Oleh pada 16 Apr 2017 kategori

Semua pasangan pun ada masalah. Takkan ada pun pasangan dalam dunia ini yang sentiasa gembira, bergelak ketawa selama dua puluh empat jam. Mesti ada turun naik kerana itulah lumrah kehidupan. Kunci kebahagiaan bukan terletak pada tempoh berada dalam perhubungan kerana ketahuilah, berkahwin selama 30 tahun pun tidak bermakna pasangan itu bahagia. Sebaliknya, kebahagiaan sebenar terletak pada cara menangani masalah bersama-sama dan cara memahami pasangan masing-masing.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini 5 perkara yang anda perlu elakkan semasa dalam apa-apa perhubungan sekalipun:

#1 Suka menilai

Apabila kita sering menilai pasangan, kita akan sentiasa melihat kekurangan berbanding kebaikan. Kemudian kita secara automatik akan menyalahkan sikap peribadi mereka.

jangan judge suka menilai pasangan

Kenali pasangan anda dengan lebih mendalam dan elakkan perangai cepat melenting. Perlu diingatkan bahawa anda berdua dibesarkan daripada dua keluarga berlainan dan dalam suasana yang berbeza. Jadi, mungkin ada benda yang pasangan buat tapi tak berapa kena dengan cara anda. Maka, cuba luangkan lebih banyak masa bersama dan perhatikan dahulu pasangan sebelum terus menilai keburukannya.

#2 Bersikap terlalu defensive

Adakah anda sering melatah apabila dikritik? Ataupun anda seorang yang suka mengeluh dan sukar mendengar pendapat orang lain? Ini adalah salah satu punca mengapa banyak pasangan gagal dalam perhubungan. Apabila pasangan memberi nasihat atau pandangan, anda merasakan dia acah-acah pandai. "Eleh, bajet pak imam la tu. Pergi la tengok cermin sikit," kata anda. Anda mudah betul terasa dan terlalu sensitif apabila mendengar kata-kata pasangan.

defensive pertahankan diri pasangan

Sebelum lebih melarat, anda perlu belajar mengawal diri dan menerima segala kritikan membina itu dengan hati yang terbuka. Kritikan selalunya diberikan bukan untuk menyerang diri anda sebagai seorang insan tapi lebih kepada sikap anda. Jadilah pendengar yang baik, terima dahulu segala kritikan kemudian ajak pasangan berbincang secara tenang sambil berfikiran lapang.

Apabila anda berjaya membuang sikap terlalu mempertahankan diri ini dan mula menerima kritikan dengan positif, insya Allah anda mampu membina perhubungan yang lebih sihat bersama-sama till jannah.

#3 Memandang rendah

Ini pun salah satu masalah besar perhubungan zaman sekarang. Sudah menjadi tabiat orang kita suka nak 'up' diri sendiri sampai lupa orang sekeliling. Kadang-kadang kita tak sedar bahawa orang lain boleh terasa bila kita membangga diri. Walaupun anda kata tak ada niat langsung nak riak, namun ia mungkin melukakan hati pasangan.

jangan memandang rendah pasangan 999

Ayat mudah seperti "Kenapa tiba-tiba jerawat awak banyak sangat ni Peah?" mungkin boleh membuatkan pasangan berasa kecil hati dan down selama seminggu. Mungkin Peah sebenarnya terlalu stress dengan anda sehingga menyebabkan banyak jerawat yang timbul, siapa tahu?

Cubalah pandang pasangan masing-masing sebagai hero atau heroin dalam hidup. Jadilah peminat no. 1 mereka dan sentiasa kagumi kualiti peribadi mereka. Percayalah, hubungan anda akan sentiasa sihat untuk jangka masa yang panjang ke akhir hayat.

#4 Mengelakkan komunikasi

Apabila ada sesuatu isu timbul, anda mula merajuk secara ekstrim. Anda sekat pasangan dari segenap ruang. Anda tak balas mesej, tak jawab panggilan dan anda buat seolah-olah dia tak wujud. Yang ini selalunya perempuanlah buat, konon nak suruh lelaki teka apa benda yang buat dia marah sangat. Kemudian nak suruh lelaki datang pujuk.

tak bercakap dengan pasangan supaya dipujuk

Ingat drama Korea ke? Tak semua pasangan romantik, sangat mengambil berat dan terlalu memahami macam dalam drama. Orang lelaki pula tak ada kuasa magik boleh main teka-teka atau baca fikiran anda. Kalau rajuk semakin melarat, mereka pula yang akan fikir anda ni seolah-olah tak hiraukan mereka.

Daripada biar keadaan dingin macam tu, apa kata belajar berkomunikasi secara efektif. Tanya baik-baik dan cuba selesaikan masalah bersama-sama. Apabila anda menutup ruang untuk berkomunikasi, anda akan mewujudkan jurang yang lebih besar.

Kalau tak mahu bercakap, cuba tulis segala luahan rasa di atas kertas dan berikan pada pasangan. Elakkan menghantar Whatsapp kerana jika dia tersilap baca intonasi, buruk padahnya!

#5 Fokus kepada perkara negatif

Anda sering merungut tentang pasangan dan anda lebih fokus kepada benda-benda buruk sahaja. Lepas tu mulalah membanding-bandingkan pasangan dengan orang lain. Kenapa orang lain boleh macam ni, kenapa pasangan tak macam tu. 

couple gaduh pasangan tak berkomunikasi secara efektif

Tahukah anda fikiran negatif begini akan membuatkan anda sentiasa berasa geram dan cemburu? Lama-lama nanti hati anda yang akan jadi hitam. Apa kata belajar bersyukur. Mungkin duit simpanan pasangan tak banyak, tapi hati dia baik. Mungkin dia tak berapa pandai berfesyen, tapi dia pandai memasak. Fokus kepada perkara positif dalam diri pasangan yang membuatkan anda bahagia.

Bina kebahagiaan dari situ dan lama-kelamaan semua perkara negatif tu akan menjadi kecil dan remeh. Cuba ajak pasangan berborak tentang masa depan, fikirkan apa yang boleh dicapai bersama.

kahwin tapi tak berkomunikasi sambil berbual

Kata kunci di sini ialah komunikasi dan sentiasa berbual dengan pasangan. Zaman teknologi ini memang semakin canggih dengan kewujudan pelbagai saluran komunikasi tapi gunakanlah berpada-pada. Tiada guna kalau anda duduk dalam bilik yang sama, sebaliknya hantar Whatsapp kepada pasangan untuk 'berkomunikasi.'

"Awak masak apa malam ni yang?"

"Kejap ek. Tengah update status Facebook."

romantiknya perhubungan

What's on Peah's mind : Hujung minggu romantik bersama shuben. #peahsayangabang #tilljannah




Hakcipta iluminasi.com (2017)