Ceritanya bermula dengan seorang profesor sains agrikultur di Universiti Tokyo, Hidesaburō Ueno, telah lama menginginkan seekor anjing dari baka Akita Jepun yang asli. Setelah lama mencari, salah seorang daripada pelajarnya mencadangkan kepada Hidesaburō supaya mengambil anjing bernama Hachiko dari bandar Odate di wilayah Akita.
BESARKAN TEKS A- A+
Mengikut cadangan pelajarnya, Hidesaburō lalu mengambil anjing tersebut, yang diberi nama panggilan Hachi. Sejak dari itu, Hidesaburō dan Hachiko menjadi teman baik. Hidesaburō melayan Hachiko dengan penuh kasih sayang seperti anak sediri dan mereka seolah-olah tidak dapat dipisahkan.
Hachiko semakin membesar dan menjadi semakin bijak. Hachiko mula mengikuti Hidesaburō ke Stesen Keretapi Shibuya di tengah bandar Tokyo yang mana tempat tuannya itu menaiki keretapi untuk ke tempat kerja. Apabila tibanya waktu petang, Hachiko akan sekali lagi ke stesen ini dan menunggu tuannya pulang daripada kerja.
Ia menjadi rutin harian Hachiko untuk menghantar dan menjemput Hidesaburō di stesen tersebut.
Pada 21 May 1925, Hachiko yang berusia 2 tahun itu menunggu di pintu keluar stesen keretapi tersebut seperti yang biasa dilakukannya. Namun, kali ini, Hidesaburō tidak kelihatan. Hachiko menunggu dan terus menunggu. Melihatkan tuannya tidak kunjung tiba, Hachiko pulang ke rumah.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah Hidesaburō telah mengalami pendarahan otak ketika sedang memberi kuliah, dan mati secara mengejut.
Kerana kesetiaannya kepada Hidesaburō, Hachiko kembali ke tempat menunggunya pada petang keesokan harinya untuk menjemput kepulangan tuannya, namun sekali lagi, tidak menjadi kenyataan. Hachiko tidak berputus asa dan terus menunggu pada setiap pagi dan petang tepat pada waktu keretapi yang biasa dinaiki tuannya tiba.
Hachiko kemudiannya pindah dan tinggal bersama tukang kebun yang bekerja dengan Hidesaburō iaitu Kuzaboro Kobayashi. Namun, Hachiko tetap berulang alik ke stesen keretapi tersebut.
Hachiko mengulanginya selama 9 tahun, 9 bulan dan 15 hari, tanpa jemu. Tiada siapa yang mampu menerangkan kepada Hachiko supaya berhenti menunggu kerana tuannya sudah tiada.
Ramai orang yang selalu menaiki keretapi di situ termasuk pekerja di sekitar, mengenali Hidesaburō dan Hachiko tetapi reaksi mereka tidaklah begitu mesra pada mulanya.
Namun selepas artikel mengenai Hachiko diterbitkan dalam akhbar Asahi Shimbun pada 4 Oktober 1932 dan juga sebuah syarikat akhbar ternama Jepun telah menerbitkan cerita mengenai Hachiko, Hachiko telah menjadi selebriti yang terkenal di seluruh Jepun.
Cerita di media telah memberikan inspirasi kepada ramai orang yang kemudiannya datang melawat Hachiko di Stesen Keretapi Shibuya dan memberikan makanan dan snek kepada Hachiko ketika menunggu kepulangan tuannya. Mereka menggelarkannya sebagai "Chuken-Hachiko" yang bermaksud Hachiko si anjing setia.
Pada 8 Mac 1935, ketika Hachiko berusia 11 tahun, ia ditemui mati di sebuah jalan di Shibuya. Pada Mac 2011, saintis akhirnya mengesahkan sebab kematian Hachiko, adalah disebabkan barah dan jangkitan filaria. Juga terdapat 4 lidi satay di dalam perut Hachiko, namun bukanlah penyebab kematiannya.
Selepas kematiannya, Hachiko telah dibakar dan abunya ditanam di Tanah Perkuburan Aoyama, Tokyo, bersebelahan dengan tuan kesayangannya, Profesor Hidesaburō. Bulu Hachiko telah diawet dan dipelihara lalu dijadikan patung. Ia dipamerkan di National Science Museum of Japan, Tokyo.
Patung peringatan Hachiko juga telah dibina di Shibuya Station Square. Hachiko menjadi simbol kesetiaan di Jepun.
Rujukan: