Kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 telah dinoktahkan dan memberikan kita satu petunjuk jelas - Lionel Messi adalah pemain terbaik dunia dalam tempoh 2 dekad ini.
Dengan gelaran juara dunia, Messi meletakkan dirinya dalam kelompok pemain legenda yang akan terus dikenang berdekad-dekad lamanya.
Pencarian 'the next Messi' atau 'Messi seterusnya' diteruskan, menginspirasikan bakat baru yang mungkin akan merampas takhta. Bagaimanapun bukan semua 'Messi baru' boleh dikategorikan berjaya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 6 'the next Messi' yang kariernya Ok-lah atau mungkin juga tak seindah mana.
1. Sebastian Giovinco (Messi Itali)
Sejak kemunculan beliau dari akademi kelab Itali, Juventus - Sebastian Giovinco menggalas perbandingan berat dilabelkan media dengan gelaran 'Messi Itali.'
Tubuhnya yang juga kecil dengan ketinggian 164 cm, 5 cm lebih rendah berbanding Lionel Messi memperkuatkan lagi perbandingan itu. Kawalan bolanya yang handal serta kemampuannya bermain di pelbagai posisi mencetuskan perbincangan hangat adakah Itali bakal melahirkan pemain terbaik selepas Messi.
Malangnya 'Messi Itali' gagal mengekalkan prestasi yang baik, bergelut masalah kecederaan. Dia memilih untuk berhijrah ke Kanada, bermain dengan kelab Toronto FC dalam liga Amerika Syarikat dan di sinilah Giovinco menemui tuahnya.
Prestasi cemerlang dalam liga membolehkan Giovinco mencatat rekod sebagai pencetus gol paling cemerlang, melayakkan dia bergelar pemain terbaik liga musim 2015.
Selepas 4 tahun, Giovinco berhijrah ke kelab Arab Saudi Al-Hilal, memenangi Liga Juara-Juara Asia musim 2019 sebelum kembali ke Itali dalam musim 2022.
2. Takefusa Kubo (Messi Jepun)
Terpilih menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada usia 18 tahun menyebabkan nama Takefusa Kubo mula disebut-sebut peminat bola sepak dunia.
Apatah lagi dia memang mempunyai pertalian lebih awal dengan kelab yang membimbing Messi iaitu Barcelona.
Perpindahannya sejak usia kecil ke akademi bola sepak ulung Barcelona, La Masia membolehkan Kubo memperbaiki kemahirannya. Pada usia 12 tahun, Kubo ketika tampil bersama kelab muda Barcelona, melakukan 74 jaringan dalam 30 perlawanan sahaja!
Walau bagaimanapun siasatan FIFA mendapati kontrak di antara Barcelona dan Kubo tidak sah serta melanggar beberapa syarat, memaksa Kubo kembali ke Jepun bersama kelab FC Tokyo.
Dia terpilih menyertai skuad senior kelab itu pada usia 15 tahun, digelarkan sebagai antara pemain berbakat yang mempunyai kemampuan ibarat Messi.
Selepas cemerlang di tanah air, Real Madrid datang memanggil namun peluangnya kurang di sana.
Kubo mula dipinjamkan ke kelab-kelab lain dalam beberapa musim sebelum menandatangani kontrak bersama kelab Sepanyol, Real Socieadad pada bulan Jun 2022. Baru berusia 21 tahun, 'Messi Jepun' ini masih ada banyak peluang untuk membuktikan kemampuannya.
3. Marko Marin (Messi Jerman)
Muncul sebagai seorang pemain tengah kreatif, prestasi Marko Marin bersama kelab Borussia Mönchengladbach dan Werder Bremen membolehkan Marin dibandingkan dengan rakan segenerasinya iaitu Lionel Messi.
Gandingan dia dan Mesut Ozil di Werder Bremen membolehkan Marin mempamerkan aksi hebat, menobatkan dia sebagai bintang muda. Bagaimanapun prestasinya mula menurun selepas Ozil berpindah ke Sepanyol, meletakkan beban kreativiti pasukan di bahunya.
Walaupun begitu kelab England, Chelsea tetap berminat mendapatkan khidmat Marin dan dia menandatangani kontrak 5 tahun bersama kelab itu. Di Chelsea, kehadirannya sebagai seorang pemain berprofil tinggi malangnya tidak membantu nasib Marin.
Dia dipinjamkan ke beberapa buah kelab sebelum akhirnya dilepaskan oleh Chelsea, menyaksikan dirinya berpindah ke Greece bersama kelab Olympiacos; di sana dia bergelar juara liga.
