Seandainya anda tanya pandangan masyarakat Malaysia tentang kedatangan orang Rohingya ke negara kita - pasti anda akan menemui bermacam jenis pandangan.

Sama ada mereka menyuarakan agar dilarang masuk, dihantar pulang kesemuanya, pindahkan ke tempat lain dan sebagainya. Agak jarang penulis dapat membaca pandangan di mana seseorang itu bersetuju agar integrasi etnik Rohingya ke dalam masyarakat kita dilakukan dengan lebih berkesan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun kita melihat seakan wujud bermacam jenis solusi dalam menangani masalah pelarian Rohingya di sini, setiap solusi sebenarnya mempunyai kekangan dan halangan yang berbeza. Jom kita fahami 3 jenis solusi utama kepada isu ini serta kekangan-kekangan yang dihadapi dalam melaksanakannya.

1. Di hantar pulang semula

rohingya buddha ekstrim anti islam

Satu perkara yang jarang diperkatakan berkaitan pelarian Rohingya di Malaysia, adalah kewujudan kumpulan etnik lain yang juga datang dari Myanmar - menjadikan Malaysia tempat perlindungan.

Kumpulan etnik Rohingya menjadi sasaran disebabkan oleh jumlah mereka yang ada di Malaysia terbesar tetapi realitinya, jumlah pelarian Myanmar di Malaysia sebenarnya dibentuk oleh beberapa etnik berbeza.

Rohingya meliputi jumlah terbesar seramai 77,130 orang, diikuti oleh etnik Chin yang majoritinya beragama Kristian seramai 29,630, Muslim Myanmar seramai 9,810 orang dan 4,030 orang etnik Rakhine.

pelarian perang myanmar rohingya

Bagaimanapun, di antara keempat-empat kumpulan yang ada - kerajaan Myanmar masih lagi mengiktiraf status 3 kumpulan lain sebagai warganegara, membolehkan mereka pulang ke Myanmar tanpa sebarang masalah. Mereka kekal di Malaysia disebabkan oleh rasa takut berhadapan dengan insiden keganasan serta stigma terhadap anti agama selain Buddha yang berleluasa di negara mereka.

Rohingya pula berada dalam situasi tiada negara, di mana Myanmar tidak lagi menganggap mereka wujud. Sekiranya solusi dihantar pulang ingin dijalankan, satu-satunya cara adalah dengan memastikan kerajaan Myanmar kembali mengiktiraf taraf kerakyatan mereka agar Rohingya mempunyai status sama seperti etnik Chin dan Rakhine.

Majoriti individu Rohingya merasakan ini adalah jalan terbaik untuk mereka tetapi tanpa kerjasama kerajaan Myanmar, sukar untuk mereka merasai nikmat kembali ke tanah asal.

2. Integrasi dengan masyarakat setempat

rohingya etnik myanmar malaysia integrasi

Usaha untuk mengintegrasikan pelarian Rohingya khasnya di negara kita telah bermula seawal era 1980-an lagi secara tidak rasmi, namun berdepan kekangan-kekangan yang wujud disebabkan oleh dasar kerajaan Malaysia.

Salah satu solusi yang cuba diketengahkan, adalah untuk kerajaan kita meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 yang telah dipersetujui lebih 145 buah negara. Dengan mempersetujui Konvensyen tersebut, hak-hak pelarian di negara kita akan lebih terpelihara kerana Malaysia perlu merekodkan dan mengenalpasti kemasukan pelarian, serta menyediakan fasiliti yang perlu ada bagi membantu pelarian hidup di sini.

Usaha paling konkrit pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia adalah melalui usaha kerajaan Pakatan Harapan yang menyenaraikan beberapa janji dalam manifesto mereka, salah satunya adalah untuk menandatangani Konvensyen tersebut. Bagaimanapun, perkembangan politik negara kita menghalangnya terjadi.

pelarian rohingya sedih

Tanpa persetujuan konvensyen tersebut, tidak ada hubungan rasmi sebenarnya wujud di antara badan pengelola pelarian UNHCR dengan kerajaan kita - meletakkan kedudukan pelarian di negara kita tidak diiktiraf sebagai pelarian, sebaliknya menjadi pendatang tanpa izin.

Disebabkan itu, pelarian Rohingya tidak dibenarkan menyertai mana-mana pekerjaan secara rasmi, terpaksa bekerja secara haram dengan restoran atau kilang serta berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan. Kanak-kanak Rohingya tidak dapat diberikan pendidikan dengan baik.

