Dalam industri muzik, peranan vokalis biasanya teramat penting yang menentukan identiti sesebuah kugiran. Suara seorang vokalis bertanggungjawab membawa emosi dan watak setiap karya lagu-lagu yang dimainkan.
Namun, tidak semua vokalis terkenal dalam kugiran besar disukai semua. Ada yang suaranya walaupun dianggap unik sesetengah pendengar, bagi yang lain boleh menjadi sumber ketidakselesaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Faktor seperti nada, gaya penyampaian dan teknik vokal memang mempengaruhi persepsi pendengar dan kelainannya kadang-kadang sedikit menyakitkan telinga. Berikut adalah enam kugiran dengan vokalis yang sering kami anggap mengganggu halwa telinga kami.
1. Smashing Pumpkins
Billy Corgan dari kumpulan Smashing Pumpkins mempunyai vokal yang agak cenderung berbunyi seperti tidak cukup angin keluar dari hidungnya, sehingga ada kalanya membawa identiti yang menjengkelkan bila didengari.
Gaya penyampaiannya pula penuh emosi tetapi vokal beliau memiliki ketajaman suara yang membuatkan sesetengah pendengar merasa tidak senang duduk.
Bagi mereka yang menyukai muzik alternatif dan grunge, suara Corgan harus kita akui tinggi keaslian dan lantunannya. Namun, sukar untuk banyak pihak menggemari suara tersebut khususnya bila Corgan cuba membawa nada tinggi.
Tapi cakaplah apa pun, kami yakin peminat Smashing Pumpkins pasti akan mempertahankan Corgan, kerana suara Corgan adalah identiti utama kugiran tersebut.
2. Red Hot Chili Peppers
Anthony Kiedis dari kugiran yang masih kekal aktif dan cukup terkenal Red Hot Chili Peppers (RHCP) mempunyai gaya vokal yang eklektik sering berubah-ubah, menggabungkan elemen rap, nyanyian dan percakapan.
Walaupun vokalnya nyata tunjang utama karya RHCP, ia juga menjadi sumber kritikan. Gaya penyampaiannya yang berubah-ubah dan tidak konvensional boleh dianggap tidak konsisten dan mengganggu khususnya ketika Kiedis cuba menyanyi rap.
Bagi pengkritik RHCP mereka semestinya merasa suara Kiedis kadang-kadang tidak sepadan dengan muzik kugiran tersebut yang menampilkan barisan pemuzik legenda, menjadikan pengalaman mendengar kurang menyenangkan.
3. Fall Out Boy
Vokalis Fall Out Boy, Patrick Stump dikenali dengan kemampuan vokal yang kuat dan bertenaga, kerana lagu kugiran itu jelas rancak dengan tempo yang tinggi.
Bagaimanapun kenapalah gaya nyanyiannya susah nak difahami, tidak jelas apa butir-butir liriknya satu persatu dan kadangkala kedengaran seperti ayam tercekik bertih jagung gergadi?
Persembahan beliau pula seakan berlebih-lebihan setiap kali nada tinggi diperlukan, dengan vokal yang sengaja dinaik turunkan melampau dengan penambahan vibrato pada tahap maksima.
4. Creed
Di antara kebanyakan kugiran dalam senarai ini yang mempunyai vokalis dengan suara menjengkelkan, Creed berada dalam kategori berbeza.
Scott Stapp, vokalis kugiran ini bukan saja mempunyai vokal yang annoying gila tetapi perwatakannya juga layak dikatakan annoying sehingga menyebabkan dia sering bertelagah dengan rakan sekumpulannya.
Stapp tidak kita nafi mempunyai vokal yang lantang dan berkuasa, tetapi gaya penyampaiannya yang terlalu dramatik dan berlebihan ketika di atas pentas memang mengundang kemarahan.
Selain itu teknik nyanyiannya juga seakan-akan cuba meniru kemampuan vokal vokalis Pearl Jam, Eddie Vedder dalam nada yang lebih tinggi didramatikkan tanpa sebab.
5. Maroon 5
Siapa yang pernah mendengar album pertama kumpulan Maroon 5 pasti kagum dengan vokal Adam Levine.
Album berjudul 'Songs About Jane' memperkenalkan vokal Levine, menjadikannya terkenal dengan suaranya yang tinggi dan teknik falsetto yang sering digunakan dalam lagu-lagu Maroon 5. Bezanya dalam album itu vokalnya kedengaran jujur dan tidak dibuat-buat.
Naiknya reputasi Levine sehingga dianggap antara vokalis lelaki dengan suara yang seksi dan memukau peminat, turut mengubah tekniknya. Nada tinggi dan falsetto yang sebelum itu enak didengar, mula kedengaran berlebihan dan kurang menyenangkan untuk didengar.
Vokalnya juga semakin lama semakin diproses semasa pembikinan, menjadikannya kedengaran terlalu 'polished' sehinggakan sukar untuk tahu jantina sebenar vokalisnya.