Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah biasa mendengar idea-idea dari pihak kerajaan kita baik dari pihak mana sekalipun yang kedengaran hebat atas kertas, tetapi akhirnya mempunyai pelaksanaan yang membuatkan kita menggelengkan kepala.
Salah satu projek yang penulis maksudkan adalah projek kereta terbang kita yang sehingga kini belum nampak kelibatnya, walaupun jutaan ringgit sudah dibelanjakan kepadanya. Tetapi sekiranya dibandingkan dengan lima projek yang kami senaraikan ini, kereta terbang kita tampak lebih realistik proses penghasilannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima projek kendalian kerajaan-kerajaan dunia yang bukan saja tidak realistik, malahan ada juga yang hanya membazir dana yang sepatutnya lebih elok diguna bagi keperluan lain pula.
1. Projek Laut Sahara
Banyak pihak melihat keluasan tanah sebesar Gurun Sahara, sepatutnya boleh dimajukan sekiranya kawasan tersebut berjaya dihubungkan dengan sumber air. Bermula dari abad ke 19 sehinggalah ke hari ini, usaha untuk mencapai tujuan tersebut masih diusahakan.
Projek pertama bagi menyalurkan air ke Gurun Sahara dimulakan oleh seorang jurutera dari Scotland bernama Donald Mackenzie pada tahun 1877, yang merancang untuk melakukan kerja-kerja penggalian bagi menghasilkan terusan yang akan mengalirkan air dari Tanjung Jubi di Maghribi ke kawasan guru El Djouf. Projek ini tidak ke mana-mana.
Pada dekad 1960-an, sebuah projek baru dirancang melibatkan bahagian gurun yang dikenali sebagai Qattara di Mesir disebabkan oleh kawasan permukaannya yang lebih rendah, disebut-sebut akan dijadikan 'Laut Sahara' baru. Kawasan itu juga dijangka mampu menjana elektrik, berikutan perancangan membina empangan gergasi.
Jawatankuasa khas dianggotai majoritinya syarikat dan jurutera dari Jerman dilantik kerajaan Mesir, ditubuhkan bagi mengkaji kaedah paling mudah menggali terusan bagi membolehkan air masuk ke kawasan tersebut.
Cadangan jawatan kuasa itu untuk mempercepatkan penggalian dengan menggunakan kuasa 213 biji bom nuklear, setiap satunya mempunyai 50 kali kuasa bom atom Hiroshima ditolak kerajaan Mesir.
Walaupun demikian, minat untuk meneruskan projek ini tetap tidak pernah padam di pihak Mesir, disebabkan oleh faktor ekonominya.
2. Dinding sempadan Amerika Syarikat & Mexico
Dinding yang lebih dikenali sebagai 'Dinding Trump' merupakan salah satu propaganda yang dicanang Presiden Donald Trump semasa memegang kuasa, bagi menyelesaikan masalah kemasukan pendatang tanpa izin dari Mexico ke Amerika Syarikat.
Apa yang lucu, Trump seringkali menyebut rancangan mereka itu akan dibiayai oleh kerajaan Mexico. Sama ada projek ini adalah propaganda Trump semata-mata atau benar-benar projek separa jalan yang tak sempat disiapkan, kita berkemungkinan besar tidak akan tahu secara jelas.
Apa yang kita tahu, hasil cadangan ini berlakunya perdebatan di kalangan ahli politik negara itu yang menyebabkan bajet/dana kerajaan mereka tidak dapat diluluskan.
Selepas situasi pulih, projek ini diteruskan di beberapa negeri dengan pembinaan 'dinding percubaan' di mana prototaip cuba dibina dengan pagar sepanjang 3.2 km di Calexico, California dinobatkan sebagai seksyen pertama Dinding Trump.
Pada penghujung tahun 2020, kos perbelanjaan bagi menyiapkan dinding ini dianggarkan berada pada kos sekitar RM82 juta untuk setiap 1.6 kilometer dengan kos keseluruhan sebanyak RM50 ke RM65 billion diperlukan bagi menyiapkan dinding sepanjang hampir 1,000 kilometer jaraknya.
Selepas memenangi pemilihan Presiden, pada 20 Januari 2021 Joe Biden membatalkan semua kelulusan yang berkait dengan 'Dinding Trump' disebabkan oleh ketiadaan asas yang kukuh projek mega itu perlu diteruskan.
3. The Palace of the Soviets
Projek ini merupakan antara projek paling membazir pernah dirancang oleh kerajaan dunia!
Semasa zaman kegemilangan Kesatuan Soviet, empayar tersebut memulakan projek yang dikenali sebagai Istana Soviet yang akan menempatkan pusat pentadbiran yang akan menyatukan pentadbiran sekutu-sekutu empayar Soviet.
