Oleh pada 25 Feb 2023 kategori

Jika anda gemar mengkaji sejarah barat, anda pasti akan menemui beberapa nama yang seringkali kita dengar bagi merujuk kepada selebriti atau artis barat yang popular.

Apabila timbul situasi sebegini, jika anda sama seperti penulis pasti anda akan mula memikirkan adakah persamaan ini disengajakan atau memang hanya sebuah kebetulan yang terjadi. 

Pernahkah anda terfikir kenapa ada segelintir tokoh hiburan mempunyai nama baik nama sebenar atau nama samaran yang berkait dengan tokoh sejarah? Berikut adalah lima individu dalam industri hiburan yang namanya wujud dalam buku-buku teks sejarah zaman lampau.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tupac Amaru

tupac amaru nama tokoh sejarah

Bintang hip-hop di Amerika Syarikat satu ketika dahulu sebelum insiden pembunuhan beliau yang didalangi persengketaan antara dua puak bertelagah pada tahun 1996, menamatkan karier Tupac Amaru Shakur. 

Sehingga hari ini dikenang sebagai individu paling berpengaruh dalam mempopularkan budaya dan muzik hip-hop, nama sebenar Tupac selepas lahir adalah Lesane Parish Crooks.

Namun dia diberikan nama tidak rasmi oleh ibunya, Afeni Shakur dengan nama Tupac Amaru Shakur - nama yang menjulang dirinya dan diambil daripada nama tokoh pemberontakan masyarakat Peru, dengan nama hampir serupa digabung dengan nama keluarga ibunya.

José Gabriel Túpac Amaru atau Tupac Amaru II adalah pejuang yang mengetuai masyarakat yang menetap disekitar Banjaran Andes, bangkit melawan kependudukan Sepanyol di sana - dengan hasrat mahu memulakan kembali legasi tamadun Inca yang pernah bertapak di kawasan tersebut.

Lahir pada tahun 1742, Tupac Amaru dibesarkan keluarga makciknya akibat kematian kedua ibu bapanya, yang mendidik beliau sebagai seorang yang kuat serta teguh dengan pegengan agama.

Oleh kerana kedudukan mendiang ayahnya yang terkenal sebagai pegawai majistret dalam organisasi kerajaan Inca, Tupac mewarisi jawatan itu setelah cukup umur mentadbir jajahan yang sebelum itu ditadbir ayahnya.

Pengaruh beliau serta legasi ayahnya membolehkan Tupac menyatukan masyarakat mereka untuk bangkit melawan pemerintahan Sepanyol, yang pada ketika itu banyak mengenakan dasar yang menekan penduduk.

Berdepan tentera Sepanyol yang lebih lengkap serta ramai, akibat pembelotan dalaman, Tupac ditangkap pada 15 Mei 1781. Selama 3 hari dia diseksa.

Tanggal 18 Mei 1781, Tupac Amaru terpaksa menyaksikan sendiri isteri dan anaknya dibunuh di depan mata sebelum dia dihukum mati, dengan keempat-empat tangan dan kakinya diputuskan dari tubuh terlebih dahulu selepas ditambat kepada kuda, sebelum kepalanya dipenggal kerana memberontak menentang pemerintah.

2. Madonna

madonna nama tokoh sejarah

Wajah Madonna sekarang memang sudah jauh berbeza dengan satu ketika dulu, besar kemungkinan akibat obsesi penyanyi ini untuk melakukan bermacam jenis prosedur bagi mengembalikan seri wajah.

Namun kita tidak boleh menafikan ketika muda, Madonna merupakan antara bintang paling cantik dan seksi di Hollywood. Tetapi tahukah anda apa sebenarnya cerita di sebalik nama beliau? 

Madonna Louise Ciccone lahir pada tahun 1958 hasil pasangan daripada etnik Itali belah bapa dan Perancis di pihak ibunya. Dia dinamakan dengan nama itu, bagi mewarisi nama ibunya Madonna Fortin, terkenal di sekolah kerana gemar melakukan aksi yang agak keterlaluan serta seksi walaupun belajar di sekolah Katolik.

Istilah 'Madonna' datang daripada istilah Itali 'ma donna' yang digunakan bagi merujuk kepada seorang wanita atau 'my lady.'

Di kalangan masyarakat Itali yang menganut ajaran Kristian, mereka juga kerap merujuk ibu kepada Jesus Christ iaitu Mary sebagai 'ma donna' bagi menggambarkan kedudukan tokoh itu dalam masyarakat dan kepercayaan mereka.

