjanjian direkodkan pada nilai pasaran semasa, bukan pada nilai masa depan atau nilai sejarah.
Dalam perniagaan Gas Asli Enron, perakaunan adalah cukup jelas dalam setiap tempoh masa, syarikat mencatatkan kos sebenar dan hasil sebenar dari jualan yang dilakukan. Setelah Skilling memasuki Enron, beliau meminta Enron mengaplikasikan perakaunan Mark to Market dengan alasan bahawa perakaunan ini akan menggambarkan nilai ekonomi yang sebenar.
Perakaunan Mark to Market ini digunakan apabila kontrak jangka panjang ditandatangani, pendapatan dianggarkan pada nilai semasa bukan nilai pada masa hadapan.
Jadi, apabila menggunakan kaedah ini, pendapatan dari pelbagai projek boleh direkodkan bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kewangan. Namun pada tahun berikutnya, keuntungan tidak boleh dimasukkan dan pendapatan tambahan perlu diperolehi dari lebih banyak projek untuk membangunkan pertumbuhan kewangan bagi meyakinkan pelabur.
Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika Syarikat meluluskan kaedah ini untuk kontrak perniagaan Gas Asli Enron yang seterusnya bertarikh 30 Januari 1992, namun Enron kemudiannya memperluas kaedah ini dalam syarikatnya bagi memenuhi unjuran Wall Street.
#2 Entiti Tujuan Khas (Special Purpose Entities)
'SPE' ini bermaksud syarikat atau perkongsian terhad dicipta bagi memenuhi tujuan-tujuan tertentu untuk membiayai atau menguruskan risiko yang berkaitan dengan aset-aset tertentu.
Syarikat memilih untuk mendedahkan butiran minimum untuk kegunaan 'SPE'. Syarikat ini dicipta oleh penaja tetapi dananya dibiayai oleh pelabur ekuiti bebas dan pemiutang. Untuk tujuan laporan kewangan, syarat menyatakan bahawa 'SPE' adalah berasingan daripada pembiaya.
Pada tahun 2001, Enron telah menggunakan ratusan 'SPE' untuk menyembunyikan hutangnya. Ia digunakan lebih dari sekadar mengelakkan konvesyen perakaunan.
Hasil daripada kesalahan itu, dalam Kunci Kira-Kira Enron, ekuiti direkod lebih banyak dan tanggungan direkod lebih sedikit berbanding nilai yang sebenar menjadikan keuntungan Enron kelihatan sangat tinggi.
#3 Perakuan Pendapatan (Revenue Recognition)
Perakuan pendapatan adalah satu prinsip akaun dimana keuntungan direkod pada ketika perkhidmatan diberikan atau barang dijual bukan pada ketika tunai diterima.
Enron dan syarikat pembekal tenaga lain mendapat keuntungan melalui perkhidmatan seperti perdagangan borong dan pengurusan risiko disamping membina dan memelihara penjana tenaga elektrik, rangkaian paip gas asli, gudang simpanan dan kemudahan pemprosesan.
Ketika mengambil risiko membeli dan menjual produk, peniaga dibenarkan untuk merekodkan harga jualan sebagai hasil manakala kos produk sebagai kos barang dijual.
Sementara agen pula menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan tetapi tidak mengambil risiko sama seperti peniaga dimana agen dibolehkan merekod kos perdagangan dan broker sebagai hasil walaupun nilai yang direkod bukan nilai penuh dalam sesuatu transaksi.
Seperti syarikat Goldman Sachs dan Merrill Lynch yang menggunakan model agen untuk melaporkan pendapatan syarikatnya dimana hanya perdagangan dan yuran broker akan direkodkan sebagai hasil, Enron juga turut terpilih untuk menggunakan model agen ini.
Enron dibenarkan merekod nilai dagangan sebagai hasil dan pendapatan perdagangan Enron meningkat. Dalam 9 bulan pertama pada tahun 2001, Enron mencatat keuntungan sebanyak 138.7 bilion dolar.
Hasil dari keuntungan tersebut, Enron diiktiraf oleh Majalah Fortune sebagai Syarikat Paling Inovatif. Sedangkan pada hakikatnya, Enron tidak mempunyai keuntungan sebanyak itu oleh kerana amalan perakaunan yang diamalkannya.
Walaupun didalam laporan kewangan Enron kelihatan sangat menguntungkan, sebaliknya tunai yang diterima tidak berpadanan dengan barang atau perkhidmatan yang diberikan.
Amalan Perakaunan Enron
Hasil dari konsep-konsep perakaunan yang diguna pakai dan strategi yang tidak berjaya menyebabkan Enron mengalami kerugian yang sangat besar. Tambahan pula, apabila pemilik memberi hak kebebasan penuh kepada pihak pengurusan dalam mengendalikan kewangan syarikat membolehkan mereka untuk menyembunyikan kerugian syarikat dari pengetahuan pemilik dan pemegang saham.
