"Assalamualaikum, wakaf Quran Encik! Tuan!" tanya Ida kepada orang yang lalu lalang. Ramai yang hanya sekadar tersenyum lalu berlalu pergi.
"Assalamualaikum Puan, wakaf Quran?" tanya Ida lagi. Wanita itu hanya menggelengkan kepala.
"Saya tak tahu mengapa susah benar kita nak dapat orang yang nak wakaf, Ida," kata Nur yang dah duduk, dek kepenatan menegur orang yang lalu lalang tanpa dapat banyak reaksi positif.
BESARKAN TEKS A- A+
"Susah sikit la kak sekarang. Banyak sangat dah berita tersebar pasal syarikat yang hanya nak jual Quran guna alasan nak wakaf ni," jawab Ida.
Nur mengangguk lemah, "sebab nila setitik, rosak susu sebelanga."
"Saya tengok penerimaan orang untuk wakaf telekung ke, buku ke misalnya, baik saja sambutan, tetapi tak ada lah nampak kritikan teruk dilontar pada mereka," soal Ida. "Orang kita lebih percaya mereka barangkali?"
"Orang kita dah skeptikal Ida, sekarang ini sikit-sikit dikatanya penunggang agama, walhal sebenarnya ramai saja pihak yang benar-benar ikhlas nak buka peluang memudahkan orang berwakaf," kata Nur.
"Persepsi orang kita sendiri lah ni, susah nak diubah. Entah kenapalah bila berkaitan agama sendiri, kita jadi takut. Terlalu kerap sangat dimomok dengan perkara yang membuat kita risau nak beramal, macam sedekah pun orang kita dah takut benar nak buat," Ida mengongsikan pandangannya.
"Takut kena tipu," sambung Ida.
"Dalam fesbuk saya pun penuh orang kutuk makcik-makcik yang jual keropok, yang datang dari Pattani tu. Entah kenapalah itu pun nak dikutuk," soal Nur. "Tak mau beli, tak payah lah beli, bukan susah pun. Kenapa pula perlu dihina dan dikata macam-macam pada makcik tu."
"Penyakit hati, kak," kata Ida. "Ramai sangat orang kita yang tunggu masa saja nak tengok orang lain buat salah. Apatah lagi bila melibatkan orang atau institusi yang ada kaitan besar dengan agama Islam."
"Ramai yang lupa tu dik, yang kita semua buat silap? Sebaik-sebaik mufti ke, penjaga Kaabah ke, tok guru pondok ke, semua akan buat silap," kata Nur.
"Salah orang kita jugak, sebab memang ramai yang guna agama sebagai topeng dia kaut untung dunia," balas Ida.
"Salah kita juga lah, bila jadi macam tu, seorang buat, habis kita label semua yang tak berkenaan, terpalit sama," kata Nur. "Nanti lama-lama yang merana orang kita jugalah, kan?"
Ida mengangguk. Nur bangun menegur sebuah keluarga yang berjalan di depan mereka.
"Wakaf Quran Encik," tegur Nur.
Anak-anaknya nampak berminat nak mendekati gerai wakaf mereka tetapi ibu bapanya cepat-cepat menarik anaknya supaya beredar.
"Tu tipu tu. Diorang nak jual je," si ibu cuba berbisik pada anak-anaknya, tetapi tetap dapat didengari mereka berdua. Ida dan Nur hanya memandang satu sama lain sambil tersenyum. Dah kerap benar berlaku.
"Orang kita jual arnab pun, dikatanya jual anjing kak," tersenyum Ida. "Sampai viral kena kutuk, walhal dia pun Melayu, Islam."
"Teruk sangat syak wasangka sesama kita ni," kata Ida.
"Memang susah hendak beramal dalam dunia di mana fitnah sudah diambil sebagai kebenaran tanpa usul periksa ni," kata Nur, menarik muka. "Orang kita tak dah peduli untuk menilai sesuatu perkara dengan minda."
Ida senyum sahaja.
"Macam cikgu kita kata haritu, sindrom 'lebih baik syak wasangka dan jangan cepat percaya' nampaknya semakin kuat dipegang orang kita," kata Ida.
Nur dan Ida kembali duduk. "Kita kena kembalikan rasa ikhlas dan percaya keadilan Tuhan Yang Maha Esa akan terlaksana juga di Akhirat sana. Orang kita terlalu takut kena tipu, sampaikan nak bagi seringgit pun tak berani."
Sepasang lelaki dan perempuan lalu di depan mereka. Ida dan Nur kembali berdiri lalu cuba bertegur sapa.
"Wakaf Quran Encik?" Lelaki dan wanita itu hanya mampu tersenyum lalu berlalu pergi. Entah apalah yang bermain di dalam kepala mereka berdua agaknya.