Setiap 13 April, masyarakat India akan melakukan upacara memperingati satu tragedi yang pernah menimpa mereka. Tarikh 13 April 2019 bermakna telah genap 100 tahun insiden itu berlaku.

Tragedi yang berlaku di daerah Amritsar, Punjab menjadi titik tolak keseluruhan masyarakat India bersatu menuntut kemerdekaan penuh bagi negara mereka daripada British yang ketika itu menjajah dan menguasai tanah air mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

tragedi amritsar mahatma gandhi

Peristiwa ini mengubah minda orang India, membentuk perspektif baru terhadap penjajah yang selama ini dipandang mulia dibantu dengan kemunculan individu bernama Mohandas Gandhi, seorang penyokong kuat British pada awalnya yang akhirnya menjadi tokoh paling lantang menentang British, melalui kaedah uniknya.

Akta Rowlatt sebagai pencetus

rowlatt act undang undang britain

Ekoran wujud ancaman pengganas terhadap pemerintahan British di India, kerajaan British menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Britain bernama Sidney Rowlatt. Mengambil namanya, jawatankuasa yang dibentuk itu dinamakan Jawatankuasa Rowlatt.

Jawatankuasa Rowlatt dibentuk bagi mengkaji solusi kepada ancaman keganasan yang diramalkan sedang berlaku serta boleh merebak lebih besar di sekitar daerah Bengal dan Punjab. Mereka juga perlu menyelidik hubungan pemberontak dengan kerajaan Jerman dan Russia ketika itu yang dikatakan memberikan dana pada kumpulan pemberontak. Gerakan-gerakan yang dibantu Jerman khasnya dirasakan boleh menggugat kedudukan Britain di India, yang mahu mengukuhkan kedudukan mereka selepas tamatnya perang dunia pertama.

Hasil daripada kajian itu, sebuah kertas cadangan yang dinamakan 'Anarchical and Revolutionary Crimes Act of 1919' atau lebih dikenali dengan nama Akta Rowlatt diluluskan pada 10 Mac 1919. Kesannya, kerajaan Britain memperkenalkan undang-undang penahanan mana-mana individu yang dikaitkan dengan gerakan pemberontakan selama dua tahun, tanpa peluang untuk dibicarakan. Dah macam ISA la juga kan?

Selain itu kerajaan Britain juga mengenakan kawalan lebih ketat pada media. Sistem mahkamah tidak berjuri diperkenalkan. Mana-mana individu yang telah ditahan dan dibebaskan di bawah Akta Rowlatt dilarang daripada menyertai sebarang acara melibatkan politik, pendidikan dan juga upacara keagamaan.

Kebangkitan Mohandas Gandhi

mahatma gandhi sewaktu muda

Akta Rowlatt yang diperkenalkan menyebabkan wujud pelbagai kekangan kepada masyarakat India dan kebebasan mereka seakan-akan sengaja disekat. Bagi menyuarakan bantahan kepada kerajaan Britain, satu rapat umum atau hartal dianjurkan dikepalai oleh Mohandas Gandhi sendiri, dengan hartal pertama diadakan di Bombay pada 6 April 1919. 150 ribu orang menyertainya.

Hartal yang dianjurkan mendapat sambutan yang di luar jangkaan diibaratkan seperti mengejutkan masyarakat India daripada lamunan, serta dianggap berjaya menyatukan komuniti India yang berpecah belah ketika itu dalam satu suara.

Kejayaan awal ini membolehkan Gandhi terus menjadi suara menyatukan komuniti mereka. Rancangan berikutnya adalah dengan melakukan satu lagi rapat umum di Punjab, di mana nama Gandhi sangat disegani penduduknya.

hartal india gandhi

Walau bagaimanapun, British mula melihat Gandhi sebagai ancaman menerusi kejayaan hartal yang dianjurkannya. Kerajaan British mengeluarkan arahan agar Gandhi tidak dibenarkan hadir ke Punjab. Semasa dalam perjalanan dan sudah tidak jauh daripada destinasinya dalam keretapi, Gandhi diarahkan berpatah balik serta dikenakan larangan masuk ke Delhi dan Punjab.

Berita tentang larangan yang dikenakan ke atas Gandhi sampai pada masyarakat di Punjab. Sebagai tindak balas terhadap tindakan itu, masyarakat Amritsar membakar sebuah bank milik Britain dan membunuh 3 orang pengurusnya. Insiden ini menjadi pencetus kepada pemberontakan lebih besar.

Kematian seorang pendakwah wanita Kristian warga Britain yang dipukul dan dibiarkan mati di tepi jalan, memaksa kerajaan British mula mengambil langkah lebih drastik dan keras.

Pembunuhan beramai-ramai individu tidak bersenjata

reginald jeneral britain

Bertindak balas, tentera British mula menggunakan kekerasan menembak mati 15 orang India dalam satu insiden pemberontakan kecil. Bagaimanapun masyarakat Amritsar kembali melawan, membunuh 5 orang rakyat British seterusnya mensabotaj  hubungan telegraf yang menjadi saluran utama komunikasi kerajaan ketika itu.

Bagi mengawal keadaan, undang-undang tentera diisytiharkan pada 11 April 1919 dan kuasa diberikan sepenuhnya pada Brigadier Jeneral Reginald Dyer, menyelia Punjab dengan bantuan beberapa kontinjen askar Gurkha dan Britain di bawah kawalannya.

