Duduk dalam negara berjiran secara serantau, memang akan mengakibatkan wujudnya persaingan di kalangan masyarakat yang ada di dalamnya.
Setiap komuniti dalam sesebuah negara akan ada individu yang gemar memandang apa yang mereka ada dan menilai apa yang mereka tidak ada, seterusnya menyuarakan hujah agar perubahan berlaku supaya kekurangan yang ada disama ratakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kita di Malaysia gemar 'bersaing' dengan Indonesia, membandingkan negara kita dengan mereka walaupun realitinya kita ini serumpun. Selain Indonesia, Singapura juga kerap dijadikan bahan perbandingan - kerana status mereka sebagai negara maju dan hab ekonomi Asia Tenggara.
Apakah benar ada di kalangan warga Singapura memandang rendah Malaysia, sebagai sebuah negara? Memang ada. Persoalannya - kenapa?
1. Kadar tukaran matawang yang memihak mereka
Satu faktor utama yang membuatkan ada di kalangan warga Singapura merasakan mereka berada pada kedudukan lebih melangit adalah disebabkan perbandingan nilai matawang kita. Kita semua tahu perihal ini.
Kuasa membeli rakyat Singapura yang hadir ke sini jelas memberikan mereka kelebihan besar untuk membeli-belah sesuka hati. Situasi ini diburukkan lagi dengan lambakan kehadiran warganegara Malaysia ke Singapura setiap hari, dianggarkan 300,000 orang yang mencari rezeki dalam matawang SGD.
Bagi yang cakna dengan sejarah, anda pasti sudah tahu kenapa situasi ini perlu dilakukan.
Perjalanan ekonomi kedua-dua negara yang berbeza di mana kita memilih untuk menjadi negara pengeksport memerlukan dagangan kita mempunyai harga yang menarik untuk diniagakan dalam pasaran antarabangsa.
Anda mengeluh kenapa ringgit lebih rendah berbanding Dollar Singapura? Jangan lihat ekonomi secara terus sebegitu. Ada banyak sebab kenapa situasi sebegitu membawa kebaikan kepada rakyat kita, khususnya kepada mereka yang menjana pendapatan dalam SGD di sana.
2. Warga Singapura menganggap politik dan kerajaan kita huru-hara
Berbeza dengan kita yang mempunyai sistem politik lebih terbuka sehingga mampu bertukar-tukar huru-hara sekelip mata, warga Singapura mempunyai sistem demokrasi politik yang lebih ketat kawalan kerajaan ke atasnya.
Ini menyebabkan mereka mempunyai sistem yang lebih stabil, memudahkan banyak urusan kerajaan boleh berlaku tanpa kerenah birokrasi serta perebutan kuasa, membolehkan satu-satu visi atau hala tuju yang mahu dilaksanakan bergerak dengan mudah.
Pandangan ini adalah visi yang disuarakan sendiri oleh mendiang Lee Kuan Yew dalam buku beliau, di mana beliau menyebut (kami terjemahkan); orang ramai (rakyat Singapura) tidak memerlukan demokrasi mutlak, sebaliknya mereka lebih memerlukan keperluan asas seperti kediaman, bantuan perubatan, pendidikan dan pekerjaan.
Bagi mendapatkan apa yang dihasratkan, Singapura dibangunkan dengan mengamalkan kaedah ekonomi dari barat yang digabungkan dengan sistem sosialis ketat kawalan kerajaan dalam aspek pembangunan.
Kerajaan Singapura akan merangka satu sistem terbaik yang dapat membantu warga Singapura hidup....ASALKAN tiada bantahan terhadap keputusan yang bakal mereka lakukan kedengaran. Itulah yang dapat kita lihat sehingga sekarang, di mana warga Singapura mendapat manfaat tetapi mengorbankan kebebasan politik mereka.
Kita pula memilih jalan berbeza, di mana kita boleh merusuh di jalanan, bertukar-tukar kerajaan sesuka kita tetapi dasar kerajaan akan berdepan kesukaran kerana ketidak stabilan yang ada.
3. 'English' mencantikkan masyarakat mereka
Segelintir kita di Malaysia mengukur kebijaksanaan kita, melalui penguasaan bahasa Inggeris. Makin cekap English kita, makin educated lah kita.
