Insiden-insiden penggodaman atau 'hacking' merupakan insiden di mana rangkaian komputer digodam dan diceroboh masuk, tanpa kebenaran pemilik rangkaian atau peranti tersebut.
Memerlukan kemahiran yang tinggi serta pengetahuan yang luas dalam bidang komputer, penggodam atau 'hackers' merupakan individu yang perlu kita takuti sekiranya mereka memang menyimpan niat jahat; apatah lagi dalam zaman di mana semua perkara disimpan secara digital.
BESARKAN TEKS A- A+
Adakah anda salah seorang peminat kisah-kisah tentang 'hacking'? Tahukah anda tentang lima kisah penggodaman paling legenda direkodkan dalam sejarah setakat ini?
1. Godaman Radio Marconi 1903
Pada 4 Jun 1903, pencipta Guglielmo Marconi dilaporkan akan melakukan demonstrasi tentang ciptaannya yang terbaru dan bakal mengubah telekomunikasi dunia - komunikasi tanpa wayar. Marconi percaya ciptaannya itu akan memudahkan perhubungan dilakukan dalam jarak yang sangat panjang tanpa gangguan ke atas isyarat yang dihantar.
Bagi membuktikan teknologinya, Marconi akan menghantar satu mesej dari Cornwall yang terletak di bahagian barat daya England kepada kawannya, Prof. Fleming yang ada di London duduk dalam sebuah teater syarahan. Prof. Fleming menerima mesej namun mesej yang diterima merupakan satu kutukan kepada Marconi sendiri. Jelaslah, sistem komunikasi tanpa wayar Marconi berjaya diceroboh individu lain.
Rupa-rupanya, rangkaian Marconi diceroboh oleh pesaing rapat beliau, seorang pereka dan ahli silap mata bernama Nevil Maskelyne yang berjaya memintas mesej asal - dalam usaha untuk membuktikan dakwaan Marconi tentang keselamatan rangkaian tanpa wayar ciptaan beliau - bukanlah seselamat yang disangkakan. (The Great Wireless Hack of 1903)
2. Melakukan panggilan jarak jauh percuma
Josef Engressia atau 'Joybubbles' lahir pada tahun 1949, seorang buta namun mempunyai kebolehan meniru bunyian dengan sempurna sekali. Mempunyai kepintaran tinggi dengan kadar IQ sekitar 172 membolehkan dia memahami teknologi di sebalik rekaan telefon, mula mengkajinya sejak berusia 4 tahun. Berikutan ketiadaan rakan sepermainan, Engressia menjadikan hobi mendengar nada telefon sebagai teman tidurnya.
Sehinggalah pada satu hari dia menyedari seandainya dia bersiul dalam satu nada tertentu, rangkaian telefon yang ada akan terhenti seterusnya membolehkan panggilan jarak jauh dilakukan tanpa melalui operator penghubung.
Keupayaan ini didiamkan sebelum dia menyambung pengajian di University of South Florida, di mana dia menawarkan khidmat panggilan jarak jauh pada pelajar dengan kadar $1 sekali telefon. Selepas perkhidmatannya itu dibongkarkan, dia ditahan dan didakwa atas kesalahan menipu syarikat telefon pada tahun 1971, didenda dan diminta untuk tidak mengulangi perbuatannya. Engressia akur dan berjaya ditawarkan kerja dengan syarikat telefon selepas itu.
3. Pasukan godam '414' 1983
Sekumpulan anak muda yang berkemahiran dalam bidang komputer saling bekerjasama antara satu sama lain, berkongsi kemahiran dan minat yang sama. Ekoran daripada itu, mereka menamakan kelab kecil mereka '414' sempena nombor kod telefon pekan mereka. Atas kemahiran masing-masing, mereka mula mencari cabaran yang lebih besar; mahu memecah masuk ke dalam rangkaian komputer luar yang lebih kukuh sekuritinya.