Di puncak 'Palace of the Soviets' yang dirancang sebagai sebuah mercu tanda bandar Moscow, akan dipacakkan tugu gergasi setinggi 100 meter ukiran figura penting kerajaan mereka, Vladimir Lenin.
Sekumpulan arkitek memulakan gerak kerja pembinaan, menjadikan kawasan yang menempatkan Gereja Christ the Savior sebagai lokasi pilihan. Ini memerlukan gereja tersebut diruntuhkan.
Selepas proses meruntuhkan gereja bagi menyiapkan tanah berjalan, kerangka besi yang bakal menjadi struktur asas Istana Soviet mula didirikan, sebelum pencerobohan Jerman berlaku sekitar tahun 1941, mengakibatkan kerja pembinaannya tergendala kerana kerangka besinya perlu digunakan untuk tujuan perang.
Istana Soviet yang pada awalnya dirancang bakal menjadi bangunan tertinggi dunia tidak lagi diteruskan binaannya, sebaliknya tapak lokasinya diubah suai menjadi kolam renang awam terbesar dunia yang dikenali sebagai Kolam Renang Moscow.
Gereja yang telah pun diruntuhkan lebih awal bagi memberi laluan kepada pembinaan istana? Gereja itu dibina semula mengikut rekaan asalnya pada tahun 1995 di lokasi yang serupa.
4. Senapang matahari Nazi Jerman
Idea untuk memesongkan cahaya matahari menggunakan cermin gergasi memang sedang diusahakan beberapa negara ketika ini, tetapi dirancang bukan sebagai senjata. Lain pula bagi kerajaan Jerman di bawah pemerintahan parti Nazi yang mahu menukarkan cahaya solar sebagai senjata gergasi kendalian mereka.
Dikenali dengan nama Sonnengewehr atau 'Sun-Gun', senjata itu dibangunkan daripada idea seorang ahli fizik ternama Jerman bernama Hermann Oberth, yang diterbitkan dalam buku beliau berjudul Wege zur Raumschiffahrt atau 'Ke Arah Penerbangan Angkasa.'
Kerajaan Jerman meluluskan dana bagi memulakan kajian untuk memperkembangkan idea tersebut. Penyelidik Jerman berjaya mengenalpasti keperluan yang perlu dipenuhi; mereka perlu membina cermin gergasi sebesar 3 kilometer persegi yang akan diorbitkan pada kedudukan 8,200 kilometer dari permukaan bumi.
Cermin itu pula akan diterbangkan dengan menggunakan roket V-2 milik mereka, mampu menempatkan kru pengendalian yang akan berhubung dengan bumi melalui radio. Sekiranya sasaran sudah dikenalpasti, petugas cermin akan mula memalingkan sudut biasan cermin bagi membentuk titik fokus pada sasaran.
Dijangkakan, haba yang tertumpu mampu melumatkan apa saja yang bertemunya. Bagaimanapun, projek itu dihentikan pada tahun 1945 selepas kerajaan Jerman tewas dalam perang dunia kedua dan penyelidik Jerman hilang kawalan ke atas kajian mereka.
5. Minnesota Experimental City (MXC)
Pernahkah anda menonton filem atau drama yang memaparkan bandar besar yang dilindungi dengan sebuah dom kaca di luarnya, membolehkan elemen-elemen tertentu dikekang atau dibenarkan masuk?
Itulah asas kepada Minnesota Experimental City atau MXC hasil cetusan idea seorang ahli fizik bernama Athelstan Spilhaus, yang mahu membuka sebuah bandar baru yang akan dijadikan contoh bandar masa depan - bebas daripada masalah urbanisasi, pencemaran dan kegagalan perancangan perbandaran.
Lebih istimewa, bandar itu akan diliputi dengan dom lutsinar yang akan melindungi mereka daripada perubahan cuaca serta elemen luaran. Perancangan itu mendapat kerjasama banyak pihak, termasuklah agensi angkasa NASA, bantuan penyelidikan oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat serta sokongan daripada syarikat gergasi seperti Ford dan Boeing.
Sebuah pekan kecil yang hanya mengandungi 205 penduduk bernama Swatara dipilih sebagai lokasi tapak MXC, dianggarkan akan selesai dibina pada tahun 1985 mampu menempatkan 250,000 orang penduduk.
Malangnya semua perancangan yang dibuat bertahun-tahun, langsung tidak melibatkan penduduk Swatara. Apabila mereka mendapat berita mereka perlu dipindahkan bagi membolehkan MXC dimulakan kerja-kerja pembinaannya, protes besar-besaran (untuk 205 orang penduduk) dimulakan.
Selepas tekanan diberikan kepada kerajaan negeri oleh penduduk pekan kecil tersebut, akhirnya projek itu diumumkan perlu dibatalkan selepas kerajaan negeri mengambil kira sentimen penduduk setempat.
Dana yang telahpun dibelanjakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan MXC, akhirnya terbuang begitu saja.