Memiliki kenderaan zaman sekarang sudah menjadi sesuatu yang sangat kompleks, disebabkan oleh penambahan pelbagai jenis teknologi dan cip fungsi yang didakwa membantu pemanduan. 

Walaupun begitu, bukan semua fungsi baru atau tambahan yang dipasang sebagai kelengkapan untuk pilihan anda benar-benar berguna. Ada banyak fungsi yang telah anda bayar, tetapi selepas 3 bulan memandu - langsung anda tak gunakan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fungsi-fungsi yang bersifat gimik atau sekadar ditambah tanpa ada utiliti tunjangnya, kadangkala jelas dibuat hanya untuk meninggikan kos harga kereta. Berikut adalah lima fungsi popular dalam kelengkapan kereta moden, tetapi sebenarnya tak berguna.

1. Integrasi sosial media dan internet

integrasi sosial media dalam kenderaan 02

Dalam zaman moden, media sosial menjadi antara medium komunikasi utama - tetapi persoalannya, perlukah media sosial diintegrasikan ke dalam sistem kenderaan? 

Apakah kegilaan ini? Perlu sangatkah seseorang menyemak mesej dan notifikasi Whatsapp atau Messenger yang masuk semasa memandu? Sibuk sangat ke hidup seseorang itu sampai perlu bantuan Google Assistant ketika perlu tekun membelok?

Lihat saja video demonstrasi yang diterbitkan Google, bagaimana seorang wanita menggunakan enjin carian SEMASA MEMANDU untuk mendapatkan informasi. Karut kan?

2. Fungsi kawalan suara

voice control fungsi kenderaan

Penulis pernah memiliki kereta yang mempunyai fungsi kawalan suara untuk membuat panggilan. Kita tekan butang di stereng, sebut nama (yang perlu ditetapkan ke dalam sistem unit kawalan terlebih dahulu) dan unit audio akan mendail nama yang kita sebutkan. 

Sepanjang lebih 5 tahun memandu dengan kereta itu berapa kali agaknya penulis menggunakan fungsi itu? Tak sampai 10 kali. Ini kerana selepas beberapa kali cubaan dan nama lain yang didail, penulis jadi serik nak terus menggunakannya. 

Lagipun terpekik-pekik dalam kereta cuba untuk mendapatkan nama yang betul, mampu membuatkan pemandu lain di sebelah mula menjeling. Takut juga nanti ada yang ingat kita orang gila, mengamuk dalam kereta dan akhirnya tular pula video kita di internet tanpa perakamnya tahu hujung punca peristiwa.

Anehnya, fungsi kawalan suara ni semakin diperkembangkan. Nak buka tingkap pun boleh guna suara. Aduhai, butang tu dah ada tepi tangan anda. Tekan je.

3. Tuil tukar gear di stereng

paddle shifters tuil tukar gear kereta

Untuk sesetengah kereta yang menggunakan sistem CVT, pertukaran gear tidak dirasai membuatkan ramai pemandu 'teringin' nak merasai kewujudan gear. Jadi apa yang pengeluar buat? Cipta tuil penukar gear di stereng, mirip kereta pelumba F1.

Seminggu dua baru dapat kereta, memang seronoklah main dengan sistem gear ni tapi lama kelamaan kita pun langsung tak sentuh dah tuil yang dipasang. Tuil yang cantik rekaannya tu akhirnya jadi perhiasan sahaja.

Ada sebabnya kenapa kereta manual tidak lagi menjadi pilihan utama orang ramai, berbanding kereta automatik yang langsung tak memerlukan pemandu menukar gear.

Gear automatik juga teknologinya sudah jadi terlalu baik dalam menentukan waktu terbaik anjakan perlu diubah, mengakibatkan tuil tukar gear ni hanyalah gimik yang masih cuba dijual.

4. Aksesori tanpa fungsi

roof rail hiasan kosmetik tidak ada fungsi

Salah satu kereta jenis MPV yang cukup popular di negara kita mempunyai aksesori tambahan yang dipasang pada bahagian bumbung, mirip rupanya seperti rak besi yang akan digunakan bagi menambah ruang kapasiti storan kereta melalui pemasangan kotak tambahan. 

Namun apa yang menjadi isu, jelas sekali pengeluar kereta itu telah pun memperjelaskan - rak yang dipasang itu hanyalah bersifat kosmetik, tidak mempunyai apa-apa fungsi dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai rak pemegang storan tambahan.

Digelarkan rel bumbung, peralatan ini dipasang hanya untuk mencantikkan sesebuah kenderaan agar bumbungnya tidak kelihatan kosong. Apalah salahnya jika rel yang dipasang itu direka agar benar-benar dapat digunakan.

Pembeli model ini ramai yang penulis nampak terpaksa pasang rel berbeza, terus mencacatkan rekabentuk asal kenderaan mereka.

5. Skrin sesentuh

skrin sentuh infotainment fungsi berbahaya

Spesifikasi kereta zaman sekarang sudah meletakkan skrin sesentuh sebagai aksesori utama. Sistem audio yang masih menggunakan butang kawalan kini hanya digunakan dalam model lebih murah dan bajet. 

Tetapi jika anda tanyakan penulis mana satu pilihan penulis, penulis secara jujur, ikhlas dan berterus-terang akan mengatakan penulis lebih gemar sistem butang fizikal. Ada keyakinan untuk kita memandu sambil jari mampu merasai butang-butang yang perlu ditekan. Kawalan juga jadi lebih tepat dan tidak mengalihkan fokus.

Ini berdasarkan pengalaman penulis menggunakan skrin sesentuh dalam kereta selama 5 tahun. Cantik memang cantik, tetapi skrin sesentuh walaupun direka sebaik mana pun memerlukan mata kita beralih lebih lama untuk melihat skrin. Kita perlu membaca, menelaah dan mentafsir apa yang dipaparkan.

Kenapa kita tidak dibenarkan menggunakan telefon semasa memandu sedangkan kita dibenarkan pula mengawal skrin sesentuh? Sama saja akibatnya; mata pemandu perlu beralih. 

Bila kita dah biasa menggunakan sesuatu sistem kawalan berasaskan butang fizikal, badan kita sudah dilatih untuk 'tahu' di mana butang itu terletak dan setiap fungsi butang yang ada secara automatik. Mata masih memandang ke depan pun boleh kita tukar lagu, tukar siaran radio dan juga melakukan panggilan.

Dengan touchscreen? Urgh. Susah. Penulis doakan agar trend memasang skrin sesentuh dalam kereta ni mati cepat, kerana jika terus dijadikan standard - lebih ramai pemandu yang akan mati cepat apabila terleka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)