Seorang pesakit kencing manis mempunyai pantang larang pengambilan makanan, terutamanya yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Bagaimana pula dengan pengambilan buah-buahan yang mempunyai kandungan gula secara semulajadi? Adakah ianya dibolehkan?
Bagi menjawab persoalan ini, pihak iluminasi.com telah diberikan kebenaran oleh Dr. Suhazeli Abdullah untuk menerbitkan kembali penulisan asal di laman Facebook beliau. Sila ikuti laman Facebook Dr. Suhazeli Abdullah untuk info-info perubatan terutamanya berkaitan pemakanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Sudah menjadi kefahaman umum bahawa doktor akan menasihati untuk makan buah-buahan dengan kadar yang sedikit bagi pesakit kencing manis. Malah pada masa tertentu doktor akan menghalang terus pesakit tidak memakannya kerana paras gula dalam darah mencanak naik. Kandungan fruktosa dalam buah-buahan juga memainkan peranan penting untuk penghasilan bacaan glukosa dalam darah.
Video Youtube yang mengelirukan
Akan tetapi, terdapat satu sebaran video seorang penceramah dari India yang membuat ujikaji paras gula dalam darah. Penceramah tersebut membuat pembuktian bahawa fruktosa dalam buah-buahan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah melalui mesin glukometer. Darah yang pertama dicampur dengan glukosa, bacaan glukometer tinggi. Sebaliknya apabila darah dicampur dengan fruktosa, bacaannya turun.
Kesimpulan yang beliau buat adalah, makan buah-buahan tidak sesekali akan menaikkan paras gula dalam darah. Kepercayaan yang diberitahu oleh para doktor sejak sekian lama hanyalah tipu. Tuduhan beliau lagi, pihak berkuasa sengaja menutup ‘kebenaran’ ini kerana takut industri perubatan lingkup.
Kesian saya tengok para penonton yang dikelentong oleh beliau. Ujikaji sains ini tidak difahami oleh mereka.
Fungsi Glukometer
Glukometer gunanya untuk kesan kehadiran glukosa dalam darah. Strip yang digunakan mengandungi enzim glucose oxidase. Apabila glukosa darah berindakbalas dengan enzim tersebut, bacaan akan boleh dibaca mengikut paras tertentu. Glukometer hanya untuk tindakbalas glukosa, maka gula fruktosa tidak sesekali akan bertindakbalas. Oleh yang demikian sudah tentu campur sebakul gula fruktosa pun, bacaan glukometer tidak akan mencanak naik.
Bagaimana pula buah-buahan boleh menyebabkan gula dalam darah meningkat? Buah-buahan seperti rambutan, durian, mempelam dan pelbagai lagi mengandungi fruktosa yang tinggi. Apabila kita makan, perut akan memproses dan diserap masuk ke dalam darah. Gula fruktosa itu akan melalui proses penukaran kepada bentuk lain oleh hati:
- 29 - 54% ditukar —> GLUKOSA
- 25% ditukar —> LAKTAT
(Glukosa dan Laktat inilah akan dijana sebagai tenaga kepada sel-sel badan)
- 15-18% pula akan disimpan dalam bentuk GLIKOGEN dan kurang dari 1% ditukar kepada TRIGLISERIDA (Sejenis Kolesterol).
Justeru, gula fruktosa buah akan tetap ditukar dalam jumlah tertentu dalam badan kita walaupun ianya tidak dapat dikesan melalui glukometer.
Nasihat buat pesakit kencing manis
Beberapa nasihat berikut penting kepada pesakit kencing manis dalam penjagaan makan buah-buahan.
- Elakkan pengambilan buah-buahan semasa perut kosong. Ini kerana penyerapan gula fruktosa sepenuhnya (setelah ditukar ke glukosa) tidak dapat ditampung oleh insulin yang lemah atau ubat kencing manis.
- Pengambilan buah disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama, dihadkan kepada 1 hidangan sahaja. Pada masa ini tindakan insulin atau ubat kencing manis adalah optima.
- Maksimum 2 hidangan buah untuk sehari.
Berikut adalah contoh-contoh saiz hidangan buah untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:
- 1 biji sederhana epal/oren/belimbing/pear
- 1 potong nipis betik/nenas/tembikai susu
- 1/2 biji jambu batu/mangga kecil
- 5 biji sederhana rambutan/laici
- 2 biji manggis/jambu air/kedondong/kurma
- 8-10 biji kecil langsat/duku/anggur/longan
- 2-3 ulas sederhana cempedak/durian/nangka
Manakala makanan berikut ini pula mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang cepat.
Senarai makanan yang patut dielakkan atau diminimumkan pengambilannya:
- Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, glukosa
- Madu, jem, kaya, susu pekat manis, sirap.
- Minuman ringan, minuman kordial
- Biskut manis, roti manis, kuih manis, kek, aiskrim, coklat
- Air tebu, air kelapa muda, minuman-minuman yang ditambah gula