Seorang guru kungfu, Ren Ruzhi, akan masuk ke dalam gelanggang sebanyak beberapa kali dalam seminggu untuk bertarung dengan lembu jantan yang garang. Biasanya, lembu yang menjadi pesaingnya itu mempunyai berat lima kali ganda berbanding Ruzhi dan mampu membunuhnya.
Pertarungan dengan lembu menggunakan seni bela diri itu membuatkan ibunya risau. Namun, lelaki berusia 24 tahun itu tidak pernah mengalami sebarang kecederaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Bahkan, Ruzhi dari wilayah Zhejiang memberitahu Reuters bahawa pertarungan dengan lembu adalah sesuatu yang amat mengujakan. Ia melambangkan keberanian seorang lelaki.
Li Bo sedang berlatih menumbangkan seekor lembu jantan
Bagi seorang lagi peserta, Li Bo, pada mulanya dia berasa takut kerana sedar akan bahaya berhadapan seekor lembu jantan dan tanduknya yang tajam. Walau bagaimanapun, sebagai seorang pengamal kung fu dia menggunakan kebolehannya itu untuk mengatasi lawannya yang besar dan garang itu.
Tidak seperti pertarungan atau laga lembu Sepanyol yang lebih terkenal, pertarungan lembu di China tidak melibatkan sebarang pedang atau kecederaan ngeri pada haiwan itu. Di China, sukan ini lebih kepada penggunaan pergerakan gusti, kemahiran dan kelajuan kung fu untuk menumbangkan haiwan seberat 450 kg ini.
Seorang peminat sukan ini yang berusia 41 tahun, Hua Yang, berpendapat bahawa sukan pertarungan lembu di Sepanyol adalah lebih kepada persembahan atau pertunjukan.
Pertarungan lembu di China pula adalah satu pertandingan yang benar-benar menguji kekuatan manusia melawan lembu. Banyak kemahiran yang diperlukan dalam pertarungan ini dan pada masa yang sama ia juga berbahaya.
Menurut Han Haihua, sukan ini memerlukan keadaan fizikal yang tinggi. Oleh itu, peserta perlu berlatih secara intensif bagi mencapai tahap yang baik. Haihua yang merupakan bekas penggusti profesional itu adalah jurulatih sukan pertarungan lembu di Sekolah Kung fu Haihua yang dibukanya di Jiaxing.
Haihua yang merupakan etnik Muslim Hui berkata, sukan pertarungan lembu ini pertama kali dikenali di peringkat kebangsaan ialah pada 1982 di Sukan Kebangsaan Etnik Minoriti. Pada waktu itu, Haihua berjaya menjatuhkan seekor lembu jantan yang besar ke tanah.
Sekolah latihan pertarungan lembu kung fu di China
Haihua menggelarkan gaya pertarungan lembu yang diajarnya sebagai "letusan kuasa qigong yang kuat", gabungan kemahiran dan kelajuan seni bela diri dengan teknik gusti tradisional.
Cara peserta memainkan sukan pertarungan lembu di China adalah dengan menghampiri lembu, memegang kedua-dua tanduk haiwan itu, memulas atau memutar kepalanya sehingga lembu jantan itu tumbang.
Haihua memberitahu lagi, peserta perlu menumpukan semua tenaga pada satu titik untuk menumbangkan lembu dalam masa yang singkat. Setiap peserta diberi masa tiga minit dalam satu pusingan untuk menumbangkan lembu. Sekiranya kepenatan atau gagal berbuat demikian, peserta lain boleh masuk ke dalam gelanggang untuk meneruskannya.
Lembu-lembu yang bertanding juga dilatih sebelum memasuki gelanggang. Haiwan ini diajar bagaimana untuk berdiri dengan kedudukan kaki yang betul dan melawan daripada dijatuhkan peserta. Haihua berkata, lembu adalah haiwan yang pintar dan boleh berfikir seperti manusia.
Walaupun haiwan-haiwan yang terlibat dalam pertarungan lembu China ini mendapat layanan yang lebih baik berbanding pertarungan lembu di Sepanyol, aktivis hak asasi haiwan percaya bahawa sukan ini kejam dan menyeksa lembu demi satu hiburan.
Jurucakap bagi kumpulan kebajikan haiwan PETA iaitu Layli Li berkata, selagi sukan ini wujud selagi itulah mereka tidak boleh menafikan bahawa lembu ini terseksa dan menderita.
Bagi Haihua dan peserta-peserta sukan pertarungan lembu China ini, mereka percaya sukan ini lebih dari sekadar hiburan. Apa yang mereka lakukan ini adalah satu displin yang telah diamalkan sejak era Muslim Hui lagi.
Pada zaman dahulu ketika menyambut Hari Raya Aidiladha, kaum Muslim Hui akan melakukan korban lembu. Bermula daripada menjinakkan lembu liar, ia menjadi satu sukan yang popular. Ia adalah campuran antara budaya Hui dan seni bela diri China.
Selain itu, seni bela diri kung fu dilihat semakin diminati semula. Sukan itu juga telah meningkatkan ekonomi di kampung-kampung terpencil apabila ramai penonton dari luar yang hadir dan hadiah lumayan yang disediakan.
Rujukan:
1. Peserta sukan pertarungan kung fu lembu nafi seksa haiwan
2. Peserta menggunakan seni bela diri kung fu untuk menjinakkan lembu
3. Di sebalik sukan pertarungan lembu di China menggunakan kung fu