Nama ikonik Stan Lee sebagai salah seorang tokoh penerbitan komik memang dikenali di seluruh dunia. Selain sumbangannya dalam penghasilan watak-watak adiwira fiksyen, mendiang juga dikenali dengan gelagatnya yang kerap kali muncul dalam filem keluaran produksi Marvel. Walaupun sekejap, selalunya akan dinanti-nanti peminat.
Meninggal dunia pada 12 November 2018, jasa Lee pada industri dunia sangatlah besar kerana dia adalah antara individu yang memainkan peranan besar dalam pembentukan 'pop-culture' zaman moden. Satu kisah menarik tentang hidup beliau yang jarang diperkatakan, adalah berkenaan kisah cintanya dengan buah hatinya.
BESARKAN TEKS A- A+
Isteri kepada mendiang, seorang wanita bernama Joan Boocock Lee merupakan satu-satunya wanita yang menjadi peneman kepada mendiang selama hidupnya - dalam perkahwinan mereka yang berusia 70 tahun. Dengan status sebagai seorang ikon dunia, agak sukar untuk kita menggambarkan seorang lelaki seperti Stan Lee mampu setia dengan isterinya sepanjang tempoh tersebut.
Tetapi itulah yang berlaku. Apa yang menarik tentang kisah percintaan mereka - adalah bagaimana mereka bertemu dan bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan.
'Nerd' yang lurus
Latar belakarang Lee membentuk peribadinya. Dia lahir dalam keluarga sederhana dibesarkan bersusah payah oleh kedua ibu-bapanya, pasangan berbangsa Yahudi golongan pendatang dari Romania yang berkongsi apartment satu bilik, sekitar tahun 1930-an di New York.
Kehidupan mereka tidak banyak berubah dan Lee terpaksa bekerja sebagai penulis pada usia remaja, bagi mendapatkan wang mencukupi. Bakat menulis Lee mula terbentuk daripada situ, sebelum dia memenangi pertandingan menulis yang diadakan secara mingguan dalam akhbar Herald Tribune - selama tiga minggu berturut-turut.
Hasil nasihat editor akhbar itu yang menasihatkan agar beliau meneruskan kerjaya penulisan, Lee mencari pekerjaan sebagai penulis dan berjaya menjadi penulis profesional pada usia 17 tahun dalam tahun 1939 bersama Timely Comics, label awal Marvel. Dari situ dia mula mengorak langkah sebelum ditawarkan bekerja menghasilkan jalan cerita bagi watak Captain America pada tahun 1941, dalam siri Captain America Foils the Traitor’s Revenge.
Penerbitan komik itu dengan Lee bertindak selaku penulis sampingan, menjadi terbitan pertama di mana nama pena 'Stan Lee' dikenali peminat komik. Selepas naik menjadi editor secara terpaksa pada usia 19 tahun, Lee diberikan kuasa sepenuhnya merencanakan masa depan Timely Comics pada tahun 1942.
Bertemu wanita suri hati
Selepas tamat berkhidmat dalam perang dalam tahun 1945, Lee mula merancang untuk berkahwin, meminta bantuan rakannya bagi diperkenalkan kepada teman wanita. Rakannya itu yang baik hati cuba memperkenalkan Lee dengan seorang wanita yang bekerja sebagai model. Jadi Lee pun pergilah ke pejabat agensi model itu atas saranan rakannya - kononnya mahu cuba berkenalan.
Sampai di sana, Lee bertemu dengan seorang gadis lain yang turut sama berkhidmat di agensi itu sebagai model topi. Tergamam dengan kecantikan gadis itu yang menyambut kedatangannya, Lee mula melalut menceritakan tentang rasa sukanya dia pada gadis itu yang baru sejenak dikenali sambil mengaku wajah gadis itu mirip dengan wajah yang dilukis dalam bukunya.
