COVID-19, nama penyakit pandemik yang sedang melanda dunia ketika ini memerlukan masa yang agak lama untuk ditumpaskan.
Walaupun kita telah mengenal pasti kes positif pertama seawal bulan Disember 2019, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan nama rasmi untuk penyakit ini dan virus penyebabnya pada Februari 2020.
Di antara tempoh tersebut, lebih daripada 60,000 orang dijangkitinya serta lebih dari 10,000 terkorban.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan walaupun namanya agak ringkas dan mungkin kelihatan seperti remeh, namun pelbagai pertimbangan dilakukan dalam menentukannya.
Terdapat kes-kes di mana nama-nama yang kurang sesuai diberikan kepada penyakit menyebabkan masalah diplomatik, stigma terhadap etnik yang terjejas, pengabaian terhadap haiwan berjangkit, sekatan perdagangan dan perjalanan yang tidak adil serta banyak lagi.
Malah, pemilihan nama yang sesuai sangat penting bagi mengelakkan panik berlaku.
Oleh itu, WHO menyediakan garis panduan "Do's & Don'ts" bagi proses penamaan virus yang tidak diketahui atau penyakit baharu.
Larangan penamaan penyakit (Don'ts)
Garis panduan dalam menamakan sesuatu virus atau penyakit lebih banyak melibatkan "Don'ts" berbanding "Do's".
WHO mendesak pihak berkenaan mengelakkan penggunaan tag geografi seperti bandar, negara, wilayah dan bahkan benua, nama orang, haiwan, atau makanan yang terkesan, sebarang kiasan terhadap komuniti, budaya, pekerjaan atau industri tertentu, atau istilah apa pun yang mungkin akan menakutkan orang ramai.
Menamakan penyakit berdasarkan wilayah asalnya telah menjadi amalan biasa selama berabad-abad.
Sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS), penyakit virus Ebola atau demam berdarah Ebola, demam Zika atau penyakit virus Zika, serta selesema Sepanyol adalah beberapa penyakit yang dikaitkan dengan lokasi geografi.
Sebelum digelar secara rasmi sebagai COVID-19, penyakit yang sedang membelenggu kita ketika ini disebut sebagai "Virus Cina" atau "Virus Wuhan" oleh kebanyakan orang.
Malah, beberapa tokoh politik terkenal juga menggunakan istilah tersebut dalam merujuk kepada COVID-19, termasuklah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pastinya menamakan sesuatu penyakit itu bersempena lokasi asalnya kelihatan seperti masuk akal, namun ini akan mendedahkan masyarakat yang terkesan dengan penyakit ini terhadap xenofobia dan diskriminasi bangsa atau budaya.
Terdapat kes di mana individu yang mempunyai kaitan jauh dengan kawasan yang terjejas telah dibuang kerja atau diarah mengambil cuti, kanak-kanak dibuli kerana warisan budaya mereka, dilarang daripada memasuki ke tempat-tempat tertentu dan banyak lagi.
Di negara-negara tertentu seperti Amerika Syarikat, ini boleh menyebabkan layanan terhadap golongan minoriti bertambah buruk, seperti orang Afrika oleh wabak Zika dan Ebola, serta orang Asia akibat wabak SARS dan MERS.
Kadang kala, penamaan berdasarkan geografi mungkin tidak langsung merujuk kepada tempat asal yang tepat.
Sebagai contoh, pandemik influenza pada tahun 1918 disebut sebagai selesema Sepanyol, tetapi asal-usulnya masih menjadi misteri.
Dalam dunia pasca-Perang Dunia 1, di mana setiap negara berusaha menyelamatkan reputasi dan dengan liputan media yang terhad, Sepanyol yang merupakan sebuah negara Eropah yang nuetral terus melaporkan status kesihatan warganya dengan telus.
Secara semula jadi, penyakit ini mula dikaitkan dengan Sepanyol dan akhirnya disebut sebagai selesema Sepanyol di seluruh dunia.
Selain lokasi geografi, penyakit-penyakit juga dikaitkan dengan komuniti tertentu atau binatang, dan setiap keadaan yang membawa kepada pelbagai kesan.
