Oleh pada 30 Aug 2021 kategori

Nostalgia. Ramai gemar mengingat kembali kisah silam serta kenangan yang mampu membuat kita tersenyum - khasnya peminat sukan bola sepak liga-liga di Eropah.

Pemain-pemain berstatus legenda datang dan pergi, mencipta nama dan menjulang piala, sebelum berpindah ke kelab lain yang menagih khidmat mereka. Majoriti pemain jarang membuat keputusan untuk kembali ke kelab lama mereka, bimbang prestij yang telah mereka bina hancur dalam penampilan kali kedua.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada juga kumpulan yang mengambil keputusan nekad kembali membantu kelab yang pernah mereka wakili, seterusnya menambah lagi kehebatan perjalanan karier mereka. Berikut adalah lima yang comeback mereka paling berjaya.

1. Thierry Henry

thierry henry muda arsenal

Thierry Henry adalah salah seorang penyerang paling digeruni semasa zaman kemuncak karier beliau

Pemain kebangsaan Perancis serta kini legenda kelab Arsenal, Thierry Henry kembali ke kelab di mana dia mencipta nama, selepas 3 musim bersama gergasi Sepanyol, Barcelona dan 5 musim bersama kelab Amerika Syarikat, New York Red Bulls.

Berikutan krisis kecederaan yang dialami Arsenal, Henry mengikat kontrak selama 2 bulan menyarung jersi nombor 12 kelab London itu. Dalam penampilan itu, dia menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan sulung sebagai pemain gantian.

thierry henry jaring gol dalam penampilan semula arsenal

Dalam perlawanan terakhirnya sebelum kontraknya tamat, Henry menjaringkan satu lagi gol dalam waktu kecederaan memberikan kemenangan 2-1 kepada Arsenal.

Sepanjang tempoh 2 bulan itu, Henry muncul dalam 6 perlawanan menjaringkan 2 gol - menunjukkan bisa ketajamannya tidak pernah luntur walaupun sudah 8 tahun meninggalkan kelab yang memberikan dia pentas sebagai bintang utama.

2. Matt Hummels

matt hummels muda bayern

Bagi peminat bola sepak yang kurang mengikuti liga bola sepak Jerman, nama pemain pertahanan tengah Jerman, Matt Hummels mungkin lebih dikenali bersama kelab Borussia Dortmund di mana muncul sebagai bintang utama.

Hummels sebenarnya memulakan kariernya terlebih dahulu bersama kelab gergasi Bayern Munich sebagai pemain muda sebelum dilepaskan kerana dikatakan kurang berpotensi, untuk terus bersama mereka. Hummels dipinjamkan ke Borussia Dortmund sebelum dijual dengan harga perpindahan yang rendah.

Di Dortmund, Hummels mendapat peluang untuk membina kembali kerjayanya, mula terkenal sebagai bek kental serta berjaya meraih caps pertama sebagai pemain kebangsaan.

Hummels mempamerkan aksi memberangsangkan, kekal menjadi tulang belakang Dortmund sehingga berjaya meraih kejuaraan liga sebanyak 2 kali; sebelum kelab lamanya Bayern Munich kembali memancing khidmatnya dengan yuran perpindahan sekitar EUR30 juta.

matt hummels bayern munich

Dia bersama Bayern selama 3 musim, menjulang kejuaraan liga setiap musim dan mengakhiri kontraknya dengan rekod cukup cemerlang.

Hummels mengambil keputusan untuk berpindah semula ke Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan bernilai EUR37 juta pada musim 2019-2020, kekal sebagai tonggak utama pertahanan kelab tersebut.

Reputasi Hummels memang hebatlah kiranya. Dia satu-satunya pemain yang membuat comeback dua kali ke dua kelab berbeza berstatus gergasi liga.

3. Kaka

kaka brazil ac milan muda

Di antara semua pemain terbaik dunia, nama Kaka merupakan nama yang sering disebut gagal memenuhi potensinya - ekoran kabinet trofi yang agak kosong biarpun pernah bergelar pemain terbaik dunia.