Dengan menggunakan peralatan yang ringkas serta strategi yang mudah, 414 berjaya memecah masuk ke dalam rangkaian komputer milik hospital francais Sloan-Kettering, perpustakaan negara Los Alamos serta rangkaian komputer milik Security Pacific Bank.
Kerugian yang mereka sebabkan tidaklah besar dan gangguan yang wujud hanyalah pada tahap minima. Namun mereka memulakan tren baru aktiviti godaman secara berkumpulan dan pihak FBI agak gusar sekiranya aktiviti seperti mereka mula diikuti pihak lain.
Oleh kerana ketiadaan undang-undang yang mampu menghukum apa mereka lakukan, kerajaan Amerika Syarikat terpaksa mensabitkan kesalahan mereka menggunakan tuduhan melakukan panggilan telefon untuk mengganggu pihak lain, dengan denda $500 dan dua tahun tempoh berkelakuan baik. Mereka juga adalah kumpulan pertama di dunia digelarkan sebagai 'hackers.'
4. Adrian Lamo vs The New York Times
Dikenali sebagai 'the homeless hacker' kerana gemar hidup secara nomad, Adrian Lamo merupakan seorang penggodam yang membina kemahiran sendiri. Dia mula terkenal selepas berjaya memecah masuk ke dalam rangkaian telekomunikasi WorldCom pada tahun 2001 sebelum terkenal di seluruh dunia selepas berjaya menyusup ke dalam rangkaian dalaman gergasi media The New York Times, pada tahun sama.
Dari situ, dia berjaya memuat turun data peribadi dan maklumat tentang 3,000 kolumnis media tersebut termasuklah senarai data sulit, melibatkan beberapa orang bekas Presiden Amerika Syarikat, VIP serta selebriti. Selepas 15 bulan siasatan atas dakwaan The New York Times bahawa ada individu berjaya memecah masuk ke dalam sistem mereka, barulah Lamo menyerah diri kepada pihak FBI pada bulan September tahun 2003. Dia dihukum penjara di rumah selama dua tahun dan disaman $65,000.
Pada tahun 2010, nama Lamo sekali lagi menjadi sebutan selepas dia mendedahkan kepada umum berkenaan sumber sebenar yang membocorkan banyak dokumen rahsia milik kerajaan Amerika Syarikat kepada pemilik Wikileaks, iaitu Julian Assange. Individu tersebut, Chelsea Manning (asal Bradley Manning) ditahan selepas siasatan membuktikan Chelsea bekerjasama dengan Assange dalam skala yang sangat besar sehingga mampu menggugat kestabilan negara.
5. Stuxnet
Tidak diketahui sehingga kini siapakah penulis asal program yang telah berjaya memecah masuk sistem nuklear milik kerajaan Iran ini. Ada pendapat mengatakan serangan itu berpunca daripada sistem serangan yang dihasilkan daripada kerjasama kerajaan Amerika Syarikat dan Israel.
Mempunyai saiz tidak sampai 1MB, program ini tidak diketahui bagaimana boleh berada dalam rangkaian komputer Iran, berjaya menjahanamkan simpanan uranium milik Iran dengan menghentikan beberapa fungsi dan peralatan yang sepatutnya berjalan - tanpa disedari selama lebih 17 bulan.
Pakar nuklear Iran pula selama tempoh tersebut, tidak mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku kerana program yang dikenali sebagai 'stuxnet' itu bertindak untuk memintas dan melaporkan kepada pegawai bertugas bahawa keadaan masih terkawal dan normal.
Dikenali dengan nama 'stuxnet' berdasarkan kepada salah satu sintaks yang ada dalam pengaturcaraan program tersebut, belum ada pihak mengaku mereka dalang di sebalik insiden itu. Beberapa pendedahan tidak rasmi menamakan program itu dibangunkan semasa pemerintahan George W. Bush sehinggalah era Barrack Obama.
Kod 'stuxnet' dilaporkan amat kompleks dan efisien. Sekiranya mahu dibangunkan semula, diramalkan memerlukan masa lebih 2 ke 3 tahun bagi mereplikasikan semua fungsi dan kebolehannya.