Ada pepatah mengatakan - untuk mengetahui kekuatan sebenar seorang lelaki, jangan dinilai bagaimana dia menghadapi kesusahan tetapi nilailah dia semasa dia berkuasa.
Pepatah itu ada kebenarannya, kerana kuasa yang dimiliki mampu membuatkan sesiapa lupa diri. Kuasa yang memakan diri jugamencipta musuh yang tidak disedari wujud dan itulah nasib yang menimpa ramai pemimpin dunia masakini.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 insiden kematian melibatkan lima orang pemimpin dunia yang berakhir dengan cara sungguh sadis, membuktikan manusia mampu hilang akal fikiran sehingga hanya mahu mengejar balasan terhadap sesuatu perbuatan.
1. Nicolae Ceausescu (Romania)
Seorang pemimpin aliran komunis, Ceausescu memerintah Romania dalam satu tempoh yang agak panjang daripada tahun 1965 sehinggalah dia digulingkan melalui revolusi tahun 1989.
Revolusi itu bermula satu tunjuk perasaan anti kerajaan pada bulan Disember 1989 di Timisoara, mendesak Ceausescu mengeluarkan arahan kepada tentera untuk menembak mereka yang membantah.
5 hari berikutnya pada 22 Disember 1989, pihak tentera Romania berpaling tadah mula menyokong gerakan tunjuk perasaan yang timbul, setelah melihat kekejaman yang diarahkan sendiri kerajaan Ceausescu.
Tiga hari kemudian, dalam cubaan untuk melarikan diri bersama isterinya menggunakan helikopter selepas dikepung penunjuk perasaan - Ceausescu ditangkap oleh pihak tentera.
Dia terus dibicarakan dan dihukum atas kesalahan menyeleweng dan mengarahkan pembunuhan beramai-ramai, berdepan hukuman ditembak mati oleh pasukan penembak.
Serentak dengan sambutan hari Krismas, Ceausescu dan isterinya memilih untuk ditembak bersama-sama. Mereka berdua diarah berdiri di hadapan sebuah dinding dengan tangan terikat, ditembak sekumpulan penembak mati seramai 3 orang.
Kesemua penembak yang dipilih hanya diberitahu tugasan mereka adalah untuk menembak mati bekas pemimpin negara mereka pada saat-saat akhir, tanpa tiada pilihan lain diberikan.
2. Muammar Gadhafi (Libya)
Muammar Gadhafi adalah antara pemimpin paling lama berkuasa di dunia setelah berjaya mengambil alih pemerintahan Libya sejak tahun 1969.
Berdepan tekanan antarabangsa melalui pencerobohan NATO serta kebangkitan rakyat Libya yang mahu membebaskan diri mereka daripada pemerintahan Muammar, beliau melarikan diri tanpa berjaya dikesan berbulan lamanya diburu pihak pemberontak.
Dalam satu cubaan melarikan diri bersama konvoi beliau selepas tempat asalnya Sirte jatuh ke tangan musuh, konvoi Muammar ditembak tentera NATO menyebabkan dia terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki.
Cuba menyembunyikan diri, Muammar menyorok di dalam sebuah saluran longkang namun kedudukan beliau berjaya dikenalpasti lalu ditangkap orang ramai yang ketika itu mengamuk dahagakan darah.
Muammar diseret, dipukul dan dibelasah. Banyak rakaman amatur memaparkan Muammar merayu kepada orang ramai supaya jangan mengapa-apakan dia.
Rayuannya itu tidak diendahkan, sebelum individu-individu tidak dikenali menembaknya dikepala serta mencucuk duburnya dengan bayonet yang menyebabkan kematian beliau.
Selepas pembunuhan itu mayatnya dipamerkan bersama dua orang lagi sekutu beliau di bilik mayat bagi tatapan rakyat Libya buat kali terakhir, sebelum disemadikan dengan sempurna.
3. Aldo Moro (Itali)
Kisah Aldo Moro merupakan salah satu sejarah paling tragis yang pernah berlaku di Itali.
Moro adalah seorang ahli politik dari parti Christian Democracy memegang jawatan Perdana Menteri Itali selama dua penggal daripada 1963 hingga 1968 dan sekali lagi pada 1974 hingga 1976.
Selepas menamatkan penggal keduanya, Moro terus memegang jawatan Presiden parti yang ketika itu masih memegang kuasa majoriti Parlimen Itali.
Moro dilihat sebagai penghalang utama kepada usaha parti Komunis Itali memegang kuasa atas usaha Moro mahu mewujudkan kerjasama di antara partinya dan parti Komunis Itali.
