Rekod-rekod sejarah yang ditulis semasa zaman penjajahan British seringkali membawakan kisah atau acuan perspektif yang serupa, tak kiralah di mana British menjajah; seperti di India atau di negara kita.
Negara yang mereka jajah akan diisytiharkan mundur, terkebelakang, tidak mampu berdikari sendiri dan yang lebih popular dimainkan - adalah bagaimana masyarakat tempatan atau masyarakat asal menunjukkan kebergantungan yang sangat tinggi kepada orang British yang 'baik hati' membangunkan minda dan fasiliti negara itu.
BESARKAN TEKS A- A+
Membaca beberapa perdebatan hangat yang berlaku di kalangan masyarakat, banyak membuatkan penulis berfikir tentang bagaimana penjajahan membentuk persepsi kita terhadap masyarakat kita sendiri. Pernahkah anda terfikir, apakah sebenarnya kesan penjajahan pada minda kita?
Penjajah perlu dilihat dalam aspek positif?
Salah satu tema yang kerap kali diangkat serta dijulang, baik daripada pihak individu mahupun pihak kerajaan (tak kiralah parti mana yang memegang tampuk kuasa) adalah usaha untuk menghargai apa yang British sudah lakukan atau lebih malang, kurniakan pada kita - khasnya apa yang kita sebut sebagai kemerdekaan.
Sambutan kemerdekaan yang kita sambut saban tahun, apa yang kita raikan sebenarnya? Pernahkah anda terfikir apa sebenarnya yang kita raikan? Adakah kita meraikan pemberian kemerdekaan tanpa pertumpahan darah daripada tangan penjajah? Adakah kita meraikan perjuangan nenek moyang kita dulu menuntut kemerdekaan?
Mengapa majoriti negara yang dijajah British, meraikan sambutan kemerdekaan?
Agak tidak keterlaluan sekiranya penulis mengakui, penulis mempersoalkan apa itu sambutan kemerdekaan apatah lagi melihat seluruh negara meraikan sesuatu yang pada penulis; tak sepatutnya kita raikan. Ini kerana penjajahan sepatutnya dilihat bukan sebagai sesuatu yang baik, tetapi sebagai sesuatu anasir buruk yang perlu dinilai secara negatif.
Malangnya, British juga telah berjaya meninggalkan kita dengan banyak bantuan dan pertolongan jadi hendak tak hendak pastilah akan ada usaha untuk membuatkan British dilihat seakan-akan 'orang-orang baik' dalam sejarah kita.
'Menghargai' sumbangan British
Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sangat mengenali beberapa peristiwa yang seringkali diangkat dan diulang-ulang, untuk menampakkan peranan British di Tanah Melayu harus dilihat daripada sudut positif.
Yang pertama adalah era pendudukan Jepun di Tanah Melayu di mana Jepun dikatakan mengamalkan dasar pemerintahan kejam, tidak takut untuk menyeksa orang ramai dengan hukuman minum air sabun serta kejadian-kejadian pancung kepala yang menjadi igauan ngeri orang ramai. Selepas kekalahan Jepun serta berakhirnya penjajahan mereka di Tanah Melayu, muncul keadaan huru-hara apabila beberapa pihak cuba merampas kuasa.
Ini membawa kepada peristiwa kedua, apabila British kembali ke Tanah Melayu - membantu menstabilkan situasi dengan membawa askar-askar Ghurka bagi menentang ancaman komunis ketika itu.
Yang ketiga, adalah peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang proses tuntutan kemerdekaan di mana rundingan demi rundingan dijalankan. British diceritakan sebagai 'penjajah' yang memberikan kerjasama yang baik, tidak menekan serta sudi mendengar pandangan pemimpin masyarakat kita ketika itu.Satu-satunya acara yang menunjukkan wujudnya penentangan orang Tanah Melayu terhadap British yang kerap dipopularkan adalah perjuangan menentang Malayan Union. Pada ketika inilah British mula dilabelkan sebagai pihak yang cuba memadamkan kekuasaan orang-orang Melayu di Tanah Melayu, mahu menjadikan Tanah Melayu koloni penuh dan agenda itu menyebabkan kebangkitan semangat orang Melayu menentang British.
Tetapi kita semua sudah tahu, perjuangan menentang British sebenarnya sudah pun bermula sebelum itu lagi oleh orang-orang tempatan.
Pahlawan tempatan yang bangkit menentang British sejak awal
Masyarakat kita tidak pernah lekang daripada mempelajari tentang perjuangan tokoh-tokoh Tanah Melayu yang lebih awal menentang British.
