Bermula pada awal bulan September tahun 2020, sudah lebih 180 hari seorang individu bernama Charlie Russell didapati sah positif jangkitan Covid-19.

Dalam tempoh lebih 6 bulan itu, tahap kesihatan Russell yang baru berusia 27 tahun semakin menurun berbanding sebelumnya. Dia tidak lagi berlari 3 kali sehari yang menjadi amalannya. Keluar minum bersama rakan gagal dipenuhi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lebih malang, Russell kini tidak lagi mampu bekerja. Apa yang menjadi masalah - keadaannya tampak tidak berubah lebih baik. Sakit dada, migrain kepala, sesak nafas, rasa hendak pitam dan mudah kepenatan menyelubungi dirinya setiap hari.

Charlie Russell adalah antara individu yang layak dikategorikan sebagai 'pesakit jangka masa panjang Covid-19' yang akan merasai kesan-kesan simptom jangka panjang selepas menjalani rawatan melawan virus tersebut.

Peningkatan kes golongan muda

golongan muda kini berisiko tinggi

Di England, peningkatan individu muda berusia 20-an yang dapati positif virus penyebab Covid-19 menampakkan pola menaik. 3,366 orang didapati positif dalam minggu pertama bulan September; individu berusia 20 hingga 29 tahun merangkumi 28% daripada jumlah yang berjaya dikesan.

Majoriti yang tergolong dalam kelas usia berkenaan besar kemungkinan tidak memerlukan rawatan khas di hospital, namun bagi sebilangan kecil yang perlu dikhuatiri akan menghadapi kesan buruk rawatan yang setakat ini belum mampu dicegah penyelidik.

Menurut Charles Shepherd seorang penyelidik bersama di ME Association, salah tanggapan utama kita khasnya mereka di UK adalah golongan muda kurang berisiko berbanding individu berusia lanjut.

Sedangkan kajian yang lebih baru telah menunjukkan wujudnya risiko besar di mana seseorang individu berusia muda akan mengalami kondisi yang mengakibatkan dia mudah kepenatan pasca rawatan Covid-19.

Angkanya pula bukan kecil. 600,000 orang direkod mengalami pelbagai tahap kesan sampingan pasca rawatan. 12% mengalaminya selama lebih 30 hari, 1 daripada 200 bekas pesakit direkod mengalami kesan melebihi 90 hari.

Tiada sumber pendapatan selama 6 bulan

oranv muda dijangkiti covid kadar panjang

Seorang jurugambar profesional, Russell tidak bekerja sejak 14 Mac 2020. Dia mula demam selama 2 minggu sebelum pulih. Bagaimanapun selepas pulih, kesengsaraan yang dihadapi mula bertambah selepas rasa sakit dada mula berlaku.

Tekanan yang dirasai menurut Russell, seolah-olah ada orang lain duduk di atas dadanya setiap masa.

Ujian yang dijalankan ke atas Russell gagal menunjukkan sebarang masalah; situasi ini adalah halangan utama penyelidik dalam memahami semua pesakit yang menghidap sindrom pasca rawatan Covid-19.

Situasi tersebut menyebabkan banyak doktor perubatan tersalah sangka semasa melakukan diagnosis atau memandang ringan aduan pesakit yang hadir. Itulah yang berlaku kepada Russell pada mulanya.

Hanya selepas dia menemui seorang doktor berbeza, barulah ujian antibodi dijalankan mengesahkan beliau menghidapi Covid-19.

Russell mengakui dirinya menyesal memandang ringan terhadap semua saranan yang diberikan dalam mencegah Covid-19, khasnya apabila melibatkan saranan terhadap golongan muda yang sering disalah anggap.

Beliau adalah antara ribuan anak muda yang percaya orang muda sepertinya sekiranya dijangkiti sekalipun, tidak perlu berasa bimbang terhadap jangkitan kerana risiko kematian ke atas mereka agak rendah.

Seorang yang mampu berlari jauh dalam masa singkat, Russell kini menghadapi kesukaran hanya untuk memanjat tangga dan situasinya belum nampak akan berubah, walaupun sudah masuk bulan keenam pasca rawatan.

Sistem imunisasi badan yang terjejas teruk

chronic fatigue syndrome masalah pesakit covid

NGO-NGO di Britain mula menyuarakan saranan agar kerajaan Britain mula memandang serius individu yang terkesan dalam jangka masa panjang akibat jangkitan Covid-19 seperti Russell.

Penyelidikan yang teliti dalam mengkaji dan memahami kesan panjang jangkitan virus tersebut kepada tubuh, sistem sokongan sara diri akibat kegagalan untuk bekerja dan pengenalan SOP yang lebih baik dalam membantu mereka yang terkesan, menjadi agenda utama gerakan kumpulan NGO ini.

Semakin banyak kajian menunjukkan virus corona penyebab Covid-19 mampu merencatkan sistem imunisasi tubuh seseorang sehingga mengakibatkan situasi yang dikenali sebagai 'ribut cytokine'; mengakibatkan tindak balas berlebihan sistem imunisasi tubuh yang dipercayai punca utama keletihan yang dirasai pesakit.

Pesakit dalam tempoh pasca rawatan dilaporkan mempunyai sistem imunisasi tubuh yang senantiasa aktif melawan virus yang tidak lagi ada, mengakibatkan penggunaan tenaga berlaku dalam kadar rendah secara konsisten.

Sindrom yang dikenali sebagai Myalgic encephalomyelitis atau Sindrom Keletihan Kronik direkodkan berlaku di kalangan pesakit pasca rawatan Covid-19 namun setakat ini, belum ada kajian yang berjaya membuktikan hubungan sindrom tersebut dengan jangkitan secara jelas.

Ini kerana di kalangan pesakit yang ditemui, kegagalan untuk menemui virus yang masih aktif menyukarkan penyelidik mengkaji hubungannya.

Namun harapan masih ada kerana pesakit seperti Charlie Russell dan ramai lagi individu penghidap 'jangkitan pasca rawatan Covid-19 jangka panjang' mula membolehkan penyelidik mengikuti kes-kes yang berlaku sejak peringkat awal lagi.

Ini diharap dapat menjelaskan kenapa individu-individu ini mempunyai kesan buruk yang lebih panjang, berbanding individu-individu lain yang mampu pulih seperti biasa dalam jangka masa lebih singkat.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel I was infected with coronavirus in March, six months on I’m still unwell yang diterbitkan pada 13 September 2020.




Hakcipta iluminasi.com (2017)