Penjajahan memang banyak meninggalkan kesan pada negara kita, khasnya penjajahan Britain yang telah banyak mengubah struktur masyarakat kita serta memperkenalkan sistem-sistem yang ketika ini - banyak juga menyebabkan kerosakan dalam masa yang sama, berbanding faedah yang kita perolehi.
Selain kita, beberapa negara seperti India, Afrika malahan negara-negara Eropah juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa gerakan kolonialisme Britain menyebabkan banyak masalah timbul disebabkan langkah-langkah Britain satu masa dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Pernah bergelar empayar terbesar dalam sejarah dunia, Britain sudah beberapa kali memohon maaf atas kesilapan yang mereka lakukan. Berikut adalah 5 peristiwa di mana Britain mengakui kesilapan mereka dan memohon maaf secara terbuka.
1. Memohon maaf atas kesengsaraan orang Ireland
Bermula pada tahun 1845 sehinggalah tahun 1849, masyarakat di Ireland melalui zaman kesengsaraan yang mereka gelarkan sebagai 'Gorta Mor' atau 'era kelaparan'. Tahun 1847 khasnya disifatkan sebagai tahun paling dahsyat dalam sejarah mereka sehingga tahun tersebut digelarkan sebagai 'Black 47.'
Serangan penyakit ke atas kentang tanaman masyarakat Ireland yang berlaku di sekitar Eropah, menyebabkan berlakunya kelaparan besar-besaran sehingga menyebabkan populasi Ireland turun 20 ke 25% pada zaman tersebut. Pada waktu itu, Ireland diperintah di bawah pentadbiran UK of Great Britain and Ireland.
Pada tahun 1997, Tony Blair melakukan permohonan maaf kali pertama mewakili kerajaan Britain terhadap apa yang telah berlaku - menyalahkan pihak pemerintah Britain ketika itu gagal untuk bertindak dengan betul membantu masyarakat yang sengsara. Tempoh tersebut menyebabkan sistem ketuanan tanah di Ireland atau 'landlordism' berubah, mengalihkan kekayaan orang tempatan kepada pihak luar.
2. Permohonan maaf kepada orang Kenya
Pada 5 Jun 2013, Setiausaha Luar Britain (ketika itu) William Hague melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Kenya yang diseksa dan dihukum oleh pegawai-pegawai kolonial British, sekitar tahun 1950-an.
Permohonan maaf itu dikeluarkan selepas satu kes saman melibatkan sekumpulan orang Kenya yang menuntut permohonan maaf dan pampasan di atas segala kejadian yang berlaku pada nenek moyang mereka, dengan permohonan maaf itu dilakukan dalam salah satu sidang parlimen Britain - walaupun beberapa bulan sebelum itu Britain berkata mereka tidak perlu memohon maaf atas tindakan pegawai-pegawai mereka.
Di atas tuntutan itu beserta permohonan maaf yang dinyatakan, kerajaan Britain juga bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak RM130 juta ringgit, dibahagikan kepada lebih 5,200 waris individu Kenya yang menjadi mangsa kekejaman kolonialisme semasa era pemerintahan Gabenor Evelyn Baring di British Kenya.
3. Memohon maaf atas program migrasi kanak-kanak besar-besaran
Salah satu program yang dilakukan oleh Britain yang jarang diperkatakan kita, berlaku sekitar 50 tahun dahulu apabila mereka melancarkan program yang dinamakan 'Child Migrants Programme' atau program migrasi kanak-kanak, melibatkan kanak-kanak Britain sendiri.
Kerajaan Britain akan memilih mana-mana kanak-kanak berusia 3 ke 14 tahun khasnya anak yatim piatu atau datang dari latar belakang susah, untuk dihantar ke negara-negara koloni mereka bermula daripada tahun 1920 hingga 1960. Kanak-kanak itu dikatakan boleh menjalani hidup lebih selesa di negara seperti Kanada dan Australia - namun sebaliknya berlaku.
Dianggarkan sekitar 150,000 orang kanak-kanak Britain dipindahkan ke negara-negara luar yang akhirnya terpaksa ditempatkan semula di rumah anak yatim, dipaksa untuk tinggal di gereja-gereja atau lebih malang; menjadi mangsa deraan keluarga angkat mereka. Permohonan maaf dilakukan pada 24 Februari 2010 oleh Perdana Menteri Britain ketika itu, Gordon Brown. (Britain's child migrant programme)
4. Mengakui krisis Pakistan-India disebabkan mereka
Dalam satu sesi perjumpaan bersama kumpulan pelajar di Pakistan pada 7 April 2011, Perdana Menteri Britain (ketika itu) David Cameron diajukan soalan berkenaan pandangan beliau terhadap krisis hubungan yang wujud sekian lama antara Pakistan dan India.
Cuba memilih untuk tidak berpihak kepada mana-mana negara, Cameron menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri Britain haruslah menyedari kesan buruk yang telah berlaku disebabkan oleh campur tangan Britain kepada banyak negara koloni mereka sebelum itu - termasuklah di wilayah bergolak Kashmir, yang disifatkan beliau - krisis ciptaan Britain sendiri.
Dikritik kerana dikatakan terlalu bersimpati dengan nasib yang menimpa Pakistan dan tidak berbangga dengan kejayaan yang dicapai Britain di dua negara itu, Cameron hebat dikritik kerana sehari sebelum itu - beliau baru mengumumkan bantuan sejumlah £650 juta untuk Pakistan, sebagai 'pampasan' atas nasib yang menimpa Pakistan akibat penjajahan serta sumbangan atas kerjasama Pakistan memerangi gerakan keganaasan. (Britain triples aid for Pakistan's schools)
5. Memohon maaf atas pembunuhan rakyat India
Sehingga kini, kerajaan Britain belum pernah mengakui kesilapan mereka secara rasmi dalam insiden yang kini diingati sebagai Jallianwala Bagh atau Tragedi Amritsar yang berlaku pada tahun 1919 - di mana orang awam dengan sengaja ditembak oleh tentera British, sehingga mengorbankan ratusan nyawa.
Desakan agar Britain melakukan permohonan maaf secara formal sehingga kini belum dipenuhi, kerana Britain dianggap enggan mengakui kesalahan yang dilakukan Jeneral mereka ketika itu, Jeneral Reginald Dyer dan pasukannya yang menembak orang ramai secara rambang selepas keadaan menjadi kelam-kabut.
Setakat ini, beberapa petanda menunjukkan Britain sudah mula mengendurkan keangkuhan mereka selepas Ratu Elizabeth dan David Cameron mengunjungi lokasi peristiwa berlaku. Pada 10 April 2019, sempena ulangtahun ke 100 peristiwa tersebut yang jatuh pada 13 April 2019, Theresa May, Perdana Menteri Britain (ketika itu) melakukan kenyataan secara terbuka menyifatkan kekesalan Britain ke atas insiden tersebut, sebagai mewakili pandangan kerajaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu disifatkan oleh pembangkang Britain bukanlah berniat ikhlas dan masih dilihat sebagai dolak-dalih Britain mengelakkan diri mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang, oleh mereka yang terkesan disebabkan peristiwa berdarah itu. (Deeply regret suffering caused due to Jallianwala Bagh massacre)