Wabak Covid-19 dikatakan sangat berisiko terhadap warga tua, khasnya mana-mana individu yang berusia 70 tahun ke atas.
Ini disebabkan oleh faktor kesihatan badan seseorang menjadi faktor utama kekuatan badan melawan jangkitan yang hadir. Sudah banyak kes melaporkan tentang kematian melibatkan pesakit berusia disebabkan oleh faktor usia serta sejarah kesihatan yang kurang sempurna.
BESARKAN TEKS A- A+
Walau bagaimanapun, ada juga kes-kes yang melawan pendapat ini dengan warga tua yang sudah pun terlalu lanjut usianya - didapati masih mampu melawan malahan berjaya sembuh sepenuhnya, dalam kadar lebih pantas berbanding pesakit-pesakit lain.
Kes-kes jangkitan ini agak unik kerana jarang berlaku, tetapi sekurang-kurangnya mampu memberikan kita sinar harapan yang baru. Berikut adalah lima kes pesakit Covid-19 paling tua yang sembuh di lima buah negara berbeza.
1. Wanita tidak dikenali, 103 tahun (Iran)
Dilaporkan pada 18 Mac 2020, seorang wanita Iran berusia 103 tahun didapati berjaya sembuh daripada jangkitan Covid-19, selepas dikejarkan ke sebuah hospital yang terletak di Semnan, Iran dan menerima rawatan selama seminggu.
Wanita itu menjadi individu kedua berusia lebih 70 tahun yang dijangkiti Covid-19 berjaya sembuh di Iran, selepas seorang lelaki berusia 91 tahun turut sama pulih.
Iran merupakan antara negara paling teruk terjejas akibat Covid-19, dengan kematian 3,000 lebih pesakit daripada 50,000 jumlah kes setakat artikel ini ditulis.
Kisah kejayaan wanita ini sembuh dilaporkan oleh pengarah Pengarah Universiti Sains Perubatan Semnan, menyifatkannya sebagai satu keajaiban - kerana wanita itu mempunyai tekanan darah tinggi serta penyakit lelah.
2. Mr. P, 101 tahun (Itali)
Datang dari daerah Rimini di Itali, jangkitan yang berlaku melibatkan warga tua yang hanya dikenali sebagai 'Mr. P' pada awalnya dijangkakan sukar ini.
Pandangan ini dibuat berdasarkan kepada peratusan tinggi kematian warga tua di Itali melebihi 86%, melibatkan pesakit Covid-19 berusia lebih 70 tahun. Mr. P pula sudah berusia 101 tahun.
Situasi di RImini juga menggusarkan, kerana jumlah kes di bandar itu saja melebihi 1,100 kes ketika artikel ini ditulis. Sama seperti salah seorang pesakit Covid-19 dalam senarai ini, Mr. P yang lahir pada tahun 1918 lahir ke dunia semasa wabak influenza Sepanyol tersebar, mengorbankan jutaan orang.
Mr. P bertarung dengan Covid-19 selama lebih seminggu dalam keadaan kritikal selepas dimasukkan ke wad. Mr. P dibenarkan pulang pada 27 Mac 2020.
3. Thomas Abraham, 93 tahun (India)
Dijangkiti serentak dengan isterinya yang sudah berusia 88 tahun, Thomas Abraham yang 'baru' berusia 93 tahun merupakan pesakit Covid-19 tertua di India yang terselamat, setakat ini.
Apa yang lebih menggembirakan, kedua-dua pasangan ini sembuh selepas bertarung nyawa dengan jangkitan serta diletakkan dalam keadaan kritikal selama beberapa hari, ditempatkan di Hospital Perubatan Kottayam yang terletak di Kerala.
Jangkitan pasangan itu dikatakan berpunca daripada kepulangan salah seorang anak mereka dengan ahli keluarganya, yang tinggal di Itali pada bulan Mac.
4. Zhang Guanfen, 103 tahun (China)
Berasal dari Wuhan, nenek berusia 103 tahun ini menjadi individu paling tua di China disahkan sembuh daripada jangkitan Covid-19. Ini dipercayai disebabkan oleh faktor kesihatannya yang baik serta tidak mempunyai kerosakan organ, walaupun pada usia sangat lanjut.
Guanfen disahkan menghidapi penyakit itu pada 1 Mac 2020 dan berada dalam keadaan tenat, sehingga langsung tidak mampu berkomunikasi dengan petugas yang menjaganya. Terpaksa dibantu disuapkan makanan dan minuman serta ditukarkan lampin pakai buang, tahap kesihatan Guanfen beransur-ansur pulih dalam masa segera.
Hanya selepas 6 hari jangkitan ditemui, Guanfen dibenarkan pulang selepas didapati tidak lagi mengalami jangkitan.
5. Bill Lapschies, 104 tahun (Amerika Syarikat)
Kisah warga tua berusia 104 tahun ini sangat mengharukan, kerana berbeza dengan nama dalam senarai ini - dia dan Mr. P dari Itali menjadi individu yang merasai dua wabak besar dunia sepanjang hayatnya.
Lahir pada tahun 1916, pada usia kecil dia merasai sendiri pengalaman melalui wabak demam influenza Sepanyol atau lebih terkenal dengan istilah 'Spanish flu' disebabkan oleh jangkitan virus H1N1 yang bermula pada tahun 1918 membunuh 50 ke 100 juta individu.
Terselamat, Lapschies membesar dan dikerah menyertai tentera, berkhidmat di sebuah pulau yang terletak di Alaska pada tahun 1943.
Lapschies disahkan positif Covid-19 pada 11 Mac selepas mendapati simptom pertama wujud pada 5 Mac, menjadi invdividu kedua di rumah orang-orang tua yang didiaminya dijangkiti wabak itu. Malangnya, rakannya menghembuskan nafas terakhir tetapi nasib Lapschies lebih baik, selepas menjalankan kuarantin sendiri selama lebih 2 minggu.
Ketika artikel ini ditulis, Bill Lapschies merupakan pesakit Covid-19 paling tua berjaya sembuh.