Anjing merupakan haiwan yang jinak dan biasanya menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan terutamanya bagi mereka yang bukan beragama Islam. Selain comel, sifatnya yang mudah mendengar kata berbanding kucing menjadikannya lebih mudah dibela dan dilatih.
Bagi setiap pemilik anjing, adalah penting bagi mereka melatih dan mendisiplinkan anjing mereka. Selain itu, mereka perlulah memahami setiap perlakuan dan tingkah-laku anjing peliharaan mereka. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 mitos popular yang sebenarnya tidak benar mengenai anjing.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Anjing hanya boleh melihat dalam warna hitam dan putih
Spektrum warna yang dapat dilihat oleh mata anjing
Pendapat yang mengatakan anjing hanya mampu melihat dalam dua warna iaitu hitam dan putih merupakan mitos yang sangat popular. Tidak dapat dipastikan daripada manakah datangnya mitos ini tapi ia berkemungkinan teori awal para saintis sebelum mereka memahami lebih mendalam tentang struktur mata anjing.
Realitinya, anjing boleh melihat dalam pelbagai warna namun tidak seperti manusia. Anjing dikatakan hanya separuh buta warna dimana ia hanya boleh melihat beberapa warna seperti kuning, biru, hijau dan kombinasi warna-warna ini.
2. Mulut anjing lebih bersih dari mulut manusia
Walaupun kuman-kuman yang ada pada mulut anjing secara semulajadinya tidak merbahaya kepada manusia, itu tidak bermaksud mulutnya lebih bersih daripada mulut manusia. Hal ini kerana anda perlu tahu bahawa anjing juga gemar memakan atau menjilat sampah, tanah dan benda-benda yang kotor.
Apabila anjing menjilat anda, bakteria dan kuman daripada benda-benda kotor ini boleh berpindah pula kepada anda. Sekiranya anjing anda gemar menjilat muka anda, pastikan anda membersihkan muka anda dengan air selepas itu.
3. 1 tahun manusia bersamaan dengan 7 tahun anjing
Mengatakan 1 tahun umur anjing bersamaan dengan 7 tahun manusia sebenarnya tidak ada asasnya kerana seekor anjing sudah mula mampu bersenyawa ketika kurang dari 1 tahun lagi. Banyak anjing yang mampu hidup sehingga 15 tahun dan jika formula ini digunapakai, ini bermaksud ianya mampu hidup selama 105 tahun dalam tahun anjing. Adakah ini sesuatu yang logik?
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan anjing secara umumnya membesar lebih pantas daripada manusia pada peringkat awalnya dan mula berkurangan apabila sudah berumur. Baka anjing turut dikatakan mempengaruhi tempoh hayat seekor anjing.
4. Anjing menggerak-gerakkan ekornya ketika gembira sahaja
Benar, seekor anjing akan menggerak-gerakkan ekornya ketika sedang gembira. Menggerak-gerakkan ekor dengan pantas bukan sahaja menunjukkan ianya sedang gembira, tetapi mungkin juga memberi isyarat ianya sedang takut, cemas atau bertindak agresif.
Oleh itu, anda perlu berhati-hati terutamanya dengan anjing liar. Jangan jadikan pergerakan ekornya sebagai salah satu indikator untuk mendekatinya. Lihat juga bahasa tubuh badannya ketika itu sama ada ia dalam keadaan agresif atau selamat untuk didekati.
5. Hidung yang panas dan kering menandakan ia tidak sihat
Kelembapan dan suhu hidung anjing sering dijadikan sebagai indikator untuk menentukan tahap kesihatan seseekor anjing. Namun, ia bukanlah cara yang tepat. Secara semulajadinya, hidung anjing menjadi kering ketika waktu tidur dan akan kembali normal kira-kira 10 minit selepas terjaga daripada tidur.
Kekeringan hidung ini juga mungkin disebabkan pelbagai faktor lain seperti alergi dan dehidrasi. Malah, sesetengah hidung anjing juga akan semakin kering apabila mereka semakin berumur. Walau bagaimanapun, sekiranya anda dapati hidungnya sentiasa kering dan badannya kelihatan tidak sihat, sila bawa berjumpa doktor veterinar dengan kadar segera.
Diharapkan perkongsian ini berguna terutamanya bagi mereka yang memelihara anjing dirumah. Sebagai pemilik anjing, adalah penting untuk anda mendapatkan ilmu yang sahih mengenai anjing agar anda lebih mudah memahami haiwan peliharaan anda.
Kredit: