Salah satu budaya yang makin pupus di kalangan orang Melayu adalah budaya maksud tersirat dalam memberikan peringatan, yang kerap diamalkan oleh generasi terdahulu.
Siapa waktu kecil dulu tak pernah ditegur untuk jangan duduk atas bantal, nanti punggung akan naik bisul? Pelbagai peringatan yang ada itu sebenarnya adalah satu cara mengingatkan yang mempunyai makna tersirat yang cukup baik untuk diamalkan, cuma apabila zaman semakin moden, tidak ramai lagi mahu mengamalkan kata-kata tersirat ini dan lebih senang bercakap secara terus.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 pantang larang orang Melayu generasi terdahulu yang kerap diingatkan pada kanak-kanak era dahulu yang benar-benar menunjukkan berbezanya cara generasi dahulu dan sekarang mendidik adab dalam anak masing-masing.
1. Jangan meniarap dengan kaki naik ke atas, nanti mak ayah mati awal
Apabila pantang-larang ini dibuat, kebanyakan gadis-gadis pada masa tersebut hanya memakai kain sarung. Bukan seperti sekarang di mana ramai gadis mengenakan gadis. Jadi larangan ini sebenarnya bertujuan untuk mengelakkan kain si gadis terselak lalu menampakkan apa yang sepatutnya tidak kelihatan.
Punyalah malu orang dulu-dulu dengan kelakuan sebegitu sampai sanggup kata diri sendiri boleh mati kalau anak buat.
2. Jangan mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit
Sebenarnya pantang larang ni senang saja maksudnya. Jangan intai orang mandi, kerana perbuatan tu salah. Namun bagi kanak-kanak, macam mana lah mereka nak faham yang perbuatan itu salah?
Jadi penyakit mata ketumbit digunakan untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak ada yang membesar dan menjadikan tabiat mengintai ini berlanjutan, menyebabkan mangsa intai mengalami kemaluan besar.
3. Jangan menyanyi di dapur nanti kahwin lelaki tua
Pada zaman moden ini kita semua sudah jelas maksud sebenar pantang larang ini adalah untuk mengelakkan masakan hangus kerana leka. Walaupun begitu, amat menarik sekali berbezanya persepsi masyarakat zaman tersebut dengan zaman sekarang.
Zaman sekarang ini orang kita lebih terbuka menerima jodoh yang lebih tua. Lagi tua dan berharta lagi bagus. Dapur pun rasanya dah kurang dijejaki anak gadis yang belum berkahwin.
4. Jangan duduk di atas bantal, nanti punggung naik bisul
Sebenarnya ada banyak sebab kenapa pantang larang ini diamalkan zaman dahulu. Pada zaman dahulu bantal diperbuat daripada kekabu yang lembut dan sarungnya pula diperbuat sendiri menggunakan lebihan kain langsir atau kain ela.
Bantal zaman dahulu kualitinya berbeza-beza jadi apabila duduk di atas bantal boleh menyebabkan kerosakan pada jahitan. Lagipun, amat menjijikkan jugalah apabila seseorang itu kentut bertalu-talu pada bantal dan kemudian dia meletakkan kepalanya di situ.
5. Jangan tunjuk pelangi pakai jari telunjuk, nanti jari kudung
Ini adalah salah satu pelajaran mengenai adab yang banyak ditekankan oleh generasi terdahulu terhadap anak-anak mereka. Niat sebenarnya bukanlah untuk menakutkan anak-anak tetapi untuk mendidik anak menggunakan ibu jari apabila menunjukkan sesuatu.
Menunjukkan sesuatu menggunakan jari telunjuk adalah satu perbuatan yang boleh disalah tafsirkan sebagai memberi mesej menuduh atau menyalahkan seseorang. Mesej sama tidak kelihatan apabila ibu jari digunakan untuk menunjuk sesuatu atau seseorang.
Itulah 5 pantang larang paling kerap saya dengar waktu saya kecil dahulu yang bunyinya amat menggerunkan ketika kecil, tetapi lama kelamaan semakin dewasa kita, baharulah sedikit sebanyak kita dapat tangkap kenapa ibu bapa zaman dahulu mendidik anak menggunakan kiasan yang agak menyeramkan.
Perlukah amalan itu diteruskan atau patut dibiarkan pupus kerana berkata secara terus terang lebih mudah diterima? Terpulang pada anda kerana setiap kita Insya Allah akan bertanggungjawab mendidik generasi muda satu hari nanti.