Sebagai penyokong yang bersifat natural menyokong Liga Perdana Inggeris, menyaksikan kemerosotan pasukan gergasi Liverpool merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.
Liverpool musim lalu cukup digeruni terkenal sebagai sebuah pasukan yang sukar dibolosi serta efisien mencipta gol.
Musim ini, prestasi Liverpool yang masih dibarisi skuad yang sama menamatkan penantian 30 tahun kejuaraan liga Inggeris sangat mengecewakan; ada kalanya melucukan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa? Berikut adalah 5 faktor pada pandangan kami yang menyumbang kepada kejatuhan prestasi mendadak skuad bimbingan jurulatih dari Jerman, Jorgen Klopp ini.
1. Kecederaan Virgil Van Dijk
Banyak pihak akan menyatakan satu punca utama kemerosotan Liverpool bermula disebabkan kecederaan yang dialami pemain pertahanan terbaik dunia ketika ini Virgil Van Dijk, yang dialami semasa menentang Everton pada bulan Oktober 2020.
Dalam semua perlawanan melibatkan beliau, Liverpool menang 91 kali, kalah dan seri 19 perlawanan dengan rekod kemenangan 70.5%.
Prestasi beliau juga sangat konsisten. Van Dijk hanya tidak menyertai 14 kali perlawanan, dengan Liverpool merekodkan peratusan kemenangan 42.9%, dibolosi 22 kali dalam kesemua 14 perlawanan itu.
Pada bulan Februari tahun 2021, Klopp mengumumkan Van Dijk tidak akan beraksi lagi bagi musim 2020-2021 akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Adakah Liverpool terlalu bergantung dengan prestasi Van Dijk tanpa ada pengganti yang setara beliau?
2. Terlalu mempercayai 'hype' Thiago Alcantara
Sudah menjadi satu lumrah, untuk memasukkan seorang pemain ternama ke dalam sebuah unit yang sudah berjalan rapi pasti akan menimbulkan kacau-bilau.
Itulah yang berlaku kepada barisan hadapan Liverpool selepas kelab tersebut mendapatkan khidmat pemain ternama Sepanyol, Thiago Alcantara dari kelab Bayern Munich.
Thiago diramal mampu menjadi kunci utama kepada kelancaran permainan Liverpool namun rekod penampilan beliau menunjukkan sebaliknya.
Sistem yang dimainkan oleh Liverpool yang bersifat garang atau dalam ayat jurulatih mereka sendiri 'bola sepak heavy metal' memerlukan permainan dilakukan segera.
Thiago pula lebih kepada seorang perancang tengah yang berbakat dalam mencari ruang, tetapi dalam masa yang sama melambatkan permainan Liverpool sendiri.
Rekod jaringan yang dilakukan oleh Liverpool jauh lebih tinggi tanpa Thiago Alcantara di tengah. Ini termasuklah rekod jumlah percubaan tepat, jumlah hantaran yang mampu menghasilkan gol serta kadar peluang jaringan.
Tampak Thiago memerlukan masa untuk mengadaptasi dirinya dengan hingar-bingar liga Inggeris yang lebih rancak dan keras.
Berbaloikah Liverpool mengubah sistem yang sudah ada hanya untuk membolehkan beliau beraksi dalam kapasiti sebenar?
3. Lambat menggantikan barisan pertahanan
Kebergantungan Liverpool dengan Virgil Van Dijk tidak boleh dinafikan.
Bagaimanapun malang yang menimpa berkali-kali barisan pertahanan Liverpool gagal diselia kemas barisan pengurusan mereka.
Pemain Croatia, Dejan Lovren yang dijual kepada kelab Zenit Saint Petersburg dari Russia tidak digantikan dengan segera. Joel Matip dan Joe Gomez yang sering digandingkan bersama Van Dijk juga mengalami kecederaan jangka panjang.
Klopp cuba memperkenalkan beberapa orang pemain muda namun kemerosotan mereka seakan gagal dibendung.
Dua pemain pertahanan baru yang dibeli pula nampaknya belum dipercayai sepenuhnya oleh Klopp, selepas dia menyatakan salah seorang daripada mereka belum dapat mengadaptasi terhadap kepantasan tahap permainan di England.
4. Apa yang terjadi dengan salah seorang penjaga gol terbaik dunia?
Dalam perlawanan penting antara Liverpool dan kelab-kelab pesaing seperti Manchester United, Manchester City dan Leicester musim ini dan musim lalu - topik perbualan selepas tamat perlawanan berkisar kepada kesilapan penjaga gol Liverpool, Allison Becker yang sering menghadiahkan gol dalam perlawanan besar.
Walaupun Klopp cuba mempertahankan Allison, Klopp akhirnya tunduk kepada tekanan menyifatkan dua kesilapan Allison dalam perlawanan menentang Manchester City adalah disebabkan rasa gugup.
Apa yang membuatkan semua kesilapan ini sukar dipercayai, adalah kerana prestasi Allison dalam musim-musim terdahulu beliau (dua musim awal) bersama kelab Inggeris itu sangat-sangat menakjubkan.
5. Penanda aras yang berbeza bagi Jurgen Klopp
Jurgen Klopp sebelum ini belum pernah mengemudi kelab sebesar Liverpool (maaf Borussia Dortmund..) dan sasaran yang dijangkakan terhadap beliau, selalunya lebih rendah.
Di Mainz dan Dortmund, Klopp diberikan tanggungjawab membangunkan dan mengemudi dua kelab itu tanpa ada bebanan besar yang biasa perlu ditanggung pengurus sebuah kelab gergasi.
Ini memberikan Klopp ruang untuk melakukan kemahiran utamanya; membangunkan sebuah kelab dari bawah dalam imejnya sendiri.
Kerja keras beliau di dua kelab tersebut meninggalkan kesan besar, melayakkan dia bergelar pengurus/jurulatih paling lama berkhidmat untuk kedua-dua kelab tersebut.
Di Borussia Dortmund misalnya, Klopp membawa kelab itu bersaing melawan gergasi Bayern Munich dengan bajet yang lebih kecil, dibarisi pemain-pemain muda serta seringkali berdepan masalah pemain-pemain utamanya 'dicuri' kelab lain.
Pada awalnya, Klopp tampak mampu membawa perubahan besar kepada nasib Liverpool selepas dilantik sebagai pengurus sejak tahun 2015; memacu Liverpool kembali ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim keduanya sebelum memenangi kejuaraan tersebut dan kejuaraan liga Inggeris pada musim 2018-2019 dan 2019-2020.
Walau bagaimanapun, banyak pihak menyifatkan corak permainan yang diminta oleh Klopp kurang sesuai untuk diteruskan dalam jadual perlawanan musim pandemik yang lebih ketat, meletakkan beban lebih besar kepada pemain sehinggakan ramai yang melakukan kesilapan individu.
Adakah Jurgen Klopp mampu mengemudi krisis perubahan apabila melibatkan kelab yang mempunyai reputasi sebesar Liverpool?
Dia tampak tertekan, tidak lagi tersenyum seperti biasa.
Desas-desus yang menyebut bahawa beliau bakal digantikan oleh seorang bekas pemain berstatus legenda Liverpool yang baru saja meraikan kejuaraan liga Scotland sebagai pengurus sudah dimulakan.
Adakah khabar angin ini menunjukkan Klopp sudah sampai ke had keupayaan dirinya?