Walaupun demikian bagi mereka yang dapat melihat Kaka semasa era kemuncaknya sudah tentu akan ingat bola sepak yang dia mainkan. Memulakan karier di Brazil, Kaka mula terkenal di seluruh dunia selepas menjadi tonggak kelab AC Milan di Itali.

Di sinilah dia menjadi perancang serangan yang cukup digeruni, mengumpan bola-bola untuk penyerang hebat seperti Filippo Inzaghi, Jon Dahl Tomasson dan Andriy Schevchenko menyudahkannya.

kaka brazil ac milan

Bertindak sebagai perancang tidak menghalang Kaka sendiri mencari gol.

95 gol dalam 270 penampilan selama 6 musim menarik minat gergasi Sepanyol, Real Madrid mendapatkan khidmatnya. Dia berpindah ke kelab Sepanyol itu, kekal di Madrid selama 4 musim dengan prestasi agak menurun, dikatakan gagal menyesuaikan diri seperti di Itali.

Kaka memilih untuk kembali ke AC Milan dengan kontrak dua tahun, melakukan penampilan sebanyak 37 kali dengan 9 kali jaringan membolehkan Kaka menjadi antara pemain yang berjaya melepasi tahap 100 gol untuk kelab Itali tersebut.

Kepulangannya diraikan penyokong yang seakan merindui gelecekannya.

4. Robbie Fowler

robbie fowler zaman muda liverpool

Nama Robbie Fowler, bekas penyerang England dan kelab Liverpool merupakan antara nama yang sering menjadi sebutan peminat kelab dari Merseyside itu ekoran gol-gol yang dijaringkannya bersama kelab yang memulakan kariernya.

Fowler lahir pada tahun 1975, menjadi pemain remaja bersama Liverpool sebelum dinaiktaraf sebagai pemain profesional pada tahun 1992. Dia mula menjadi tonggak utama Liverpool bermula tahun 1993 sehingga tahun 2001 - melakukan 236 penampilan dan menjaringkan 120 gol.

robbie fowler liverpool

Fowler berpindah ke Manchester City selama 4 musim dengan prestasi turun naik.

Walau bagaimanapun, Fowler tetap berbisa - muncul 80 kali perlawanan dengan 21 gol; menurun sedikit dari segi ketajamannya.

Bebas daripada kontrak, Fowler menandatangani kontrak semula dengan Liverpool selama dua musim. Diterima baik oleh penyokong Liverpool ekoran statusnya sebagai seorang bekas bintang utama, Fowler menamatkan dua kempen tersebut dengan jaringan 12 kali daripada 39 penampilan.

Jaringannya itu memperbaiki rekod peribadi beliau, membolehkan Fowler naik ke tempat keenam senarai penjaring paling banyak bagi kelab tersebut.

5. Didier Drogba

drogba 2005 chelsea

Nama Romelu Lukaku kini cukup popular tetapi prestasinya semasa di Chelsea gagal menyaingi penyerang Ivory Coast serta legenda kelab tersebut, Didier Drogba. Lukaku yang diharapkan mampu mengambil alih tugas Drogba dianggap satu eksperimen yang gagal.

Pencapaian Drogba mencipta satu penanda aras baru yang sukar digalas pemain-pemain lain, kerana dia cukup digeruni serta terkenal gemar membuli pertahanan kelab-kelab pesaingnya - khasnya pertahanan kelab bawahan Arsenal.

didier drogba chelsea football

Drogba muncul dalam 381 perlawanan, menjaringkan 164 gol serta menggondol 10 piala sepanjang karier di Chelsea, menobatkan status beliau sebagai antara penyerang berbisa Liga Perdana Inggeris.

Beliau merantau ke Liga Super China dan Liga Turki untuk 3 musim sebelum kembali ke Chelsea dalam musim 2014-2015 dengan kontrak setahun.

Pada awalnya disenaraikan sebagai penyerang simpanan, kecederaan penyerang nombor 1 dan 2 Chelsea meletakkan Drogba kembali dalam kesebelasan utama, melibatkan beberapa perlawanan penting.

Drogba menamatkan musim tunggal itu bergelar juara Liga Perdana Inggeris, membantu Chelsea memenangi kejuaraan dengan selesa berbaki 3 perlawanan dengan 26 penampilan, 7 gol berjaya dijaringkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)