Oleh pada 03 Dec 2017 kategori

5 faktor mempengaruhi minyak dunia

Sebagai rakyat Malaysia, memang lebih mudah untuk melihat dalam kepompong pasaran domestik semata-mata bagi melihat kenapa berlakunya kenaikan harga minyak, namun kita perlu menerima yang harga minyak petrol dan diesel di negara kita sudahpun diapungkan mengikut pasaran dunia.

Ini bermaksud, harga yang kita dapat lihat sekarang, sedikit sebanyak lebih mirip dengan harga sebenar 1 liter minyak di seluruh dunia. Harga itu terpaksa dikatakan lebih mirip kerana kita masih lagi menggunakan purata secara mingguan, yang mungkin akan menyebabkan ada sedikit perbezaan berbanding harga sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, apa sebenarnya yang mendorong kenaikan harga minyak? Berikut adalah 5 faktor yang menyebabkan berlakunya peningkatan harga minyak yang pasti akan membuatkan ramai manusia di seluruh dunia tak senang duduk.

1. Faktor Venezuela

tunjuk perasaan di venezuela

Ketika ini kerajaan Venezuela di bawah Nicholas Maduro sedang menyeimbangkan negara mereka yang dilanda krisis teruk. Krisis ini bermula selepas kejatuhan harga minyak dunia dan Venezuela, sebagai pengeluar minyak terbesar dunia - mengalami kehilangan pendapatan kerajaan yang sangat-sangat membebankan seluruh masyarakat Venezuela.

Untuk melihat pengaruh Venezuela dalam isu ini, kita perlu melihat dari dua sudut. Pertama, gesaan Venezuela yang mahukan negara-negara pengeluar minyak dalam OPEC mengehadkan pengeluaran minyak dunia, agar dapat berlaku kenaikan harga minyak bagi membantu membina semula ekonomi mereka. Bagaimanapun, jika kerajaan mereka gagal menstabilkan kembali negara, pengeluaran minyak mentah di seluruh Venezuela akan terganggu.

Apabila bekalan daripada Venezuela turun mendadak akibat negara yang tidak aman, ini akan menyebabkan pengeluaran menjadi lebih rendah daripada yang dirancang Venezuela dan akan menyebabkan harga minyak melambung lebih tinggi, kerana keperluan negara lain pula untuk memenuhi bekalan daripada Venezuela yang kurang.

2. Politik negara luar

kemerdekaan kurdistan dari iraq

Krisis masyarakat akibat pemberontakan yang berlaku di beberapa negara pengeluar minyak seperti Libya, Nigeria serta masalah yang berlaku di antara Kurdistan yang baharu saja mengumumkan kemerdekaan daripada Iraq dan dengan Turki mengancam untuk menghentikan eksport minyak dari daerah bergolak itu , juga menjadi antara penyebab dijangkakan harga minyak akan kembali melonjak.

Wilayah Kurdistan sahaja, yang masih lagi dibayangi oleh pengganas ISIS dikatakan mempunyai anggaran simpanan minyak sebanyak 45 billion tong. Andai pengeluaran daripada negara-negara yang bergolak ini terhenti atau berkurangan, ini sedikit sebanyak akan menyebabkan harga minyak melonjak berikutan kekurangan bekalan bagi menampung permintaan dunia.

3. Peranan OPEC

senarai anggota opec

Kali terakhir negara-negara pengeluar minyak dalam OPEC berjaya membentuk persefahaman dalam menghadkan pengeluaran minyak adalah pada tahun 2001. Satu perjanjian serupa telah pun ditandatangani pada November 2016 di kalangan negara-negara OPEC (Malaysia bukan anggota OPEC) untuk menurunkan pengeluaran minyak ke tahap yang sesuai bagi menaikkan harga minyak kepada USD60-USD70.

Itulah apa yang berlaku ketika ini.

Dalam usaha mereka menurunkan pengeluaran, kerjasama di antara negara-negara OPEC dan negara pengeluar minyak bukan di bawah OPEC seperti Russia dan Malaysia, yang bertanggungjawab mengeluarkan hampir 55% jumlah keperluan minyak di seluruh dunia berjaya mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari. Ini bersamaan dengan 2% daripada jumlah pengeluaran keseluruhan dunia.

4. Peranan Arab Saudi dan Russia

perjanjian saudi dengan russia

Dua negara ini memainkan peranan paling besar dalam menentukan harga minyak dunia, oleh kerana itu kedua-dua negara mempunyai kepentingan masing-masing yang berbeza haluannya.

