Sebut nama Bill Gates, pasti ramai membayangkan wajah mesra beliau yang kelihatan agak nerd dan dorky tetapi menyimpan kepintaran yang mengagumkan.

Menjadi pengasas syarikat yang mengeluarkan sistem operasi komputer paling popular dunia selain bergelar seorang dermawan yang bergerak aktif melalui yayasan Bill & Melinda Gates Foundation bersama (bekas) isterinya, hubungan kedua-duanya tampak akrab dan mesra sebagai sebuah keluarga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun tidak ramai menyedari hubungan itu sebenarnya terbina disebabkan oleh satu perjanjian yang telah mereka buat; membolehkan Bill Gates kekal berhubungan dengan seorang wanita bernama Ann Winblad.

Siapa Ann Winblad? Dia adalah bekas kekasihnya.

Siapa Ann Winblad - wanita kedua dalam hidup Bill Gates?

kekasih gelap bill gates ann winblad

Di kalangan pengusaha firma teknologi di Amerika Syarikat, Ann L. Winblad bukanlah satu nama asing.

Wanita kelahiran tahun 1950 ini memegang kelulusan matematik dan perniagaan, memulakan syarikat pengaturcaraan perisian akaun Open Systems Inc. dengan dana permulaan $500 yang dipinjam dari abangnya.

Open Systems Inc. berjaya dijual pada harga $15 juta pada tahun 1983, membolehkan Winblad memiliki dana untuk melabur dalam pelbagai firma teknologi.

Pada tahun 1984, semasa menyertai persidangan teknologi anjuran firma Rosen-Dyson, Winblad berkenalan dengan Bill Gates yang pada ketika itu masih lagi boleh dikatakan baru memulakan pembangunan sistem operasi Microsoft Windows.

Selepas pertemuan itu, kedua-duanya menyedari ada percikan cinta di antara satu sama lain, bersetuju untuk bersama sebagai kekasih walaupun Bill berusia 5 tahun lebih muda daripada Winblad.

Membina tradisi bersama

ann winblad masa muda

Salah satu tradisi mereka semasa bercinta, adalah melakukan perjalanan-perjalanan pengembaraan secara spontan selama seminggu bersama-sama.

Ada banyak kisah pengembaraan mereka ke tempat-tempat terpencil yang memberikan impak besar kepada Gates. Sepanjang tempoh berdua, mereka akan berbicara berkenaan hidup, visi dan matlamat hala tuju mereka - selain daripada berbincang berkenaan bidang teknologi.

Kebiasaannya, mereka memilih untuk menyewa sahaja kereta dan tinggal di hotel-hotel tepi jalan, bagi membolehkan mereka merasai suasana yang berbeza. Menurut Bill Gates, kebanyakan masa mereka berdua dihabiskan dengan mempelajari topik-topik baru seperti fizik, teori evolusi dan biokimia selain bermain golf.

Tradisi itu berlangsung hampir setiap minggu, membawa mereka ke banyak negara seperti Brazil, Afrika dan Zanzibar. Mereka bersama selama 3 tahun sebelum memutuskan hubungan pada tahun 1987 kerana Winblad mahu berumah tangga, sementara Bill pula merasakan belum tiba masanya.

Kedua-duanya membawa haluan sendiri - Gates terus sibuk dengan Microsoft sementara Winblad meneruskan karier sebagai pelabur firma teknologi, mengasaskan Hummer Winblad Venture (HWVP).

HWVP ditubuhkan khas untuk menyediakan dana permulaan dan sistem sokongan kepada syarikat-syarikat berstatus pemula, yang ingin membangunkan perniagaan dalam bidang pembangunan perisian.

Walaupun hubungan cinta beliau dan Gates telah berakhir secara rasmi, HWVP terus menjadi antara rakan niaga penting Microsoft, selain membimbing syarikat besar seperti Apple, IBM dan Price-Cooper-Waterhouse.

Masih berkawan baik, apa yang telah dilalui oleh Gates semasa perkenalan dengan Winblad banyak memberi kesan kepada perwatakannya selepas itu.

Pengaruh Winblad kepada Bill Gates

gaya seksi bill gates

Sekitar tahun 1987, Bill Gates berkenalan dengan Melinda Ann, seorang wanita berkelulusan sains komputer dan ekonomi yang mempunyai pengalaman melakukan pengaturcaraan komputer sejak berusia 14 tahun.

Melinda Ann pada ketika itu baru saja selesai menamatkan pengajian sarjana muda dan sedang mencari pekerjaan. Nasibnya baik dia bertemu dengan Bill Gates dalam satu ekspo teknologi lalu Bill menawarkan jawatan pengurus pemasaran di Microsoft - tanpa Melinda tahu ketika itu dia ditawarkan jawatan itu oleh CEO Microsoft sendiri.

Ketekunan bekerja, kemampuan menguasai pembangunan dan urusan jualan pelbagai perisian Microsoft menyebabkan Bill mula yakin Melinda bukan calang-calang orangnya.