Sebelum dikenali sebagai Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (Acquired Immunodeficiency Syndrome - AIDS), penyakit kelamin ini biasanya disebut sebagai kekurangan imun yang berkaitan dengan Gay atau GRID.
Walaupun penyakit ini tidak terhad kepada lelaki homoseksual, namun beberapa kes pertama melibatkan golongan berkenaan.
Penggunaan GRID dan bukannya AIDS, di awal penularan wabak HIV telah menambahkan kesan buruk terhadap masyarakat yang sememangnya telah terpinggir.
Istilah ini juga menghalang penerapan langkah pencegahan dan kawalan.
Perkara yang sama berlaku melibatkan wabak selesema babi pada tahun 2009 yang membawa kepada pengabaian secara besar-besaran terhadap haiwan berkenaan.
Virus yang tidak diketahui ketika itu (H1N1) menyerupai strain influenza yang diketahui menjangkiti babi dan oleh itu menyebabkan ia diabaikan.
Sesetengah kerajaan memerintahkan penyembelihan haiwan ternakan ini di seluruh negara walaupun tidak mempunyai sebarang kaitan dan orang ramai mula mengabaikan daging babi serta produk lain yang berkaitan dengannya.
Ini sekaligus mengakibatkan kerugian besar bagi industri penternakan babi.
WHO juga menyekat penggunaan istilah seperti "maut", "mematikan" atau "tidak diketahui", kerana ini boleh menimbulkan ketakutan dan menyebabkan panik global.
Perkara yang dibenarkan (Do's)
WHO mengesyorkan menggunakan istilah yang bersifat umum tetapi juga spesifik, sehinggalah Jawatankuasa Antarabangsa Taksonomi Virus (ICTV) dan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) mengesahkan nama kekal bagi sesuatu virus atau penyakit baharu.
Adalah tetapmenjadi tanggungjawab pihak penemu (saintis atau pihak berkuasa nasional) untuk mencadangkan beberapa nama yang sesuai untuk virus dan penyakit manusia yang baru ditemui.
Nama itu haruslah saintifik dan tidak membawa kepada masalah sosiopolitik di mana WHO telah memberikan garis panduan bagaimana mengumpulkan nama yang saintifik serta tidak menyinggung perasaan.
Pertama, nama tersebut mestilah merangkumi istilah umum untuk menggambarkan ciri-ciri asas penyakit ini.
Istilah ini boleh merujuk kepada gejala klinikal atau proses fisiologi yang terjejas (hepatitis, cirit-birit, imunodefisiensi, dll.) terhadap pesakit yang dijangkiti.
Sebagai contoh, SARS dan MERS memasukkan istilah 'pernafasan' kerana sesak nafas adalah gejala utama bagi kedua-duanya.
Sebarang rujukan anatomi atau patologi (jantung, gastrointestinal, dll.) juga boleh dibuat.
Istilah penjelasan yang lebih khusus ditambahkan apabila terdapat lebih banyak data dan fakta kukuh mengenai penyakit ini.
Ini merangkumi istilah yang menerangkan tentang epidemiologi dan asal-usul penyakit (akut, zoonosis, kongenital, berjangkit, dan lain-lain), dan keparahannya (ringan, teruk, dll.).
Nama itu juga boleh disertakan dengan populasi dan kumpulan umur pesakit yang jelas (remaja, ibu, dll.).
Sekiranya penyakit ini bermusim atau khusus terhadap persekitaran tertentu, maka istilah seperti musim panas, musim sejuk, atau bawah tanah, gurun, pesisir, paya dapat digunakan, dengan syarat cukup bukti yang ada.
Tambahan pula, jika patogen penyebab (virus) telah dikenal pasti, nama rasmi (coronavirus, salmonella, virus influenza), bersama-sama dengan istila deskriptif (novel, varian, sub-jenis), harus dimasukkan sebagai sebahagian daripada nama penyakit ini.
Sekiranya terdapat persamaan dengan penyakit lain, tahun penemuan yang baru (dengan atau tanpa bulan) harus disertakan.
Mempunyai banyak istilah boleh membuatkan nama penyakit menjadi panjang, jadi akronim yang sesuai juga harus dinilai terlebih dahulu.
Rujukan:
1. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) [1] [2]
2. Science