Untuk memulihkan semula ekonomi mereka, Russia telah pun merangka pelan 3 tahun bagi memulihkan ekonomi mereka yang telah jatuh merudum ketika ini. Akibat kejatuhan harga minyak tempohari, tidak banyak belanja terhadap pembangunan dapat dijalankan. 2 juta penduduk jatuh miskin, pendapatan rakyat Russia menurun sebanyak 9%, polisi bantuan dan pencen terpaksa dipotong dan tunjuk perasaan telah berlaku kecil-kecilan.

Dalam perancangan 3 tahun mereka, Russia menjangkakan yang harga minyak akan terus kekal pada kadar USD40 ke USD45 satu tong dengan ekonomi Russia kembali ke tahap lebihan pada tahun 2019. Mengapa Russia memerlukan harga minyak yang lebih rendah? Ini kerana sebagai sebuah negara yang sangat bergantung kepada eksport minyak, Russia perlu memastikan mereka dapat mengeksport jualan minyak mereka bagi memastikan tahap kewangan mereka berada pada tahap seimbang, seperti yang dirancang.

Kegagalan mengeksport minyak Russia, jika harga minyak terlalu tinggi dan menyebabkan negara pengguna mendapatkan bekalan daripada negara lain, seperti Amerika Syarikat misalnya, akan merencatkan pelan 3 tahun Russia itu.

Bagi Arab Saudi pula, mereka memerlukan harga minyak naik berikutan rancangan kerajaan mereka membuka syarikat minyak terbesar Saudi, ARAMCO kepada pelabur. Untuk mendapatkan nilai saham yang tinggi semasa jualan, kerajaan Saudi perlu memastikan harga minyak melonjak ke satu tahap yang memberikan pulangan besar pada mereka.

5. Faktor Amerika Syarikat

minyak amerika syarikat

Pada 30 November 2017, negara-negara OPEC dan Russia mengumumkan perjanjian kerjasama di antara mereka serta negara-negara pengeluar minyak lain untuk meneruskan sekatan pengeluaran minyak sehingga hujung 2018, dengan bulan Jun 2018 telah ditetapkan tarikh untuk persidangan bagi mengkaji semula kesan-kesan yang timbul akibat tindakan ini.

Perjanjian ini akan memanjangkan tempoh tindakan menghadkan pengeluaran daripada Mac 2018 kepada Disember 2018. Bagaimanapun, risiko yang mereka hadapi ketika ini adalah berikutan campur tangan Amerika Syarikat yang dikhuatiri akan meningkatkan pengeluaran minyak mereka dan seterusnya menyebabkan bekalan yang pada ketika ini dikatakan melebihi permintaan, terus kekal pada kadar tersebut.

Dengan meningkatkan pengeluaran minyak di Amerika Syarikat, sedikit sebanyak kuasa ekonomi dalam menentukan turun naik harga minyak pada OPEC dan negara-negara pengeluar minyak lain berjaya dikurangkan.

Kesimpulannya;

Sebagai pemerhati, kenaikan atau penurunan harga minyak sepatutnya dilihat pada skop yang lebih besar, bukan hanya sekadar pada jual beli petrol di pam semata-mata. Ada unsur ekonomi antara negara, unsur ekonomi dalam negara dan yang paling jelas sekali, pengaruh geopolitik ke atas harga minyak.

Setiap negara ada kepentingan mereka yang perlu mereka halusi dalam menentukan harga minyak dunia dengan kerjasama atau perjanjian, tak semestinya akan berhasil kerana bukan semua negara akan bersetuju dengan langkah-langkah yang diperkenalkan.

Kita di Malaysia, bukanlah negara pengeluar minyak yang besar tetapi kedudukan kita juga penting serta tidak boleh dipandang ringan. Bagaimanapun, kita tetap masih tidak boleh mengelakkan diri kita daripada kesan negatif kenaikan harga minyak ke atas kos sara hidup kita.

Apa yang kami cuba sampaikan hari ini hanyalah bertujuan untuk menggambarkan kepada anda, kerajaan kita tidak mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan hala tuju harga minyak di Malaysia apatah lagi kita masih lagi memerlukan jumlah import minyak yang tinggi, bagi memenuhi keperluan di negara kita.

Harga minyak pasti akan naik berikutan langkah-langkah yang diperkenalkan, namun setinggi mana? Banyak negara terutamanya Arab Saudi mensasarkan harga minyak naik melebihi USD70 satu tong pada awal 2018 dan jika itu berlaku, kita kena lihatlah pula kesannya nanti ke atas kita dan apa pula langkah yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia, bagi menampung kenaikan ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)