Selepas bermain di Serbia dan Arab Saudi, Marin menamatkan karier bermain dalam divisyen satu Hungary bersama kelab Ferencvaros dan mengumumkan persaraannya dari karier bola sepak pada usia 33 tahun.
4. Gerard Deulofeu (Messi Sepanyol)
Walaupun ramai pemain di akademi Barcelona mempunyai reputasi hebat dan berjaya mencipta nama dalam liga bola sepak seluruh dunia, hanya sebahagian kecil pemain dari sana memikul beban menjadi 'Messi' seterusnya.
Salah seorang daripada 'Messi baru Barcelona' adalah Gerard Deulofeu, pemain kelahiran Sepanyol yang malangnya senantiasa dibayangi pemain bintang Argentina itu.
Lebih menyedihkan bagi Deulofeu, sejak muda dia dikatakan mampu melakukannya.
Berikutan daripada pelbagai tawaran penajaan komersial yang diterima ketika hanya berusia 14 tahun, Deulofeu yakin beban bergelar 'Messi baru' akan menjulang dirinya bergelar yang terbaik di dunia.
Selepas dewasa, Deulofeu menyedari label yang diberikan kepadanya itu hanyalah beban yang sukar dipikul.
Dia berpindah ke kelab England, Everton dan menampilkan aksi baik namun pertukaran pengurusan menyaksikan Deulofeu dipinjamkan ke kelab AC Milan di Itali, di mana dia menampilkan persembahan bertenaga dan berjaya berpindah semula ke Barcelona.
Sekali lagi Deulofeu berdepan kegagalan memecah barisan utama, sebelum berpindah ke England bersama kelab Watford di mana dia mempamerkan prestasi lebih baik dan meninggalkan impak besar di sana.
5. Bojan Krkic (Messi Sepanyol Ori)
Di antara semua pemain yang dilabelkan sebagai 'Messi baru,' Bojan Krkic merupakan pemain paling terkenal dengan jolokan sama.
Ini kerana seperti Messi, Bojan menampilkan persembahan luar biasa bersama skuad muda Barcelona serta telah memecahkan rekod yang dipegang Messi; bergelar pemain paling muda dipanggil menyertai skuad senior kelab itu.
Bojan juga pemegang rekod penjaring gol terbanyak skuad muda Barcelona, dilaporkan melebihi 900 gol sejak berusia 8 tahun yang mengatasi pencapaian Lionel Messi.
Malang bagi Bojan, kariernya turun naik tidak sekonsisten rakan sekelabnya. Dia hanya menyertai skuad senior Barcelona selama 4 musim secara keluar masuk kesebelasan utama, sebelum dipinjamkan ke Itali dan Belanda.
Perpindahan ke kelab Stoke City di England membantu Bojan kembali menyeimbangkan karier, beraksi selama 8 musim sebelum berhijrah ke kelab Kanada, Montreal Impact.
Bojan kini bermain dalam Liga Jepun bersama kelab Vissel Kobe. Bojan sayangnya gagal menepati ramalan untuk bergelar 'Messi Sepanyol' hanya tampil sekali dalam perlawanan bersama skuad kebangsaan, namanya terus dilupa tanpa sebarang penampilan Piala Dunia.
6. Safawi Rasid (Messi Malaysia)
Tidak diketahui apakah kisah sebenar yang berlaku di antara pemain yang bergelar 'Messi Malaysia' iaitu Safawi Rasid dan pengurusan kelab JDT, selepas pemain itu jarang beraksi tidak seperti beberapa musim dahulu.
Kontroversi yang terpalit akibat hubungan cinta serta kritikan yang keras ditujukan kepada tuan punya badan akibat ketiadaan stamina mencukupi untuk bermain 90 minit, memberi kesan kepada kemampuan Safawi.
Sehinggakan semakin banyak pihak merasakan dia tidak lagi layak beraksi untuk skuad negara.
Baru saja menandatangani kontrak bersama kelab Ratchaburi dari Thailand, Safawi ketika ini diberikan peluang menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi 2022, bergelar salah seorang kapten dan tonggak utama pasukan.
Walaupun sudah memenangi pelbagai jenis gelaran baik diperingkat kelab ataupun antarabangsa, reputasi Safawi terus dihantui persepsi yang mengakibatkan keupayaannya bukan saja dicemburui malahan diragui.
Sukar untuk diramal adalah Safawi mampu memenuhi jangkaan orang ramai terhadapnya, tetapi seandainya dia berjaya memacu Malaysia bergelar juara mana-mana kejohanan serantau, sekurang-kurangnya berbaloi juga kita gelarkan beliau 'Messi Malaysia.'