Laporan kewangan Enron pula kelihatan menguntungkan padahal di sebaliknya Enron sedang mengalami kerugian. Pada setiap suku tahun, pegawai syarikat juga perlu melakukan penipuan dalam penyediaan laporan kewangan untuk mencipta ilusi keuntungan berbilion dolar dengan tujuan menarik perhatian para pelabur.
Para eksekutif serta pekerja dalaman syarikat yang tahu tentang akaun luar negeri yang dicipta itu telah menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan para pelabur.
Selain itu, Ketua Pegawai Kewangan iaitu Andrew Fastow yang mengetuai pasukan mencipta akaun palsu ini telah memanipulasi perjanjian yang menjamin dirinya, keluarga serta teman-temannya mengenai pendapatan ratusan dolar dengan mengorbankan syarikat dan pemegang saham Enron Corporation .
Pihak-pihak yang terlibat
1. Kenneth Lee Lay
Kenneth Lee Lay merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Enron Corporation sejak tahun 1985 sehingga 23 Januari 2002 kecuali beberapa bulan dalam tahun 2001 dimana Jeffrey Skilling memegang jawatan itu.
Pada tarikh 7 Julai 2004, Kenneth Lay didakwa oleh juri di Houston, Texas berhubung penglibatannya dalam keruntuhan Enron. Kenneth Lay didakwa atas 11 pertuduhan antaranya membuat kenyataan palsu, penipuan sijil saham, pengubahan wang haram, dan konspirasi dalam dokumen dakwaan 65 helaian.
Walaubagaimanapun hakim menolak pertuduhan yang ke 11 menjadikan Kenneth Lay didakwa dengan 10 pertuduhan. Setiap satu pertuduhan membawa hukuman penjara antara 5 hingga 10 tahun.
Pada tarikh 25 Mei 2006, Kenneth Lay didapati bersalah atas 6 pertuduhan bagi kesalahan menipu dan membuat kenyataan palsu. Kenneth Lay mungkin menerima hukuman selama 45 tahun, walaubagaimanapun beliau meninggal 3 bulan sebelum hukuman dijatuhkan.
2. Jeffrey Keith Skilling
Jeffrey Keith Skilling atau lebih dikenali sebagai Jeff Skilling dilahirkan pada 25 November 1953 dan merupakan mantan CEO Enron Corporation. Skilling mula bekerja untuk Enron pada tahun 1987 dan membantu syarikat dalam memajukan pasaran gas asli.
Skilling telah membuatkan Kenneth Lay kagum terhadap kemampuannya sebagai perunding. Berikutan itu, Lay melantik Skilling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Enron Finance Corporation pada tahun 1990 dan menjadi Pengerusi Enron Gas Services Co. pada tahun 1991.
Dengan menggalakkan strategi pelaburan agresif, beliau membantu menjadikan Enron pemborong perniagaan elektrik dan gas terbesar. Susulan itu, pada Februari 2001, skilling dilantik mmenjadi CEO dengan pendapatan sebanyak US Dolar 132 juta setahun.
Dibawah Skilling, Enron melaksanakan perakaunan Mark to Market dimana anggaran keuntungan masa depan dari setiap perjanjian direkodkan pada nilai pasaran semasa bukan pada nilai masa depan atau nilai sejarah.
Secara tiba-tiba pada Ogos 2001, Skilling meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi dan merancang untuk menjual sebilangan besar sahamnya. Kenneth Lay kemudiannya mengambil semula tugas sebagai CEO.
Skilling didakwa atas 35 pertuduhan atas kejatuhan syarikat Enron. Beliau menyerah diri kepada Biro Siasatan Persekutuan (Federal Bureau of Investigation) pada 19 Februari 2004 dan mengaku tidak bersalah dalam semua pertuduhan.
Pertuduhan tersebut adalah tentang pengetahuan beliau tentang Skandal Enron, penglibatan secara langsung dan juga konspirasi terhadap penipuan syarikat Enron.
Hampir satu bulan setelah meletak jawatan dari Enron, Skilling menjual 60 juta saham miliknya dan mendakwa dirinya berbuat demikian kerana mendengar khabar mengenai Enron yang bakal bankrup.
Pada tahun 2006, Jeffrey Skilling dijatuhkan hukuman terhadap 4 pertuduhan iaitu membuat kenyataan palsu, konspirasi,penipuan sijil saham dan insider trading (kesalahan membeli atau menjual saham berdasarkan maklumat yang belum direrbitkan atau sulit).
Manakala, beliau didapati tidak bersalah atas 9 pertuduhan insider trading yang lain. Pada 23 Oktober 2006 Skilling dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan 4 bulan serta denda sebanyak 45 bilion dolar.
3. Andrew Stuart Fastow
Andrew Stuart Fastow dilahirkan pada 22 Disember 1961 merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Enron Corporation. Fastow mencipta laman web syarikat yang kompleks dimana syarikat ini tidak wujud sama sekali.
Syarikat tersebut kemudiaannya menjalankan urusniaga palsu dengan Enron Corporation bertujuan untuk meningkatkan wang syarikat serta menyembunyikan kerugian yang dialami melalui Kunci Kira-Kira suku tahunannya dan kelihatan seperti Enron bebas dari hutang.