Pada 16 Mac 1978, Moro diculik semasa dalam perjalanan di Rom bersama dua orang pengawal peribadi, beserta 3 pegawai polis yang menyusul kenderaan beliau. Ketika itu mereka dalam perjalanan untuk menyertai sidang tergempar Parlimen Itali.
Pihak penculiknya kumpulan militan pro komunis yang dikenali dengan nama Red Brigades menuntut pembebasan 13 orang ahli mereka yang ditahan di Turin, sebagai syarat pembebasan Moro.
Walaupun begitu kerajaan Itali menolak permintaan tersebut sebelum badan Moro dijumpai tidak bernyawa dalam sebuah kereta di tepi jalan di Rom, selepas ditembak di bahagian dada.
4. John F. Kennedy (Amerika Syarikat)
Lebih dikenali dengan nama JFK, beliau adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke 35 memegang jawatan tersebut pada Januari 1961 sehinggalah hari dia ditembak mati pada November 1963.
JFK mati ditembak seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang terpengaruh dengan ideologi Karl Marx bernama Lee Harvey Oswald. Oswald berjaya ditahan lebih sejam selepas insiden itu berlaku. Semasa kejadian, JFK sedang dalam perjalanan ke Texas yang ketika itu berhadapan krisis politik.
Lawatan beliau ke Texas digembar-gemburkan kepada media, termasuklah laluan perarakan yang akan dilaluinya setelah tiba di Texas. Pendedahan ini membuka jendela kepada Oswald merancang dengan teliti perancangannya.
Semasa melalui perarakan disaksikan orang ramai yang berdiri di tepi jalan bagi melihat sendiri JFK, tiga tembakan kedengaran tanpa menimbulkan suasana panik kepada hadirin.
Hanya selepas satu tembakan tepat kepada kepala JFK yang menyebabkan kepalanya berkecai, barulah mereka yang berada di dalam kereta tidak berbumbung itu menyedari mereka sedang diserang pihak yang tidak diketahui kedudukannya.
Oswald cuba melarikan diri berjaya ditahan selepas membunuh seorang lagi pegawai polis ketika polis tersebut cuba menahannya.
Dua hari selepas insiden pembunuhan itu, Oswald mati ditembak ketika diiringi keluar semasa dibawa keluar daripada balai polis untuk dipindahkan ke penjara oleh seorang lelaki bernama Jack Ruby.
Insiden tersebut secara tidak sengaja disiarkan langsung dalam saluran televisyen di Amerika Syarikat.
5. Benito Mussolini (Itali)
Pemimpin kepada parti National Fascist Party Itali, Mussolini adalah bekas Perdana Menteri Itali pada tahun 1922 sehingga tahun 1943.
Di bawah pemerintahannya, Itali mengamalkan pemerintahan berbentuk diktator dengan Mussolini memegang kuasa sepenuhnya terhadap dasar-dasar kerajaan.
Namun kegagalan pemerintahan beliau dalam perang dunia kedua menyebabkan Mussolini dijatuhkan melalui arahan Raja Itali ketika itu, Raja Victor Emmanuel III mengakibatkan Mussolini ditahan.
Mendapat bantuan kerajaan Jerman menerusi Adolf Hitler, Mussolini sempat diselamatkan memulakan sebuah parti baru di bahagian utara Itali bernama Repubblica Sociale Italiana pada 1943.
Bagaimanapun, parti baru ini tidak bertahan lama. Hilang kuasa, Mussolini dan perempuan simpanan beliau, Claretta Petacci cuba melarikan ke Switzerland namun berjaya ditangkap kumpulan penentang beliau.
Selepas dikurung beberapa hari dua orang pegawai tentera bernama Walter Audisio dan Aldo Lampredi mendapat tanggungjawab untuk mengambil Mussolini serta Petracci daripada tahanan di sebuah kawasan bernama Dongo.
Kedua-duanya diarahkan berdiri di hadapan dinding sebelum ditembak mati di sebuah kawasan bernama Giulino di Mezzegra tanggal 28 April, sebelum mayat kedua-duanya dibawa dengan van ke Milan untuk dipamerkan pada orang ramai.
Tubuh Mussolini dan Petacci beserta beberapa orang pengikut setia Mussolini digantung terbalik di bumbung sebuah stesen minyak, membolehkan orang ramai bebas untuk melakukan apa saja yang mereka mahukan kepada tubuh-tubuh yang tidak lagi bernyawa itu.