Sekitar abad ke 17, penggunaan istilah 'ma donna' mula digunapakai dalam terjemahan kitab Bible dibeberapa kawasan tertentu secara jelas merujuk kepada Mary, khususnya di kawasan di mana aliran Katolik mempunyai pengaruh kuat sehinggakan ada pendapat menyebut lebih baik istilah 'ma donna' dikhususkan hanya untuk penggunaan ini.

Tetapi disebabkan oleh kemunculan seorang bintang pop bernama Madonna yang memang mempunyai nama sebenar dengan nama itu, perbincangan berkenaan kesesuaian larangan penggunaan nama tersebut untuk subjek lain mula dibangkitkan.

3. Anne Hathaway

anne hathaway nama isteri shakespeare

Anda mungkin mengenali pelakon Anne Hathaway sebagai pemain kepada watak Catwoman dalam siri filem Batman arahan Christopher Nolan.

Bagi peminat sastera klasik, nama itu sebenarnya lebih mirip dengan seorang tokoh sastera paling besar dan paling berpengaruh dalam dunia penulisan barat.

Anne Hathaway adalah nama kepada isteri penulis William Shakespeare, penulis kepada kisah Romeo and Juliet, Hamlet, Macbeth serta banyak lagi cerita yang terus diolah dan diadaptasi sehingga ke hari ini.

Berusia 8 tahun lebih tua berbanding suaminya, Anne Hathaway lahir di Warwickshire, England pada tahun 1556. Melangsungkan perkahwinan pada tahun 1582, pasangan Shakespeare dikurniakan 3 orang anak. 

Walaupun Anne Hathaway era moden berkongsi nama dengan salah seorang tokoh dalam sejarah, dia secara peribadi kurang senang dengan namanya yang memang diambil daripada tokoh sejarah itu oelh ibunya, lebih selesa digelarkan 'Annie' dalam rutin seharian.

4. Dido

dido nama permaisuri orang carthage

Dido muncul sekitar tahun 1999, menggemparkan dunia muzik antarabangsa dengan sebuah album yang segar dan unik bagi zaman tersebut.

Kejayaan album berjudul 'No Angel' itu menjadikan beliau layak tersenarai dalam senarai 30 album paling laris jualannya di United Kingdom dan kekal dalam senarai sehingga sekarang.

Lahir dengan nama yang aneh serta diakui tuan punya badan sendiri iaitu Florian Cloud de Bounevialle O'Malley Armstrong.

Walaupun mempunyai nama panjang, ibu dan ayahnya menamakan dia dengan nama samaran 'Dido' (disebut Dai-do), diambil daripada nama Permaisuri Dido, pengasas kepada kerajaan Carthage yang terletak kini disekitar Tunisia, ditubuhkan pada tahun 814SM.

Kisah berkenaan bagaimana Permaisuri Dido menubuhkan empayar itu bagaimanapun disangkal dek ketiadaan bukti atau penemuan yang sahih berkenaannya.

Banyak rujukan tentang Dido direkodkan dalam bentuk penulisan peribadi serta sajak, khususnya dalam koleksi sajak Latin berjudu Aeneid, yang menceritakan tentang seorang pahlawan kota Troy bernama Aeneas yang bertemu dengan Permaisuri Dido, yang akhirnya berakhir dengan rasa suka sama suka.

5. Marilyn Manson

marilyn manson monroe charles nama tokoh

Sejak dari dulu penulis merasa aneh kenapa seorang lelaki yang aneh seperti Marilyn Manson, mempunyai nama yang aneh. Sama ada anda seorang peminat muzik Marilyn Manson atau tidak, kami yakin anda sekurang-kurangnya tahu tentang kewujudan beliau. 

Identiti beliau unik dan ganjil, jika dibandingkan dengan pemuzik-pemuzik lain sezamannya. Brian Hugh Warner lahir pada tahun 1969, mempunyai etnik Inggeris, Jerman dan Poland memulakan kerjaya dalam bidang hiburan sebagai seorang jurnalis.

Perkenalannya dengan individu berpengaruh dalam industri membuka jalan kepada beliau untuk menceburi bidang bidang muzik. Dia memberanikan diri berhijrah ke Florida bagi memulakan sebuah kugiran baru.

Bagi membentuk persona pentas, Brian menggabungkan dua nama iaitu nama ikon hiburan Hollywood dekad 1960-an iaitu Marilyn Monroe serta nama Charles Manson, ketua kepada kultus, pembunuh bersiri terkenal serta seorang ahli muzik di Amerika Syarikat yang mendominasi media ekoran perbuatannya dalam dekad sama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)