Di bawah Jeneral Dyer, kawalan ke atas orang ramai diperketatkan lagi. Masjid dan kuil ditutup kepada orang ramai. Bekalan air dan elektrik dimatikan sekiranya kediaman tersebut berkait dengan suspek individu pemberontak. Hukuman terbuka dijalankan pada mana-mana suspek yang berjaya ditangkap dan yang lebih memalukan, orang India dipaksa merangkak seperti ular ketika mereka melalui lokasi di mana pendakwah wanita tadi mati dibunuh - sebagai balasan terhadap perbuatan mereka.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, pemberontak mula mengorak langkah lebih kemas. Sebuah perhimpunan besar cuba dianjurkan sebagai satu bentuk bantahan pada 13 April 1919, bertempat di Jallianwala Bagh - sebuah taman awam. Tarikh yang dipilih pula serentak dengan sambutan hari Vaisakhi, permulaan tahun baru bagi orang Sikh.

pembunuhan beramai amritsar

Pada 13 April 1919, amaran yang dikeluarkan oleh Jeneral Dyer kepada orang ramai yang hadir melalui megafon tidak dihiraukan kerana hakikatnya, tidak ramai yang tahu larangan perhimpunan yang telah diperkenalkan. Ini memaksa Dyer membawa 50 orang askar dan dua buah kereta perisai bagi mengawal keadaan.

Tanpa ada sebarang provokasi, Jeneral Dyer mengarahkan tembakan rambang dilepaskan pada ribuan manusia yang ada di situ yang dianggarkan sekitar 15,000 kesemuanya. Ekoran jumlah manusia yang terlalu ramai, pasukan askar tidak lagi mampu mengenalpasti individu pemberontak yang berkumpul menyebabkan askar menembak membabi buta. Sedangkan majoriti yang ada di situ hadir untuk meraikan hari Vaisakhi. Selama 10 minit tembakan dilepaskan oleh pasukan askar di bawah arahan Jeneral Dyer, mengorbankan 337 lelaki, 41 wanita dan seorang bayi. Malangnya, kawalan Britain ke atas media serta ketiadaan cara untuk berhubung,  menyebabkan insiden buruk yang telah berlaku itu senyap tidak diketahui masyarakat luar, berbulan lamanya.

Dua bulan selepas insiden

amritsar pembunuhan beramai ramai

Selepas hampir dua bulan insiden tersebut, barulah laporan pertama tentang insiden itu disiarkan oleh wartawan. Bagaimanapun tindakan menerbitkan laporan ini menyebabkan beberapa orang editor surat khabar di India dikenakan tangkapan dan dipenjarakan.

Setelah mendapat tahu perkara yang telah berlaku dengan lebih jelas, Gandhi memulakan usaha mahu melawat Punjab namun larangan ke atasnya tetap dipertahankan. Hanya pada bulan Oktober tahun tersebut, akhirnya Gandhi dibenarkan hadir ke daerah tersebut bagi merekodkan sendiri apa yang telah berlaku 4 bulan sebelumnya.

Selepas menghabiskan beberapa bulan di Punjab mendapatkan testimoni lebih 1,700 orang saksi, Gandhi menyampaikan laporan siasatan beliau kepada kerajaan British namun cadangannya untuk menangani apa yang telah berlaku ditolak. Berikutan penolakan ini, Gandhi yang sebelum itu berpegang kepada prinsip mahu mewujudkan kerjasama di antara masyarakat India dan penjajahan British, mengambil keputusan melawan secara terbuka dengan memboikot sistem yang diperkenalkan British pada mereka.

Gandhi memperkenalkan dasar-dasar 'tidak bekerjasama' secara halus; mengambil jalan mengelakkan pemberontakan secara berdepan agar tidak tidak membahayakan keselamatan orang ramai.

amritsar shaheed 09april jallainwala tourist amritsar monumen

Antara langkah yang diperkenalkan Gandhi adalah menyeru masyarakat India untuk tidak lagi berkhidmat dengan Britain, menyeru askar dan polis warga India berhenti daripada perkhidmatan mereka secara sukarela, mengajak orang ramai memboikot bayaran cukai, tidak lagi menghantar anak-anak ke sekolah beraliran Britain serta memboikot semua acara kerajaan.

Tekanan ini memaksa kerajaan Britain memberhentikan Jeneral Dyer daripada tugasannya namun dia tetap diberikan pencen separuh gaji. Tindakan gilanya itu bagaimanapun mendapat pujian beberapa pihak di Britain. Kerajaan Britain sendiri dilihat meletakkan Dyer sebagai seorang wira yang sanggup melakukan apa saja bagi mempertahankan kedaulatan kerajaan British, ekoran mengaturkan pengebumian penuh hormat tidak rasmi selepas dia meninggal dunia.

Selepas hampir 80 tahun kejadian tersebut, Ratu Elizabeth menjadi pemimpin Britain pertama yang mengunjungi lokasi kejadian tersebut. Perdana Menteri Britain, David Cameron turut sama melawat taman Jallianwala Bagh pada tahun 2013, namun tidak melakukan permohonan maaf secara rasmi atas apa yang telah dilakukan Britain satu masa dulu.

Tanggal 13 April 2019 menandakan genap 100 tahun insiden buruk ini berlaku namun bagi masyarakat India khasnya di Amritsar, Punjab - tragedi ini merupakan sebuah memori yang tak mungkin dapat mereka lupak; menjadi titik tolak bangunnya masyarakat India dengan Mahatma Gandhi sebagai tunjangnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)