Oleh pada 14 Aug 2021 kategori

Bagi umat Islam, loteri atau permainan berunsurkan judi adalah haram serta salah di sisi agama dan undang-undang Malaysia. Namun, terdapat kedai khusus yang menjual loteri atau 'nombor ekor' di Malaysia bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Keadaannya berbeza di negara barat di mana loteri merupakan perkara biasa. Tiket loteri mudah didapati dan dijual di hampir setiap kedai runcit. Ramai yang mencuba nasib dengan membeli loteri dan berharap menjadi jutawan dalam sekelip mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Biasanya, pemenang hadiah utama loteri akan menjadi terkenal dan mendapat liputan media. Mereka mungkin merupakan seorang guru, pengutip sampah, penganggur atau lebih mengejutkan lagi, seorang penjenayah. Berikut adalah senarai penjenayah yang pernah memenangi loteri.

1. Iorworth Hoare

iorworth hoare

Iorworth Hoare memenangi hadiah loteri sebanyak RM 41 juta pada tahun 2004 ketika dia masih lagi menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol, cubaan merogol dan serangan fizikal.

Banduan di Britain dibenarkan keluar pada hari tertentu seperti hari pelepasan atau ketika melakukan khidmat masyarakat. Ketika itu, mereka diberi kelonggaran melakukan aktiviti bebas termasuklah membeli tiket loteri.

Selepas menjadi jutawan segera, Hoare dipindahkan ke penjara tertutup atas "keselamatan dirinya" agar tidak menjadi sasaran penjenayah dan banduan lain.

2. Daniel Snay

daniel snay

Sesiapa yang tinggal di Uxbridge, Massachusetts, mungkin pernah mendengar nama Daniel Snay. Lelaki ini didaftarkan sebagai pesalah seks tahap tiga (risiko tinggi). Dia disabitkan atas beberapa kesalahan menyerang remaja bawah umur pada sekitar 1970-an.

Pada 2008, Snay telah membeli tiket loteri dan berjaya memenangi hadiah sebanyak RM 42.3 juta. Sejak itu, polis percaya dia menggunakan wangnya untuk memikat lebih ramai mangsa untuk melakukan jenayah.

Pada Mac 2014, Snay sekali lagi ditahan atas kesalahan yang sama. Pasukan polis Uxbridge bekerjasama dengan pegawai dari Connecticut dan Rhode Island di mana Snay turut dituduh melakukan jenayah di sana. Kali ini, mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM 21 juta.

3. Ronnie Music Jr.

ronnie music jr

Ronnie Music Jr. merupakan seorang penagih ganja, kokain dan syabu serta penjual dadah kecil-kecilan. Dia juga mempunyai rekod jenayah yang panjang sejak remaja lagi.

Pada tahun 2015, Ronnie berubah menjadi jutawan sekelip mata apabila memenangi hadiah sebanyak USD 3 juta (RM 12.7 juta) daripada Georgia Lottery. Dia tidak membazirkan wang loteri itu seperti kebanyakan pemenang lain tetapi melaburkan pada sesuatu yang salah.

Ronnie memulakan sindiket penyeludupan dadahnya sendiri. Ketika ditahan di rumahnya, polis menemui bekalan syabu dan 11 senjata api. Dia dikenakan hukuman penjara selama 33 tahun tetapi dikurangkan kepada 21 tahun setelah bersetuju memberi keterangan terhadap seorang lagi ketua sindiket dadah. 

4. Edward Putman

edward putman

Edward Putman (kiri) dan Giles Knibbs

Pada tahun 2009, Edward Putman memenangi loteri bernilai RM 14.6 juta. Sebenarnya, dia bersubahat dengan seorang pekerja syarikat keselamatan bernama Giles Knibbs yang mempunyai akses kepada tiket kemenangan loteri. Namun, Edward enggan memberikan habuan yang dijanjikan kepada Knibbs.

Rahsia mereka terbongkar apabila Knibbs membunuh diri pada 2015. Sebelum mengambil nyawanya sendiri, Knibbs mendedahkan rahsia penipuan itu kepada seorang rakannya.

Edward juga pernah menipu untuk mendapatkan wang bantuan bulanan daripada kerajaan. Selain itu, dia mempunyai rekod jenayah kerana mencederakan dan merogol seorang gadis lebih daripada 20 kali pada tahun 1991.

5. Michael Carroll

michael carroll 31

Pekerja perkhidmatan memungut sampah ini memenangi loteri bernilai RM 56.7 juta pada 2002 ketika dia baru sahaja berusia 19 tahun. Walaupun masih muda, Michael mempunyai pelbagai rekod kesalahan seperti memandu dalam keadaan mabuk, mencuri dan melakukan kerosakan.

Kemenangan besar itu memburukkan lagi keadaan. Dia menghabiskan wangnya dengan berpesta, pelacur, dadah dan arak. Isterinya yang tidak tahan dengan sikap Michael telah bercerai pada 2003 dan mendapat pampasan sebanyak RM 8 juta.

Michael juga pernah dipenjarakan selama 9 bulan pada tahun 2006 dan memiliki sebanyak 42 rekod kesalahan ketika itu. Dia akhirnya jatuh miskin dan bekerja di syarikat arang dengan bayaran sebanyak £10 sejam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)