Ini menyebabkan beberapa generasi orang Rohingya yang sudah menetap di sini sejak era 80-an, masih terus hidup terumbang-ambing tanpa ada cara bagi mereka menjalani integrasi dengan lebih berkesan. Disebabkan situasi ini, perkahwinan dengan wanita tempatan menjadi pilihan ramai lelaki Rohingya yang romantik - seperti diakui gadis-gadis kita.

3. Penempatan semula di negara lain

warga rohingya di usa

Satu masalah yang dihadapi oleh orang Rohingya sejak dahulu, adalah ketiadaan akses kepada sistem pendidikan menengah di negara mereka. Ini menyebabkan mereka agak terkebelakang berbanding kumpulan etnik lain.

Senario sama juga wujud di kalangan kumpulan pelarian Myanmar di Malaysia, di mana etnik Rohingya kurang berjaya ditempatkan di negara lain berbanding dengan etnik Chin yang lebih mudah diterima. Berbeza dengan etnik Chin yang hanya perlu menunggu setahun atau dua tahun untuk dipindahkan ke negara luar, orang Rohingya majoritinya terpaksa kekal di Malaysia berdekad-dekad lamanya.

Satu statistik yang anda perlu tahu, Malaysia merupakan negara paling ramai menghantar pelarian ke negara-negara luar berbanding negara lain yang menempatkan pelarian seperti Turki, Nepal, Thailand, Lebanon dan Kenya.

keluarga rohingya di milwaukee usa

Permohonan individu dan keluarga etnik Rohingya untuk UNHCR memindahkan mereka kebiasaannya tidak mendapat sebarang balasan, sehinggakan ramai sudah berputus asa untuk memohon beranggapan berlakunya ketidak adilan dalam proses pemilihan UNHCR - disebabkan oleh status etnik Rohingya yang miskin serta faktor agama.

UNHCR juga didakwa meminggirkan etnik Rohingya daripada ditempatkan semula, kerana UNHCR merasakan kewujudan etnik Rohingya yang besar di Malaysia - akan lebih memudahkan integrasi orang Rohingya di sini berbanding negara lain. Faktor agama juga dianggap pengukuh bagi orang Rohingya terus tinggal di negara kita, berbanding negara seperti Amerika Syarikat dan sebagainya.

Harus diberitahu, dalam sesetengah kes di mana permohonan orang Rohingya diluluskan untuk penempatan semula, ada juga pelarian menolak negara yang menerima mereka disebabkan oleh kebimbangan tentang dasar negara tersebut dalam melayan pelarian Rohingya.

Bagi mereka, walaupun tiada akses kepada pendidikan, pekerjaan dan fasiliti sepatutnya - lebih baik susah di Malaysia berbanding negara luar yang belum tentu lebih baik menerima kehadiran mereka.

Kesimpulan

warga myanmar rohingya diserang tentera tatmadaw

Pada pendapat kami, kami lebih gemar meletakkan sepenuhnya beban kesalahan atas apa yang berlaku kepada kerajaan Myanmar sendiri. Ini kerana kami merasakan etnik Rohingya adalah mangsa situasi kejam yang sengaja menjahanamkan masa depan mereka.

Kritikan yang kami terima ke atas beberapa artikel kami realiti sebenar di sebalik etnik Rohingya serta sejarah mereka, sedikit sebanyak membuka mata kami kepada sentimen yang sedang hangat diapi-apikan sekarang.

Tidak dapat dinafikan ada di kalangan individu Rohingya berkelakuan sumbang, tidak mematuhi adat resam masyarakat kita serta gagal menjadi manusia yang berguna. Itu tidak kami nafikan namun, siri artikel kami bukanlah untuk menyatakan sokongan kepada mereka - sebaliknya mahu menjelaskan kepada anda kenapa mereka berada dalam situasi sedemikian rupa.

Penulis tidak bersetuju dengan langkah kerajaan sebelum ini yang mahu meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951, kerana penulis percaya dengan menandatangani perjanjian tersebut akan membuka ruang lebih mudah kepada pelarian masuk - sehingga kita hilang kawalan ke atas jumlah pelarian di negara sendiri.

Dalam isu pelarian dan konteks masyarakat kita, penulis lebih cenderung agar keharmonian masyarakat kita dijaga.

Sekiranya pelarian Rohingya benar sudah mula menyebabkan isu, mereka layak dihantar pulang. Namun bagi mereka yang benar-benar bersyukur dapat menumpang di Malaysia, tak salah untuk kita turut sama menjaga kebajikan mereka sehinggalah satu hari nanti mereka dapat kembali ke negara asal mereka, untuk meneruskan hidup yang dah lama tergendala.

Rujukan

Livelihood strategies of Rohingya refugees in Malaysia (pautan PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)