Kejujuran adalah satu nilai peribadi yang perlu ada dalam diri setiap insan serta sangat dihargai sekiranya diterapkan ke dalam amalan harian.
Walaupun demikian ada ketika dan waktunya hendak tak hendak kita terpaksa melanggar prinsip ini, perlu bercakap tidak benar - berbohong atau menipu demi memelihara diri sendiri. Apakah situasi-situasi tersebut?
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima situasi yang kami rasa dibenarkan bercakap bohong, berdasarkan pengalaman kami. Anda ada tambahan anekdot anda?
1. Kawan berminat nak tahu gaji kita dah masuk ke
Bagi ramai anak muda khususnya mereka yang tinggal di kawasan kota, duduk menetap bersama kawan-kawan merupakan salah satu cara kita bersama memikul beban kehidupan.
Hidup pula dari gaji ke gaji, dengan detik gembira hari masuk gaji ke akaun menjadi satu penantian. Kadangkala bila masuk gaji kita, tahu-tahu ada pula seorang kenalan yang berminat nak tahu gaji kita dah masuk ke? Padahal sebelum tu tak pernah dia berminat nak tahu tahap kewangan kita.
Ada orang yang tanya sekadar bertanya. Ada juga yang bertanya dengan menyimpan tujuan lain; nak meminjam duit, lagilah sekiranya dia memang ada reputasi sedemikian. Dalam situasi sebegini, memang lebih elok kalau kita bercakap benar - tetapi bagi yang malas nak memanjangkan cerita, tipu saja dia.
Bulan depan dia tanya lagi, cakap saja 'belum' biar dia pelik kenapa dah dua bulan gaji kita tak kunjung tiba.
2. Boss tiba-tiba nak tahu weekend ni kita free tak
Salah satu perkara paling menakutkan dalam hidup seorang pekerja adalah apabila orang atasan kita, baik CEO, supervisor, manager dan sebagainya tanpa dijemput datang kepada kita dengan tersengih-sengih dan bertanya :
"Weekend ni free tak?"
Fuh. Soalan sebegini memang susah kita nak kalih, kerana kebanyakan pertanyaan ini akan menjurus kepada 'paksaan' untuk kita kerja pada hujung minggu. Tapi ada juga peluang yang sangat, sangat, sangat tipis boss kita nak belanja kita makan weekend tu.
Apa perlu kita jawab? Jangan jawab 'belum ada plan.' Pastikan anda jawab 'ada plan dah. Kenapa boss?' walaupun anda sebenarnya rancang nak tidur dua hari. Jika dia terus beralih ke rakan sepejabat anda yang lain dan tanya soalan sama - bersyukurlah anda dah terlepas kena kerja hujung minggu.
Walaupun demikian dalam masa yang sama bersyukurlah sekiranya anda dapat boss yang masih bertanya soalan ini. Ada jenis-jenis boss tak tanya langsung - terus kata 'kau kena bertugas weekend ni. Wajib.'
3. Apabila anda ditegur ejen jualan yang terlebih mesra
Kadangkala kita tengah-tengah bergegas selepas selesai membeli barang-barang keperluan rumah, datang pula seorang ejen jualan dengan muka manis cuba menjual kepada anda.
Tak kiralah dia nak jual insurans ke, penapis air, kad kredit, langganan buku kanak-kanak dan sebagainya; majoriti kita ni memang tak suka kena ganggu kan? Apatah lagi bila kita nak cepat.
Jika dia jual insurans, nak elak perkara berlanjutan katakan saja anda dah ada insurans lain. Kalau dia dari syarikat X, bohongi dia dengan kata anda pelanggan syarikat Y dengan jumlah perlindungan 5 juta.
Ada ejen mengekori anda nak juga cuba jaja kad kredit kepada anda? Cakap pada dia anda dah ada lima kad kredit, padahal yang betulnya kita hanya ada RM5 dalam baki akaun kita.
4. Bila peminta sedekah hadir dengan syarat
Di antara semua hujah yang kami sampaikan, ini yang mungkin membuatkan kita akan ada rasa bersalah dalam hati.
Membohongi peminta sedekah memang berat perasaannya, tapi ada masanya kewangan kita sendiri di tahap kritikal dan ngam-ngam saja bakinya.
Ada juga peminta sedekah yang jenis agak tak malu, dah bagi RM2 dia tanya pula kita RM5 tak ada ke? Amboi, banyak cantik jenis peminta sedekah macam ni. Dalam situasi sebegini, memang lebih eloklah kita tipu saja dia.
5. Detik bila isteri tanya kita 'saya gemuk ke?'
Inilah wajah isteri anda sekiranya anda menjawab secara jujur soalan maut ini
Bagi suami-suami - walaupun kita adalah jenis manusia yang jujur, ikhlas dan amanah, dengan isteri janganlah sama sekali terlalu jujur dengan mereka.
Orang perempuan ni ramai antara mereka yang gemar mendengar ayat-ayat manis diucapkan oleh suami, khususnya apabila melibatkan bentuk badan mereka. Setiap kali isteri anda bertanya 'saya gemuk ke?' pastikan anda secara automatik terus jawab 'tak.'
Walaupun jelas saiz badan isteri agak meningkat berbanding saiz sebelum nikah.
Begitulah juga dengan soalan 'baju ni cantik ke?', 'awak rasa saya ni lawa ke?', 'awak rasa kawan saya yang hot tu cantik ke?' dan bermacam lagi jenis soalan yang akan ditanya kaum wanita kepada lelaki yang dicintai mereka.
Ya kita terpaksa menipu dalam banyak situasi, tapi kita menipu demi cinta. Nak buat macam mana kan? Memang ramai perempuan semasa mengandung, badannya naik dan tak turun-turun walaupun dah bersalin.
Yang dikandungkan pun, anak kita juga. Teruskanlah berbohong demi isteri yang bahagia.