Sebagai contoh, peristiwa perang Naning yang melibatkan Penghulu Dol Said di mana British terpaksa membelanjakan ratusan ribu pound untuk menewaskan beliau dan pasukan askarnya, seterusnya mengambil alih pusat pentadbiran Naning dan membakar rumah-rumah mereka yang bersekutu dengan beliau.
Kisah Dato' Maharajalela dan peranannya dalam rancangan membunuh J.W.W Birch merupakan salah satu kisah yang paling popular. Marah akibat campurtangan British ke dalam urusan orang Melayu selain daripada sistem pengenalan cukai pro-British, pembunuhan J.W.W Birch menyebabkan Dato' Maharajalela ditangkap dan kemudiannya digantung sekitar tahun 1877.
Di Sarawak, orang Sarawak sendiri bangkit menentang 'Raja Sarawak' James Brooke, bekas askar British yang menamakan diri sendiri sebagai Raja selepas berjaya menewaskan pemberontakan penduduk tempatan dengan bantuan Syarikat British-India Timur. Dipimpin oleh tokoh tempatan bernama Rentap, beberapa siri serangan berjaya merampas kembali kawasan-kawasan milik orang Iban namun Rentap akhirnya hilang, selepas sekian lama berjuang gagal menewaskan dan menguasai kubu James Brooke.
Ini dengan jelas menunjukkan bahawa pada zaman awal pendudukan British, masyarakat tempatan sebenarnya sudah mula melawan dan membenci apa yang berlaku. Tetapi entah di mana detiknya, British mula dilihat sebagai 'pembawa rahmah' kepada Tanah Melayu dan kepulauan Borneo sehingga menyebabkan penentangan demi penentangan yang berlaku lenyap - membolehkan British mula merencanakan rancangan mereka pada kita.
Protes orang Melayu secara senyap
Sekiranya dilihat dalam perspektif berbeza - tindakan orang Melayu ketika itu enggan bekerjasama dengan British dalam kegiatan ekonomi sehingga British perlu mengimport masuk pekerja-pekerja asing dari China dan India untuk bekerja memenuhi visi penjajahan mereka - sebenarnya ibarat melakukan protes dalam senyap.
Atas keengganan orang Melayu zaman itu yang tidak mahu diperintah dalam perihal pekerjaan, British mula memainkan sentimen orang Melayu malas dan tidak mahu berusaha membangunkan tanah sendiri, sekadar berpuas hati cukup untuk hidup sendiri dan enggan bersaing dengan ekonomi-ekonomi dunia lain yang berkembang ketika itu.
Tak dapat penulis nafikan daripada satu sudut, kedatangan British memang mempercepatkan pembangunan Tanah Melayu daripada segi infrastruktur. Sistem jalan raya dibina, jalinan jalan keretapi dibangunkan. British memperkenalkan sistem pentadbiran yang lebih teratur dan mereka juga mempunyai visi ekonomi serta perdagangan yang jauh ke depan ketika itu.
Walau demikian - segala kemajuan yang dibawa benarkah itu yang dimahukan penduduk Tanah Melayu ketika itu? Itu persoalan yang penulis kerap kali fikirkan, setiap kali tibanya sambutan hari kemerdekaan. Kita tahu tujuan British membina semua itu bukanlah untuk membantu Tanah Melayu - tetapi untuk memudahkan mereka menjarah hasil bumi kita.
Kenapa masyarakat kita perlu dididik untuk menghargai usaha British memajukan Tanah Melayu? Adakah kerana kedatangan British ke Tanah Melayu turut sama berkait dalam menaikkan taraf hidup masyarakat Cina dan India yang dibawa ke sini, berbanding dengan negara asal mereka?
Membaca beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin kerajaan - dapat dilihat bahawa orang Melayu khasnya tidak jelas di mana kita duduk dalam berbicara tentang British. Ada pihak yang menganggap British datang membawa kebaikan jadi kita perlu melihat mereka daripada perspektif yang positif.
Ada juga pihak yang sependapat dengan penulis, lebih gemar melihat British sebagai asal sebenar mereka ke Tanah Melayu - kaum penjajah. Jadi penulis tinggalkan anda dengan dua persoalan.
Pertama - patutkah kita melihat penjajahan sebagai sesuatu yang positif?
Kedua, pada detik bilakah yang anda rasakan dalam sejarah kita, perjuangan menentang British ditukar menjadi 'pemberontakan menentang kerajaan British di Tanah Melayu?'