Oleh pada 31 Aug 2017 kategori

Semua orang mesti mengenali Bapa Kemerdekaan ini. Setiap tahun kita dapat melaungkan sorakan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" hasil usaha dan penat jerih negarawan ulung ini dalam merealisasikan pembebasan negara daripada cengkaman penjajah dan juga dalam pembentukan Malaysia sehingga ke hari ini.

Sepanjang kehidupan Tunku Abdul Rahman Putra, kepimpinan dan sifat murni beliau telah berjaya memberikan impak dan teladan dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia. Kami kongsikan beberapa pengajaran yang boleh dipelajari daripada kepimpinan Tunku:

BESARKAN TEKS     A-  A+

img 6999

#1 Berbuat baik dengan semua orang

Dilahirkan sebagai YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, Tunku merupakan anak lelaki ketujuh Sultan Kedah yang dilahirkan pada tahun 1903. Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, Tunku merupakan seorang yang berjiwa rakyat. Semasa membesar, Tunku sangat gemar bermain bola bersama anak-anak kampung dan tidak begitu suka dikawal oleh pengasuh istana.

Ketika menyambungkan pelajaran di Universiti Cambridge juga Tunku dengan mudah berkawan dengan ramai orang. Tunku tidak sukakan diskriminasi dan sentiasa memperjuangkan persamaan hak sesama manusia.

Sejurus pulang ke tanah air, Tunku bekerja sebagai penjawat awam menjadi kadet di Pejabat Penasihat Undang-undang di Alor Setar sebelum bertugas sebagai Pegawai Daerah. Dari situ, Tunku dapat mendengar sendiri masalah rakyat dan membantu mereka memperbaiki kehidupan.

Sikap berhati baik dan mudah disenangi Tunku membuatkan Tunku sangat popular sehingga dilabel sebagai "Man of Peace".

tunku abdul rahman pengajaran kepimpinan 4

#2 Bantu semua orang ketika dalam kesusahan

Semasa Jepun menceroboh Tanah Melayu, rakyat hidup menderita dan penuh dengan dugaan. Ketika itu, Tunku berhempas-pulas cuba menyelamatkan ramai rakyat dan memastikan keselamatan mereka.

Tunku juga tidak menghiraukan keselamatan diri sendiri apabila menghulurkan tangan membantu ramai tahanan yang terlepas daripada membina "Landasan Kereta Api Maut" dengan menyediakan tempat perlindungan dan makanan.

#3 Menang dalam keamanan

Tunku merupakan seorang pemimpin yang sangat mengeji pertumpahan darah. Tunku pernah menolak permintaan Parti Komunis Malaya sebagai sebuah parti yang sah untuk bertanding dalam pilihanraya kerana latar belakang parti itu yang lebih sukakan keganasan.

Pada tahun 1956, Tunku telah berbincang dengan para Sultan tentang pembentukan perlembagaan Tanah Melayu yang bebas. Pada 8 Februari 1956, setiausaha kolonial ketika itu, Alan Lennox-Boyd dan Tunku telah bersama-sama menandatangani perjanjian yang menjanjikan pembebasan Tanah Melayu daripada British.

Tepat jam 12 tengah malam pada 31 Ogos 1957, bendera Union Jack pun diturunkan menandakan berakhirnya zaman pemerintahan British tanpa sebarang titisan darah.

tunku abdul rahman pengajaran kepimpinan 3

#4 Jadilah tonggak perpaduan dan keharmonian

Setelah berjaya membebaskan Malaya daripada pemerintahan British, Tunku mengenengahkan idea untuk menyatukan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menjadi Malaysia pada tahun 1961. Kesemua negeri bersetuju dengan idea tersebut kecuali Brunei. Maka, terbentuklah "Malaysia" dua tahun berikutnya iaitu pada 16 September 1963. 

Namun, langit tidak cerah berpanjangan. Pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew menentang artikel Perlembagaan Malaysia yang menyentuh tentang kuota dan hak keistimewaan bangsa Melayu. Artikel itu dikatakan bersifat rasis dan Lee Kuan Yew kemudian berkempen memperjuangkan kesamarataan dengan tidak mengira bangsa. 

Sebelum keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila kaum Melayu dan kaum Cina mula berbalah, Tunku mengambil jalan yang lebih aman untuk mengendalikan situasi tersebut. Tunku mencadangkan kepada Parlimen Malaysia supaya mengundi sama ada Singapura akan terus kekal berada di dalam Malaysia atau sebaliknya. 

Pada 9 Ogos 1965, Parlimen sebulat suara bersetuju agar Singapura dipisahkan dari Malaysia. Walaupun perpisahan itu agak menyedihkan, namun ia akhirnya membawa keamanan dan kebaikan kepada kedua-dua buah negara.

tunku abdul rahman pengajaran kepimpinan 5

#5 Kepentingan Pendidikan

Tahukah anda, Tunku Abdul Rahman pernah gagal dalam peperiksaan undang-undang semasa pengajiannya di London pada tahun 1930? Ketika itu, kakandanya, Tunku Ibrahim memberitahu Tunku Abdul Rahman yang kegagalannya itu adalah sesuatu yang amat memalukan kaum kerabat mereka.

Namun Tunku tidak pernah berputus asa. Pada tahun 1939, Tunku pulang semula ke London untuk mengambil semula peperiksaan itu dan telah berjaya lulus dalam bahagian pertama. Namun, Perang Dunia Kedua meletus dan Tunku dipanggil pulang semula ke Tanah Melayu untuk bertugas sebagai Pegawai Daerah di Kulim.

Pada tahun 1947, barulah Tunku berpeluang untuk mengambil cuti untuk fokus dan menamatkan pengajiannya dalam bidang perundangan. Akhirnya Tunku berjaya bergelar seorang peguam selepas 18 bulan.

Menurut salah seorang cucu kepada Tunku iaitu Tunku Munawirah, Tunku Abdul Rahman sangat mementingkan pendidikan semasa hayatnya. Menurut Tunku, pendidikanlah yang akan membantu mengubah nasib seseorang dan juga menjadi penentu perkembangan sesebuah negara.

Kebolehan dan penguasaan bahasa Inggeris juga amat dititikberatkan untuk mencetuskan pemikiran yang intelek. Menurut salah satu catatan Tunku, subjek Matematik dan Sains perlu dikekalkan pengajarannya dalam Bahasa Inggeris untuk mengikut aliran dunia dan teknologi semasa.

Walau bagaimanapun, rasa bangga dan cinta terhadap bahasa kebangsaan jangan sekali-kali dilupakan.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)