Wujud banyak kugiran yang mempersembahkan muzik mereka di serata dunia. Ada sesetengah di antara mereka tampil dengan imej wajah kacak seperti kumpulan boyband, ada yang tampil dengan imej androgynous seperti Prince atau David Bowie.
Ada juga yang atas sebab tersendiri, memakai topeng tanpa menanggalkannya dalam sebarang aktiviti yang melibatkan karier muzik mereka. Berikut adalah senarai artis atau kumpulan paling popular yang menggunakan topeng sebagai satu alat identiti persembahan mereka tanpa memerlukan paparan identiti sebenar mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
1. DAFT PUNK
Daft Punk tidak menggunakan topeng, tetapi terus mengenakan topi keledar pada setiap persembahan mereka. Guy-Manuel de Homem-Christo dan Thomas Bangalter merasakan pemakaian topi keledar yang futuristik memberikan sensasi yang lebih menyeronokkan pada penonton dan peminat mereka. Walaupun begitu, kisah sebenarnya, selepas kegagalan band pertama mereka berdua iaitu Darlin' dan menubuhkan Daft Punk, pada mulanya mereka tidak pun menyorokkan identiti mereka. Pada 1996, mereka berdua mula menyorokkan identiti mereka dengan menggunakan bahan yang ada di sekeliling mereka ketika ditemuramah, sehingga mereka pernah menggunakan plastik sampah.
Kemudian, pada tahun 1999, mereka mula mencipta persona-persona yang seiring dengan hala tuju muzik mereka, jadi lahirlah konsep manusia robot yang mereka rekakan, bersama bantuan beberapa orang artis dan pakar kesan visual serta kostum. Apabila di tanya sebab sebenar kenapa mereka mencipta alter ego itu, jawapan mereka amat ringkas,"kami mahu asingkan ruang privasi dan ruang awam kami. Amat mudah untuk berasa malu dengan tahap kemahsyuran kami jadi kami tak mahu orang kenal kami di luar sana."
2. BUCKETHEAD
Antara gitaris terhandal dunia, Buckethead atau nama sebenarnya Patrick Carroll memilih untuk membuat persembahan dengan memakai topeng putih tanpa ekspresi yang diilhamkan dari filem "Halloween" dan sebuah kotak bucket jenama KFC yang tertera dengan perkataan "Funeral."
Tidak ada sebab istimewa kenapa beliau memilih identiti tersebut untuk persembahan. Selepas menonton filem Halloween 4, beliau keluar rumah membeli topeng Michael Myers, watak jahat dalam filem tersebut. Pada malam tersebut, selepas makan ayam goreng KFC, beliau meletakkan bucket ayam tersebut ke kepalanya dan merasakan itu identiti dia dalam persembahan selepas ini.
3. KISS
Salah satu kumpulan rock paling terkenal dalam dunia, KISS merupakan legenda bagi peminat muzik tahun 70 an dan 80 an. Apabila ditanya mengapa mereka mencipta persona lain sebagai identiti mereka di atas pentas, Gene Simmons menceritakan mengenai satu zaman di mana semua kumpulan rock sebaya mereka tergila-gila mahu jadi glam, di mana lelaki berebut hendak jadi wanita.]
"Kami lihat mereka semua sesuailah dengan imej tersebut berbanding kami yang kesemuanya seperti pemain American Football dan ketinggian semuanya lebih 6 kaki. Kami bukanlah seperti band sezaman kami seperti Grateful Dead yang tak peduli tentang penampilan ketika berada di pentas. Pada kami, berada di pentas seperti satu tempat yang ajaib jadi kelihatan seperti seorang pengemis di pentas tak sesuai pada kami."
"Jadi pada satu hari, ketika berada di New York, saya memandang cermin dan melukis pada wajah saya. Semua itu berlaku spontan tanpa sebarang perancangan." Daripada itu, lahirlah KISS yang dianggotai oleh 4 watak, Starchild, Spaceman, Catman dan Demon.
4. SLIPKNOT
Slipknot merupakan sebuah band metal yang popular dengan identiti mereka. Tidak ramai yang tahu siapa manusia-manusia di sebalik topeng menggerunkan dan jumpsuit.
Menurut cerita asal bagaimana anggota kumpulan Slipknot memakai topeng, semasa sedang berlatih untuk sesi gig mereka yang pertama pada tahun 1995 semasa perayaan Halloween. Semasa latihan, salah seorang anggota Slipknot bertanya tentang pakaian apa yang akan dipakai. Shawn menjawab yang dia akan memakai topeng tersebut.
Merasa tidak adil Shawn seorang saja akan bertopeng, anggota lain pun memutuskan untuk memakai topeng ketika persembahan pertama mereka.
5. SIA
Sia tidak menggunakan topeng untuk menutup wajahnya, tetapi lebih kepada penggunaan rambut palsu dan topi untuk menutup wajahnya. Selain itu, beliau juga akan berpaling ke belakang setiap kali wajahnya akan dirakamkan.
"Saya mahu menulis lagu dan menyanyi tetapi pada masa yang sama, saya mahu hidup seperti manusia lain," kata Sia. "Saya mahu ke kedai untuk membeli barang yang saya perlukan, tanpa ada sesiapa yang memegang kamera mengikuti saya."
Beliau juga berkata, tindakannya itu juga didorong oleh insiden di mana beliau sedang berbual dengan temannya yang sedang memberitahu beliau berkenaan kanser yang dihidapi rakannya. Ada peminat yang mengenali beliau datang ketika mereka sedang berbual dan mohon bergambar bersama.
"Patut ke perkara itu berlaku?" tanya Sia lagi.