Malangnya, gadis itu yang bernama Joan Boocock sudah berkahwin dan perkahwinan itu dilakukan bukan atas dasar cinta. Boocock merupakan antara gadis yang dikahwinkan dengan pegawai tentera bernama Sanford Dorf Weiss yang berkhidmat dengan tentera Amerika Syarikat - hanya selepas berkenalan 24 jam.
Pada zaman tersebut, adalah normal bagi wanita dari sesetengah negara seperti Britain, Australia, Kanada dan Itali dibawa ke negara lain secara beramai-ramai, untuk dikahwinkan dengan pegawai-pegawai tentera yang berkhidmat. Boocock adalah salah seorang daripada 70,000 pengantin perang Britain yang hadir ke Amerika Syarikat mencari calon suami.
Apa yang melucukan, walaupun jemputan Lee dilakukan dengan spontan dan status Boocock yang sudah pun bersuami - model wanita itu menerima pelawaan Lee untuk keluar bersama makan burger di sebuah restoran. Tidak tahu apa yang merasuk Lee sehingga jadi tersangat berani - dua minggu kemudian, dia melamar Joan Boocock walaupun tahu dia isteri orang. Joan pula bersetuju.
Jadi mereka berdua perlu mencari jalan menyelesaikan penghalang utama mereka - status perkahwinan Joan perlu diceraikan agar Lee dan Boocock dapat berkahwin.
Berusaha menceraikan isteri orang
Status Boocock yang berkahwin bukan atas dasar cinta memudahkan penerimaan Dorf Weiss. Tetapi permohonan cerai di New York tidak mudah diluluskan dan akan mengambil masa yang panjang. Mengetahui ada kaedah mudah bagi memproses perceraian di Reno, Nevada - Boocock berpindah ke Reno dan menetap di sana selama 6 minggu, bagi membolehkan permohonan dihantar.
Tidak lagi bertemu dan tidak mengetahui benarkah Lee serius, Boocock mula merasa ragu-ragu dengan pendirian Lee - apatah lagi dia dikelilingi lelaki-lelaki kaya yang selalu cuba memikatnya, hasil kerjanya sebagai seorang model.
Boocock mengutuskan sepucuk surat memberikan kata dua menuntut komitmen Lee selepas perceraian diluluskan atau memilih untuk menamatkan saja hubungan mereka, agar kedua-dua pihak boleh meneruskan hidup dan kerjaya seperti sedia ada. Terkejut dengan surat itu - Lee melakukan perjalan ke Nevada, seterusnya menghadiri keputusan permohonan perceraian Boocock.
Selepas sah diceraikan di mahkamah, Lee dan Boocock terus melangsungkan perkahwinan yang dihajati dalam mahkamah yang sama, pada hari yang sama.
Jodoh yang sangat panjang
Perkahwinan tanpa perancangan jangka panjang kebiasaannya berakhir dengan perceraian, tetapi apa yang berlaku pada pasangan Stan Lee dan Joan Boocock Lee nyata berbeza. Mereka dikurniakan dua orang anak, Celia pada tahun 1950 dan Jan yang meninggal dunia tiga hari selepas lahir pada tahun 1953.
Lee mengaku isterinya langsung tidak meminati kerjayanya, tetapi itu tidak menghalang isterinya menjadi pelakon suara dalam beberapa siri animasi terbitan Marvel, sebelum mula muncul menjadi watak tempelan dalam filem-filem besar, termasuklah dalam filem 'X-Men Apocalypse.'
Joan Boocock Lee meninggal dunia pada 6 Julai 2017 ketika berusia 95 tahun, sebelum suami yang dikasihi menurut sama setahun berikutnya pada 12 November 2018.
Dalam filem 'Avengers -Endgame', pasangan bahagia yang telah bersama sekian lama diabadikan buat kali pertama dalam bentuk digital sepenuhnya, melakukan penampilan ringkas selepas kematian kedua-duanya - selepas hampir 70 tahun hidup bersama.