Seandainya anda membaca jurnal-jurnal perubatan yang diterbitkan sekarang, anda akan dapat melihat trend bagaimana penyelidik-penyelidik barat - selalu dikreditkan sebagai pencipta yang paling banyak menyumbang dalam bidang perubatan.
Walaupun begitu, kebanyakan penemuan saintis Eropah era moden yang berlaku majoritinya bermula sekitar abad ke 14 sehinggalah tiba ke zaman kita sekarang ini. Bagaimana pula dengan era sebelum itu? Tidak adakah sumbangan yang dilakukan oleh masyarakat lain lebih awal, dalam memajukan kemahiran perubatan dunia?
BESARKAN TEKS A- A+
Ada. Untuk hari ini, mari kita fokuskan kepada lima sumbangan terawal sarjana perubatan Islam yang berjaya membantu masyarakat dunia khasnya dalam bidang kawalan wabak - yang tidak lagi dihebohkan dalam zaman kini.
1. Alkohol
Alkohol merupakan kandungan utama dalam setiap botol pencuci tangan (hand sanitizer) yang kita gunakan. Kajian sudah menunjukkan pencuci yang mempunyai kandungan 60 ke 95% kandungan alkoholnya, merupakan sebatian paling efektif dalam membunuh kuman.
Proses penapaian bagi mencipta alkohol sebenarnya sudah pun diwarisi oleh tamadun manusia sejak 13,000 tahun dahulu, dengan penemuan minuman yang diperam di beberapa kawasan di seluruh dunia.
Bagaimanapun, masyarakat Arab berjaya memperkenalkan teknik penapisan yang lebih moden sehingga mampu menghasilkan serbuk daripada cecair yang dituras beserta larutan yang bersifat pekat.
Disebabkan oleh larangan dalam Al-Quran yang mengharamkan larutan seperti itu diminum, orang Muslim zaman dahulu menggunakannya hanya untuk sebatian ubat-ubatan. Serbuk hitam yang terhasil dinamakan sebagai 'al-kuhl' digunakan sebagai celak mata penghias wajah.
Istilah 'al-kuhul' yang mewakili serbuk itu kemudiannya dipinjam oleh masyarakat Eropah, bagi menamakan larutan yang terhasil akibat proses penapisan yang diperkenalkan oleh pengkaji Arab - digunakan sebagai asas kepada minuman memabukkan yang terus merosakkan minda masyarakat dunia.
2. Kuarantin
Masyarakat barat kerap kali merujuk sejarah penyebaran wabak The Black Death yang berlaku sekitar abad ke 14, sebagai permulaan kaedah kuarantin diperkenalkan. Proses kuarantin mandatori yang dijalankan terhadap kapal berlabuh di pelabuhan Venice, Itali - melibatkan kesemua anak kapal dan barangan di dalamnya, nyata berhasil.
Bagaimanapun, idea awal proses kuarantin sebenarnya telah pun direkodkan oleh sarjana perubatan Islam Ibnu Sina dalam kitab perubatan beliau 'al-Qānūn fī al-Ṭibb' atau 'The Canon of Medicine' yang ditulis pada abad ke 10.
Dalam tulisan beliau, Ibn Sina menjelaskan proses mengasingkan orang ramai dalam kadar 40 hari, digelarkan sebagai al-Arba’iniya atau '40 hari' bagi memastikan jangkitan tidak lagi disebarkan.
3. Bimaristan/hospital moden
Tahukah anda, konsep hospital awam yang menggunakan sistem perubatan secara moden pertama di dunia dibina oleh orang Islam semasa zaman kegemilangan Islam pada tahun 805 bermula di Baghdad?
Umat Islam zaman dahulu menggelarkannya 'bimaristan'; yang bermakna rumah di mana pesakit dirawat dan ditempatkan. Setiap bimaristan yang dibina menjalankan dasar terbuka - menerima sesiapa saja untuk dirawat tanpa mengira etnik, kaum, agama, keturunan dan status sosial.
Setiap pesakit akan diasingkan mengikut kategori penyakit mereka dan bilik juga diasingkan di antara lelaki dan wanita. Pada tahun 1160, akibat perkembangan sistem perubatan Islam - Baghdad saja mempunyai 60 buah cawangan bimaristan! Selain Baghdad, bimaristan turut di bina di Cordoba, Damascus, Kaherah, Sevilla dan Bokhara.
