Bercinta sebelum kahwin bagi mereka yang telah melaluinya, pasti menggamit pelbagai jenis kenangan indah atau pahit - hasil daripada apa yang telah kita lalui semasa itu.

Kita boleh berusaha sebaik mungkin untuk memastikan si dia adalah jodoh kita, walau selama mana pun kita perlu menunggu tetapi sudah acapkali usaha yang kita hamburkan, akan berdepan kegagalan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap proses percintaan yang kita lalui pasti akan memberikan kita banyak pengajaran tentang nilai sebenar cinta seseorang. Ini adalah 7 pengajaran yang anda akan belajar, hanya selepas anda merasai kepahitan terputus cinta.

1. Anda rasa diri anda lebih kuat

sedar diri lebih kuat

Setiap orang yang telah melalui putus cinta, pasti akan jatuh ke satu tahap di mana anda rasa kosong hidup ini. Pernah kan? Jika sebelum itu anda dah biasa makan berteman, tiba-tiba dia tak lagi mahu nak menemani anda, pasti akan wujud kelompongan yang akan membuat anda rasa syahdu sangat-sangat.

Tetapi lama-kelamaan ekoran masa yang berlalu, anda akan menyedari rasa teringat anda tu pun akan makin lama makin lenyap sikit demi sikit, sehinggalah tiba satu hari anda tak terfikir langsung tentang dia yang dah tak sudi tu. Percayalah - seandainya anda rasa nak mati kerana putus cinta, tak berbaloi semua tu. Teruskan hidup dan yakini kata penulis yang anda akan OK!

2. Anda akan menyedari apa yang telah anda tinggalkan

lepak dengan kawan

Bukan semua orang bertuah dapat teman yang boleh 'ngam' dengan kawan-kawan kita; jadi ada di kalangan kita ni yang terpaksa memilih untuk melebihkan teman istimewa berbanding dengan rakan-rakan.

Jika itu adalah pilihan anda, tak mengapa penulis faham tau! Tetapi sebaik-baiknya, janganlah sampai abaikan kawan-kawan anda hanya sebab setiap hari anda nak keluar dating dengan dia. Dia yang istimewa tu, selagi belum termaktub apa-apa; hanyalah bersifat sementara. Kawan-kawan anda tu lah kawan-kawan dunia dan akhirat anda nanti.

3. Anda baru menyedari ke mana duit anda habis

perbelanjaan tanpa hasil

Penulis kerap melihat orang ramai merungut tentang kos perkahwinan yang tinggi. Tetapi jarang sekalilah penulis lihat anak muda kita merungut kos berpasangan yang tinggi. Nak berjumpa, mesti kena makan. Nak kena ada aktiviti. Nak bagi hadiah. Nak ada baju serupa. Apa sajalah perkara yang dibuat oleh dua orang yang kemaruk bercinta.

Tetapi jarang sekalilah ada yang kirakan kos sebenar berapa yang telah dibelanjakan untuk bercinta ni. Lepas tak kos nak melangsungkan perkahwinan kalau dah bercinta lebih 2-3 tahun? Banyak sebenarnya yang anda akan belanjakan tetapi dek kerana angau, kita tak kira perbelanjaan tu. Bila nak kahwin atau usahakan ke arah yang halal, kita berkira pula kan?

4. Anda baru sedar risiko bercinta dengan kawan-kawan sendiri

bercinta dengan kawan

Penulis pernah bercinta dengan seorang kawan penulis, yang tergolong dalam kumpulan kawan kami lah. Setiap kali bertemu atau bersua kembali selepas kedua-duanya dah melangsungkan perkahwinan dengan orang lain - rasa 'awkward' sangat tau bila berkumpul balik.

Apa yang penulis boleh beritahu, penulis memilih untuk memutuskan perhubungan kami selepas penulis merasakan kerjaya sebagai penulis di internet tak mampu memberikan pendapatan lumayan, dia pula berada di kasta yang berbeza. Jadi kami pun setujulah untuk putus, walaupun sebelum tu dah pernah berbincang baju warna apa nak dipakai bila bersanding.

Setiap kali bertemu balik, memori lama tu lah yang akan bermain di kepala membuatkan penulis nak menasihatkan, kalau nak cari pasangan - cari yang jauh sikit daripada 'circle of friends' kita. Tapi ramai juga kawan penulis yang bercinta dengan kawan baik sampai kahwin. Mungkin penulis yang bermasalah ke?

5. Anda mula faham kepentingan pasangan yang boleh terima kisah silam

terima pasangan seadanya

Kadangkala, bila dah bercinta ni mesti banyak cerita yang terpaksa kita pendam diam-diam. Perkara mengaibkan tu, terpulang kepada anda lah nak buka atau tutup. Tetapi apa yang penulis maksudkan di sini bukan pasal perkara mengaibkan yang dah berlaku, tetapi kewujudan beberapa jenis individu yang iri hati tak tentu pasal dengan sejarah kita.

Ada nama watak drama sama macam kekasih lama pun, dia nak mengamuk. Kita terasa ada individu lain rupa sama macam kekasih lama kita pun, dia dah mula tarik muka. Sensitif tak kena tempat. Kita dah tak boleh ubah apa yang dah berlaku, jadi pastikanlah cari pasangan yang mampu terima kita seadanya.

Tak ramai orang sedar - pengalaman baik buruk yang kita lalui tu lah sebenarnya yang membuatkan kita akhirnya sampai kepada jodoh kita sekarang. Setiap perkara yang dah berlaku itu lah yang menjadikan kita, kita. Jadi carilah pasangan yang mampu terima anda, sebagai anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)