Dalam membicarakan soal beban kewangan yang menjadi isu sebahagian besar masyarakat kita, kita tidak boleh lari daripada turut membincangkan tentang masalah kebankrapan yang boleh dihadapi mereka yang terkesan.

Kami sudah memperjelaskan tentang realiti sebenar apa yang akan berlaku kepada seorang yang diisytiharkan bankrap, kekangannya serta salah faham yang dipegang masyarakat apabila isu ini dibangkitkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi adakah anda faham kenapa topik bankrap sering ditimbulkan? Benarkah isu ini sering berlaku dan adakah bankrap sudah menjadi barah dalam masyarakat kita?

Jom kita telusuri ini dengan lebih mendalam.

Adakah Malaysia berdepan gejala bankrap?

tarik kenderaan gagal jelaskan pinjaman

Walaupun media gemar memperbesarkan masalah bankrap sebagai satu isu yang boleh menggigit masyarakat kita, realitinya apa yang kita takuti tidaklah seteruk yang diceritakan.

Selepas kita menangani gelombang tekanan kewangan akibat turun naik kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara serta kemampuan ekonomi yang menurun akibat pandemik, Malaysia menyaksikan penurunan dalam kes-kes melibatkan individu yang diisytiharkan bankrap walaupun selepas kadar faedah dinaikkan semula.

Ini bermakna walaupun ada pihak gemar mengaitkan kenaikan kadar faedah bakal sebagai punca lebih ramai individu diisytihar bankrap, setakat ini belum nampak secara statistik ada peningkatan kes.

Penurunan ini dibantu peningkatan nilai ambang minima untuk seseorang boleh diisytiharkan bankrap, di mana nilai itu kini ditetapkan kepada jumlah hutang RM100,000 berbanding amaun RM50,000 seperti sebelumnya, diluluskan dalam sidang Parlimen bulan Ogos tahun 2020 .

Perubahan ini disasarkan untuk memberikan lebih perlindungan kepada golongan pemiutang, sekaligus melambatkan tindakan penghutang dibenar memulakan petisyen kebankrapan di mahkamah, sebagai jalan akhir mengutip hutang tidak berbayar.

Golongan mana paling terkesan masalah kebankrapan?

anak muda bankrap

Kebimbangan utama kita berkenaan isu ini berkait peningkatan ketara individu berusia 25 ke 34 tahun telah diisytihar bankrap. 

Individu kumpulan ini merupakan kumpulan kedua terbesar diisytiharkan bankrap, merangkumi 21.31% daripada keseluruhan pemegang status bankrap.

Kumpulan individu 35 ke 44 tahun menjadi kumpulan terbesar dengan 37.34%. Kumpulan 44-54 tahun 25.92% dan 55 tahun ke atas pula 14.48%.

Untuk makluman anda, ada 240 kes melibatkan individu diisytiharkan bankrap dari tahun 2018 sehingga Julai tahun 2022, yang berusia bawah 25 tahun.

Muda-muda lagi dah menanggung beban kewangan besar yang gagal diselia dengan baik!

Dalam tempoh 4 tahun sehingga Julai 2022, golongan Melayu menjadi kumpulan terbesar diisytiharkan bankrap dengan jumlah kes 27,431 atau 58.31%.

Cina ditempat kedua dengan 11,488 kes atau 24.42% dan India pula 4,138 kes atau 8.80%. Daripada aspek jantina pula, anda rasa siapa lebih ramai diisytiharkan bankrap - lelaki atau perempuan? 

Golongan lelaki mendominasi statistik ini dengan 34,305 orang lelaki dideklarasikan sebagai bankrap merangkumi 72.92% daripada semua kes 4 tahun kebelakangan ini.

Wanita pula hanya 27.03% atau 12,715 orang diisytiharkan bankrap. Memang kaum wanita lagi pandai mengurus perbelanjaan agaknya.

Punca bankrap masyarakat kita

pinjaman peribadi punca bankrap

Sesuatu yang kita sebagai sebuah masyarakat perlu sedar adalah punca terbesar berlakunya majoriti kes individu diisytiharkan muflis atau bankrap ini.

Majoritinya disebabkan masalah beban kewangan yang akibat pinjaman peribadi. 

Bukan pinjaman perumahan, bukan pinjaman sewa beli kenderaan, hutang perniagaan atau hutang kad kredit.

Apa yang aneh pada pandangan penulis, agak jarang pinjaman peribadi dibincangkan dalam persepsi negatif jika dibandingkan dengan pinjaman perumahan, kenderaan ataupun kad kredit.

Pinjaman peribadi merupakan satu fasiliti yang popular di kalangan masyarakat kita, sebagai suntikan modal yang bebas digunakan untuk apa saja tujuan.

Itu jugalah punca utama kenapa 42.03% daripada keseluruhan individu bankrap diisytiharkan bankrap. Ada 19,773 orang bankrap kerana kegagalan membayar semula pinjaman peribadi!

Apa yang membingungkan penulis, kini semakin banyak pula fasiliti pinjaman peribadi secara sah dibenarkan untuk beroperasi, memberikan pinjaman segera kepada peminjam tanpa banyak soal. Takkanlah kita tak belajar sesuatu dari statistik ini?

Sewa beli kenderaan menjadi punca kedua terbesar individu bankrap, merangkumi 14.69% atau 6,910 individu.

Hutang pinjaman perniagaan menjadi sebab ketiga, dengan 13.68% atau 6,435 orang bankrap disebabkannya.

Jelas ramai di antara ahli masyarakat kita gagal mengurus pinjaman peribadi dengan baik. Mungkin disebabkan ketiadaan tujuan atau matlamat yang menjadi faktor mengehadkan sebab-musabab kenapa pinjaman itu perlu dilakukan.

Fasiliti pinjaman peribadi bagi penulis agak berbahaya kerana pinjaman boleh dibuat tanpa matlamat atau kekangan, sehinggakan ramai melihat fasiliti ini sebagai jalan pintas memenuhi niat di hati tanpa benar-benar ada keperluannya.

Nasihat kami jika tiada keperluan, elakkanlah. Kalau kena menabung, menabunglah. Takkan lari gunung dikejar.

Yang penting kita kena kuat bersabar dan jangan melihat pinjaman peribadi ada sebagai pemudahcara untuk menyenangkan kehendak nafsu kita. 

Rujukan 

17,599 rakyat Malaysia muflis sejak Januari 2020 hingga Mei 2022

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)