Di Singapura, perkara ini turut sama berlaku tetapi dalam skala lebih besar. Oleh kerana bahasa Inggeris sudah diangkat sebagai bahasa penyatuan kaum etnik di Singapura, memang lebih lancarlah penguasaan bahasa Inggeris warga Singapura berbanding kita di Malaysia, yang lebih kerap berbahasa ibunda.
Dalam era pasca penjajahan dan English masih dilihat sebagai salah satu faktor mudah bagi mengukur tahap pendidikan sesebuah masyarakat, atas sebab itulah ada di kalangan masyarakat Singapura merasa malu dengan kemampuan berbahasa Inggeris kita.
Kita punya English daripada segi slanga memanglah tak mampu melawan slanga Singapura yang jelas sudah dikuasai American English bunyinya. Tetapi persoalannya, sampai bila kita nak terus jadikan English sebagai kayu pengukur tahap pendidikan sesebuah negara?
4. Negara mereka bersih
Sebagai rakyat Malaysia, memang kami tak nafikan Singapura bersih. Lawak berkenaan bagaimana seseorang boleh didenda kerana memakan gula-gula getah sudah berbuih kami buat.
Walaupun begitu, dalam hati kami sebenarnya ada rasa dengki jugalah bagaimana sebuah negara berjiran kami boleh dinobatkan sebagai antara bandar paling bersih di dunia - walaupun mempunyai lebih 5.5 juta penduduk dalam tanah yang lebih kecil berbanding Perlis, negeri terkecil Malaysia.
Malaysia pula seperti biasa, mengambil pendekatan 'bersahaja' yang menjadi identiti kita. Ada tempat yang bersih, ada yang tempat yang bolehlah tahap kebersihannya, ada juga yang kalau dilihat nak makan pun hilang selera.
Tetapi keunikan dalam 'kekotoran' dan sikap kurang tegas Malaysia itulah yang memberikan Malaysia identiti kita. Salah satu yang jelas hilang sebagai contoh adalah model perniagaan jalanan atau penjaja.
Kita boleh ada gerai-gerai tepi jalan yang layak dijadikan wajah kita, sementara di Singapura dalam mengejar kedudukan tertinggi dalam senarai negara bersih dunia...mereka hilang budaya peniaga tepi jalan digantikan dengan pusat-pusat penjaja.
Kerajaan Singapura mula menjalankan operasi menghapuskan peniaga tepi jalan dan dipindahkan ke pusat-pusat penjaja yang dibina kerajaan secara berlesen, sekitar dekad 1970-an memberikan model perniagaan ini sistem yang lebih baik...asalkan akur dengan ketetapan-ketetapan yang ada.
5. Mereka dilihat sebagai wajah standard Asia Tenggara
Sebut berkenaan Asia Tenggara, pasti majoriti penduduk dunia tahu tentang Singapura. Ini kerana imej Singapura memang sudah terkenal sebagai 'wajah' atau 'wakil' Asia Tenggara, khususnya dalam aspek pembangunan negara.
Menjadi negara maju pertama dalam rantau ini pasti mengakibatkan masyarakat mereka ada merasakan mereka 'lebih baik' berbanding jiran-jiran mereka.
Tanggapan ini memang berlaku disebabkan oleh sikap suka bersaing yang diterapkan di kalangan masyarakat mereka, menyebabkan mereka melihat individu lain yang gagal duduk dan berdiri setara mereka 'malas' dan 'kurang berusaha.'
Menurut dua penyelidik dari Singapore Management University khususnya berkenaan kumpulan pelajar tempatan, didapati ramai pelajar peringkat tertiari di Singapura merasa berhadapan kesukaran untuk menerima perbezaan ketika berada di negara luar khasnya di rantau ini, akibat kemudahan dan kesenangan yang telah mereka rasai di negara sendiri.
Akibat daripada pendedahan kepada kekurangan atau masalah yang dihadapi negara luar, ramai pelajar tempatan Singapura mudah memandang hina negara lain tanpa boleh mengambil kira kelebihan yang ada pada negara itu.
Salah tanggapan itu akhirnya kekal dipegang sehingga dewasa, mengakibatkan rakyat Singapura ada masalah ego kompleks - membawa rasa bongkak ketika berkunjung ke negara-negara 'lebih rendah' seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya; hanya merasa berada dalam kelompok sendiri ketika berada di kalangan negara maju sahaja.