Bill tahu Melinda merupakan calon isteri terbaik untuknya - namun sebelum dia melafazkan niatnya kepada Melinda, Bill perlu meminta nasihat wanita yang paling dipercayainya.

Pada awal dekad 1990-an, Bill Gates melakukan panggilan telefon kepada Ann Winblad, bagi membincangkan isu perkahwinannya. Winblad menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi atas niat Bill dan mengiktiraf Melinda sebagai wanita yang sesuai dengannya.

Namun, dalam masa yang sama Bill tetap tidak mahu 'melepaskan' Winblad dari hidupnya. Jadi Bill dan Melinda melakukan perbincangan dan membentuk satu perjanjian yang aneh tetapi berkesan untuk ketiga-tiga pihak, sebelum kedua-duanya berkahwin.

Kenapa ketiga-tiga? 

Syarat perkahwinan aneh perlu diterima Melinda

bill gates melinda gates 1 305

Budaya melakukan perjanjian atau pre-nuptial aggreement sebelum melangsungkan perkahwinan merupakan satu perkara biasa di kalangan masyarakat barat.

Kedua-dua pasangan terlibat akan meletakkan syarat yang perlu dipatuhi melibatkan isu utama seperti aspek kewangan, hak penjagaan anak atau pengurusan harta sekiranya perceraian atau kematian berlaku.

Begitu juga Bill dan Melinda tetapi syaratnya ganjil sekali.

Bill Gates meletakkan syarat dia hanya akan mengahwini Melinda sekiranya Melinda bersetuju untuk membenarkan bakal suaminya meluangkan masa selama seminggu setiap tahun bersama-sama Ann Winblad tanpa kehadiran Melinda, ke mana-mana destinasi di dunia.

Permintaan itu mendapat persetujuan Melinda Ann dan juga Ann Winblad. Pada tahun 1994, Bill Gates dan Melinda Ann melangsungkan perkahwinan mereka. Begitulah yang berlaku selepas itu. Melinda akan menghormati perjanjian yang telah ditandatangani, melepaskan suaminya kepada bekas kekasihnya tanpa bantahan.

Setahun sekali setiap kali tibanya musim panas, Bill dan Ann Winblad akan bertemu selama seminggu biasanya di sebuah kawasan rumah pondok (cottage) peranginan milik Winblad yang terletak di Carolina Utara.

Mereka akan menghabiskan masa berdua yang sangat berharga itu dengan bersiar-siar, menaiki bugi pasir, meluncur udara dan berjalan di tepi pantai - meneruskan tradisi lama sama seperti semasa mereka masih bercinta.

Tradisi ini diteruskan saban tahun, membolehkan kedua-duanya meneruskan hubungan yang terputus secara profesional walaupun Bill Gates sudah bergelar suami orang.

Bercerai kerana isu kerjasama dengan pedofil terkenal

bill gates jeffrey epstein pedophile

Perkahwinan Bill dan Melinda mula berdepan keretakan selepas media barat melaporkan kerjasama di antara Bill Gates dengan individu berpengaruh dunia kewangan Jeffrey Epstein pada tahun 2013.

Epstein ketika itu yang telah disabitkan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan sindiket pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan seksual, telah berjaya mengaturkan pertemuan antara dia dengan pasangan Bill dan Melinda - yang mengakibatkan rasa kurang selesa pada Melinda. 

Selepas pertemuan itu, Bill mengakui dia tidak akan sama sekali mewujudkan kerjasama dengan Epstein atas teguran Melinda yang bimbang penglibatan mereka dengan individu pedofil itu, akan menjejaskan imej mereka.

Walaupun Bill pada mulanya menafikan dakwaan kaitannya dengan pedofil tersebut, bukti jelas pertemuan dan gambar yang ditangkap menceritakan sebaliknya - menjadi isu besar yang mengeruhkan hubungan Bill dan Melinda.

Selepas isu itu mula menjadi lebih hangat, Melinda Gates mula mendapatkan bantuan guaman bagi memulakan prosiding tuntutan cerai sekitar tahun 2019 atas dakwaan perkahwinan mereka tidak lagi boleh diselamatkan.

Bagi Melinda, Bill telah mengkhianati apa yang telah mereka bina selama ini. Pada 4 Mei 2021, kedua-duanya mengumumkan perceraian mereka - menamatkan perkahwinan yang dibina selama 27 tahun.

Apa pengajaran daripada kisah ini?

Wanita sekurang-kurangnya boleh bersabar sekiranya wujud wanita lain dalam hidup suami mereka. Tetapi janganlah sama sekali bersahabat baik dengan seorang pedofil dan menipu isteri.

Jadi berterus-teranglah dengan isteri anda sekiranya anda ada buah hati kedua,  mana tahu isteri sudi menerima macam isteri Bill Gates menerima kehadiran bekas kekasih suami setiap seminggu dalam setahun, ke dalam hidup mereka.

Rujukan

In Search of the Real Bill Gates

Pleasure is good




Hakcipta iluminasi.com (2017)