Satu kisah yang berlaku semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah pada tahun 931 - pernah terjadi kesilapan yang dilakukan oleh seorang petugas perubatan sehingga mengakibatkan pesakit meninggal dunia. Hasil penelitian, daripada 860 orang yang ada; 160 orang didapati tidak menepati kemahiran yang diperlukan dalam bidang perubatan.Ini memaksa Khalifah ketika itu, Khalifah Al-Muqtadir mewajibkan semua petugas di bimaristan mempunyai kelulusan dan lesen (pautan pdf)agar mampu mengurangkan kadar risiko kesilapan. Pengenalan lesen wajib ini diletakkan di bawah bidang kuasa seorang pegawai yang digelarkan Muhtasib.
Kewajipan itu memperkembangkan fungsi bimaristan, bukan setakat untuk menjadi rumah sakit malahan mula menjadi pusat pengajian pelajar perubatan.
Pelajar-pelajar tak kira agama dari seluruh pelusuk dunia hadir menuntut ilmu. Hasil daripada penyatuan sistem pendidikan dan perubatan ini, orang Eropah mula kembali memperkembangkan ilmu perubatan mereka yang tergendala - dengan pembukaan sekolah/hospital di Salerno, Montpellier dan Bologna sejak abad ke 11.
4. Idea tentang kuman dan penyebarannya
Sebelum menemui bukti kewujudan kuman, masyarakat Eropah percaya bahawa udara kotor yang menyebabkan wabak.
Idea tentang kewujudan bendasing ibarat kuman yang mampu menyebabkan penyakit, sebenarnya telahpun diutarakan lebih awal oleh Ibn Sina sendiri dalam kitabnya.
Bagaimanapun, oleh kerana Ibnu Sina tidaklah menyangkal sepenuhnya dakwaan penglibatan udara kotor sebagai punca wabak, sebaliknya beranggapan udara saja tidak memadai untuk menyebabkan penyakit. Pendapat beliau, pasti wujud racun atau toksin yang yang bersifat halus dalam udara dan air menyebabkan jangkitan.
Racun ini dipercayai mampu menjangkiti manusia, seterusnya berpindah daripada manusia kepada manusia - tidak hanya terhad kepada jangkitan melalui sedutan udara yang tercemar sahaja.
Walaupun kurang tepat, idea disebalik pandangan awal Ibn Sina terus dikaji sarjana Islam selepas beliau.
Semasa wabak bubonik melanda Granada, Sepanyol pada abad ke 14 yang pada ketika itu dibawah pemerintahan Islam Andalusia - pakar perubatan Ibnu Khatib memperkenalkan teori jangkitan wabak yang mampu berpindah-pindah melalui transmisi dari manusia ke manusia atau melibatkan haiwan.
Pada ketika itu, kemajuan perubatan belum dapat mengenalpasti peranan virus dan bakteria serta vektor atau penyebar seperti tikus dalam rantaian wabak. Penerangan Ibnu Khatib tentang teori jangkitan wabak bagaimanapun tidak sampai kepada masyarakat Eropah, disebabkan oleh sentimen anti Islam ketika itu.
Hanya pada tahun 1863, seorang pengkaji Jerman bernama M.J.Muller membentangkan tulisan hasil kerja Ibnu Khatib (pautan pdf) dalam manuskrip yang dinamakan 'Muq'ni at'.
Pembentangan yang dilakukan semasa persidangan pakar perubatan di Royal Bavarian Academy of Science menjelaskan kejayaan Ibnu Khatib mengeluarkan teori jangkitan wabak dengan tepat hampir 400 tahun lebih awal - membantu pengkaji Eropah memperkenalkan kepada dunia teori kewujudan kuman penyebab penyakit.
5. Pembuatan sabun buku wangi
Sebelum masyarakat dunia mempunyai kemudahan sabun dalam bentuk keras (buku), masyarakat zaman dahulu menggunakan pembersih tangan itu dalam bentuk minyak yang digabungkan dengan herba-herba.
Walaupun demikian, disebabkan oleh campuran bahan-bahan tadi itu dengan lemak haiwan - ini akan menyebabkan bau sabun yang terhasil kurang menyenangkan.
Pada zaman kegemilangan Islam, seorang pencipta dan ahli kimia bernama Muhammad bin Zakariya al-Razi yang berketurunan Parsi, berjaya mencipta resipi bagi memproses sabun buku yang berbau wangi.
Dengan menggunakan sebatian alkali, limau dan kacang, serta teknik mengadunkan kesemuanya menggunakan tembikar dan acuan kayu - sabun yang dihasilkan berdasarkan resipi al-Razi mengubah industri sabun, sehinggakan masyarakat Eropah turut sama menjadi pengguna utama sabun produk orang Islam.