Andrew Fastow mempunyai kepentingan kewangan peribadi samada secara langsung atau melalui rakan kongsi. Andrew Fastow menghasilkan puluhan juta dolar dengan mengabaikan amalan asas perakaunan seperti melaporkan tunai di tangan dan jumlah tanggungan.
Fastow turut memberi tekanan kepada beberapa bank pelaburan yang besar di Amerika Syarikat seperti Merrill Lynch dan Citibank untuk melabur dalam dananya dengan mengancam bank-bank pelaburan akan kehilangan perniagaan masa depan dengan Enron Corporation jika mereka tidak berbuat demikian.
Fastow juga turut mengancam untuk memecat penganalisa syarikatnya jika berani bertindak untuk membocorkan kedudukan kewangan Enron yang negatif.
Pada 31 Oktober 2002, Andrew Fastow diatas 78 pertuduhan termasuk penipuan, pengubahan wang secara haram dan konspirasi. Pada 14 Januari 2004, Fastow mengaku bersalah atas dua tuduhan dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.
Fastow juga bersetuju untuk menjadi informan dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan ketika pendakwaan bekas-bekas eksekutif Enron yang lain bagi tujuan mengurangkan hukumannya.
4. Arthur Andersen
Arthur Andersen, yang berpusat di Chicago merupakan salah sebuah daripada 5 syarikat perakaunan yang besar juga dikenali sebagai The Big Five selain daripada PricewaterhouseCoopers, Deloitte Touche Tohmatsu, Ernst & Young dan KPMG.
Syarikat perakaunan ini menyediakan perkhidmatan perundingan, audit dan cukai kepada syarikat-syarikat besar. Arthur Andersen didakwa bersalah atas tuduhan menghalang keadilan dengan memusnahkan ribuan dokumen serta memadam email dan fail syarikat milik Enron yang diperlukan bagi tujuan audit.
Mahkamah tidak membenarkan menerima audit dari pesalah yang dihukum. Pada tahun 2002, Arthur Andersen menyerahkan lesennya sebagai Syarikat Akauntan Awam selepas didapati bersalah atas tuntutan jenayah yang melibatkan Enron Corporation dan 85, 000 orang hilang pekerjaan.
Kemudiaan, Mahkamah Agung US (Supreme Court) telah menarik balik perintah larangan mengaudit oleh kerana Arthur Andersen tidak diadili dengan sewajarnya dan Arthur Andersen kembali bebas menjalankan operasi.
Walaupun Arthur Andersen masih wujud sehingga kini, namun reputasi syarikatnya terjejas teruk ekoran daripada skandal Enron tersebut.
Kesimpulan dari kisah ini
Oleh disebabkan skandal terbesar ini, Enron Corporation telah dibubarkan dan diorganisasi semula menjadi Enron Creditors Recovery Corporation pada November 2004.
Di samping itu, skandal ini juga menyebabkan wujudnya satu akta yang digelar Sarbanes-Oxley Act 2002 yang digubal pada 30 Julai 2002. Akta ini juga dikenali sebagai 'Public Company Accounting Reform and Investor Protection Act'.
Akta ini dinamakan sempena Senator Amerika Syarikat, Paul Sarbanes dan Perwakilan Amerika Syarikat Michael G. Oxley. Akta ini bertujuan untuk menetapkan piawaian atau dan meningkatkan piawai lembaga, pengurusan syarikat awam dan syarikat perakaunan awam.
Melalui pembongkaran kes ini juga, satu persoalan yang timbul adalah amalan integriti yang hilang dalam diri setiap pekerja Enron Corporation.
Namun begitu, terdapat satu fakta yang tidak boleh dielakkan adalah pekerja di Enron Corporation sebenarnya dibayar dengan sebahagian stok syarikat yang membuatkan mereka lebih bersemangat untuk melakukan tindakan yang tidak beretika demi menaikkan harga stok.
Hal ini disebabkan mereka juga adalah pemegang saham di syarikat tersebut. Jika harga stok jatuh, mereka juga akan terkesan dengan hal tersebut.
Sesungguhnya, Skandal Enron ini telah membuktikan bahawa pengaruh wang sangat kuat terhadap manusia. Apabila ketamakan menguasai diri, apa sahaja boleh dilakukan jika setimpal dengan harga yang ditawarkan bukan?
Tidak hairanlah mengapa banyak kes rasuah dan penipuan kewangan telah berlaku di negara kita. Setiap orang ada tanggungjawab dan tugasnya. Semoga kita masih ada sikap integriti dalam diri untuk mengelak dari perkara yang tidak diingini di kemudian hari.
Mungkin sekarang boleh bersenang-senang menindas sesama sendiri namun mana tahu di alam lain nanti pula diseksa sehingga sesal pun tiada gunanya lagi. Wallahu a'lam.
Anda juga boleh menonton filem dokumentari yang bertajuk 'Enron: The Smartest Guys in the Room' yang diadaptasi daripada buku tersebut.
Sumber :