Perhubungan adalah salah satu aspek dalam kehidupan yang amat penting. Ia mempunyai kesan secara langsung kepada kesihatan seseorang, memberikan reaksi terhadap tekanan dan juga boleh mengubah persepsi anda terhadap dunia.
Anda mungkin sudah bertemu seseorang, namun bagaimanakah untuk mengetahui sekiranya si dia adalah pasangan yang terbaik buat anda? Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini, namun anda boleh menilai beberapa faktor dari segi psikologi untuk menentukan bahawa dialah yang terbaik buat anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Menurut seorang profesor psikologi dari Monmouth University, Gary W. Lewandowski Jr., terdapat dua kaedah untuk membuat penilaian : melalui data dan mengikut gerak hati.
Intuisi seseorang merupakan salah satu komponen penting dalam membuat keputusan setiap hari, namun kebergantungan kepada gerak hati semata-mata dalam memilih pasangan hidup adalah satu keputusan yang tidak begitu sempurna.
Profesor Lewandowski telah membuat satu senarai dengan 15 soalan yang menggariskan isu-isu utama dalam sesebuah perhubungan. Walaupun senarai ini belum diuji secara empirik, beliau telah menggunakan pengalamannya dalam bidang sains sebagai panduan. Merujuk kepada kajian-kajian terdahulu, 15 soalan ini mampu membantu seseorang mempunyai sebuah hubungan jangka panjang yang komited, serius dan sihat bersama pasangan.
Anda perlu jujur dengan diri sendiri apabila menjawab kesemua soalan ini. Jika anda berbohong, anda tidak akan dapat sebarang petunjuk yang mendalam tentang perhubungan anda. Cuma berikan respon mudah "ya" atau "tidak" kepada soalan-soalan berikut:
- Adakah pasangan anda menjadikan anda seorang insan yang lebih baik dan anda juga melakukan yang sama kepada dirinya?
- Adakah anda dan pasangan berasa sangat selesa berkongsi perasaan atau masalah, bergantung antara satu sama lain, menjadi intim dan tidak perlu risaukan isu ditinggalkan/meninggalkan?
- Adakah anda dan pasangan saling menerima diri seadanya tanpa ingin mengubah peribadi masing-masing?
- Jika berlaku konflik, adakah anda berdua berkomunikasi dengan berhemah tanpa rasa kebencian, marah meluap atau terlalu berfikiran negatif?
- Adakah anda sama-sama berkongsi membuat keputusan dan boleh bertolak ansur dalam sebarang perbincangan?
- Adakah pasangan anda merupakan sahabat baik anda? Dan adakah anda juga sahabat baik bagi pasangan?
- Adakah anda dan pasangan sering berfikir tentang "kita" dan "kami", berbanding cuma "kamu" dan "saya"?
- Adakah anda dan pasangan mempercayai antara satu sama lain untuk berkongsi kata laluan media sosial dan akaun bank?
- Adakah anda dan pasangan mempunyai pandangan yang baik dan ikhlas antara satu sama lain (tanpa bersikap memuji secara melebih-lebih)?
- Adakah rakan-rakan baik anda berdua merasakan yang anda berdua bakal mempunyai hubungan yang berkekalan sehingga ke Jannah?
- Adakah perhubungan anda suci daripada tanda-tanda curang, terlalu kuat cemburu dan terlalu mengawal?
- Adakah anda dan pasangan berkongsi pandangan dan nilai yang sama dari segi agama, politik, kepentingan perkahwinan, keinginan mempunyai zuriat dan cara membesarkan anak?
- Adakah anda dan pasangan rela mengorbankan keinginan, cita-cita dan keperluan diri sendiri untuk satu sama lain (tanpa menjadi seorang pak turut)?
- Adakah anda dan pasangan secocok dan serasi dari segi kemesraan fizikal?
- Adakah anda dan pasangan mempunyai personaliti yang stabil dari segi emosi dan boleh bertoleransi?
Setelah menjawab kesemua soalan ini, anda mungkin rasa teringin untuk mengira berapakah skor anda. Namun, harus diingatkan, soal selidik ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan markah tertinggi. Sebaliknya, ia merupakan satu garis panduan untuk diri sendiri mengenal pasti apakah perkara yang perlu ada dalam sesebuah perhubungan.
Akan tetapi, jawapan yang terbaik bagi setiap soalan adalah "ya" yang dijawab secara pantas, tanpa sebarang keraguan.
Soalan-soalan ini disediakan berdasarkan kajian-kajian saintifik yang pernah dijalankan dalam bidang psikologi dan perhubungan. Setiap satu soalan tidak mampu meliputi kesemua aspek perhubungan. Jadi, lebih banyak soalan, maka lebih tepat analisa dan keputusan yang dihasilkan kerana ia merangkumi pelbagai perspektif.
Apa-apapun, tidak ada jawapan mudah atau jaminan 100% tentang masa depan anda dan pasangan. Walaupun kini anda menjawab ya kepada kesemua 15 soalan, tidak bermakna hubungan cinta anda tidak akan pernah dilanda badai. Seperti yang kita sedia maklum, perhubungan adalah sesuatu yang sangat kompleks dan setiap manusia juga boleh berubah tanpa sebab.
Namun, anda boleh jadikan senarai soalan ini sebagai panduan awal dalam memilih pasangan sehidup semati. Sentiasa gunakan akal, gerak hati dan jangan lupa meminta ketetapan hati daripada Yang Maha Esa.
Ingat, jika anda menjaga hubungan dengan-Nya, nescaya Dia juga akan sentiasa menjaga hubungan anda dengan pasangan.