Oleh pada 21 Jul 2020 kategori

Bahasa merupakan satu elemen yang cukup penting dalam tamadun manusia dalam memudahkan komunikasi.

Sama ada melalui bentuk tulisan, lisan atau gabungan kedua-duanya, kepelbagaian dan variasi bahasa biasanya ditentukan melalui etnik, warisan, keturunan, geografi, ketamadunan dan bermacam lagi faktor yang mengubah dan menambah baik tahap pengembangan sesuatu bahasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun ada juga bahasa-bahasa fiksyen yang direka, khas untuk kegunaan watak dalam filem-filem cereka yang memerlukan penjanaan kreatif menghasilkan bunyi, ejaan dan mungkin juga sistem tulisan yang belum pernah ada.

Berikut adalah lima bahasa yang dihasilkan secara fiksyen - tetapi boleh dipelajari oleh anda, sekiranya anda ada masa.

1. Bahasa Fiksyen Na'vi Dalam Filem Avatar

avatar bahasa navi

Filem yang menggabungkan aksi nyata dan grafik komputer yang masih mengagumkan walaupun sudah berusia lebih 10 tahun, memaparkan penggunaan bahasa yang dinamakan sebagai Na'vi, penuturnya pula adalah makhluk asing yang tinggal di planet Pandora.

Dicipta oleh seorang profesor linguistik bernama Paul Frommer dari University of Southern California. Sesuatu yang menarik untuk anda tahu, Frommer seorang lulusan Matematik tetapi memilih jurusan bahasa sebagai karier selepas pengalamannya mengajar di Terengganu, Malaysia dalam bahasa Melayu membuatkannya jatuh cinta dengan bahasa!

Dicipta dalam masa 6 bulan untuk penghasilan lebih 1,000 patah perkataan pertama, selepas tayangan filem Avatar, Frommer meneruskan usaha menambah baik dan memperbaiki tatabahasa Na'vi menambahkan lagi jumlah perkataan kepada 2,900 jenis.

Sekiranya 'Avatar' ditulis dalam bahasa Na'vi, sebutannya adalah 'uniltìrantokx.' Susah nak jual filem dengan tajuk sedemikian. (belajar bahasa Na'vi)

2. Bahasa Valyrian Tinggi Dalam Game of Thrones

bahasa valyrian tinggi valar morgulis

Siri televisyen popular Game of Thrones (dengan penamat paling mengecewakan dalam sejarah siri televisyen) memaparkan penggunaan sejenis bahasa yang dinamakan sebagai 'High Valyrian' atau Valyrian Tinggi.

Bahasa unik ini dicipta oleh seorang penulis dan ahli linguistik bernama David Peterson, yang turut sama membantu penghasilan bahasa fiksyen untuk dua filem Marvel iaitu Thor dan Doctor Strange. Peterson menubuhkan Language Creation Society (LCS) pada tahun 2007 bersama 9 orang lagi ahli bahasa.

HBO, penerbit Game of Thrones memberikan peluang kepada semua ahli LCS untuk cuba mencipta bahasa bagi kegunaan siri tersebut, berasaskan kepada apa yang telah terkandung dalam novel asal tulisan George R.R. Martin.

Idea yang dibawakan Peterson terpilih dan dia diberikan tugas memperkembangkan tatabahasa Valyrian yang ada.

Bagi peminat siri tersebut, mereka sudah pasti mengingati frasa-frasa yang disebutkan watak-watak dalam siri tersebut yang pada pendapat penulis - memang agak unik bunyinya dan kena dengan paparan yang disampaikan.

Setakat ini, High Valyrian mempunyai 2,000 lebih kosa kata kesemuanya yang anda boleh pelajari di laman web pendidikan Duolingo. Ingat! Valar morghulis!

3. Bahasa Dovahzul Dalam Elder Scrolls : Skryim

skyrim dragontongue

Jika Na'vi dan Valyrian tinggi memaparkan penciptaan kosa kata baru, bahasa Dovahzul yang dicipta khas untuk kegunaan permainan video popular Elder Scrolls : Skryim pula turut sama mencipta huruf-huruf bagi membentuk sistem tulisannya.

Dicipta sebagai satu cara komunikasi di antara haiwan-haiwan naga yang terkandung dalam judul tersebut, Dovahzul dibentuk hasil daripada gabungan istilah-istilah bahasa Sanskrit, Inggeris kuno, Latin serta Jerman yang diubah bagi membentuk bunyi yang lebih keras sesuai tema yang dipersembahkan.

Sistem tulisannya pula diambil daripada bentuk-bentuk tulisan lama digunakan oleh Tamadun Sumeria, yang dikenali sebagai 'cuneiform.' Cuneiform asal merupakan sistem tulisan yang diukir ke atas batu bagi membentuk perkataan, jadi simbol yang terhasil juga lebih bersifat geometrik tanpa banyak menggunakan lengkungan.

huruf dovahzul

Dua orang individu terlibat dalam penciptaan bahasa Dovahzul. Emil Pagliarulo adalah seorang penulis yang berpengalaman luas dalam industri permainan video, bertindak sebagai pereka kosa kata.

Sementara itu (mendiang) Adam Adamowicz, seorang pelukis berbangsa Poland yang pernah bekerja sebagai pelukis komik bertindak merekabentuk huruf-huruf untuk setiap sebutan. Apa yang lebih mengagumkan - mereka berdua turut sama memperkenalkan sistem 'past, present and future tense' (pautan PDF) ke dalam bahasa yang dihasilkan.

4. Bahasa Fiksyen Star Trek : Vulcan dan Klingon

bahasa vulcan star trek

Siri 'Star Trek' yang mempersembahkan banyak episod penjelajahan angkasa, sudah tentu memerlukan penciptaan bahasa yang pelbagai bagi menghasilkan kesan dialog yang tampak asing.

Disebabkan itulah sehingga kini dua bahasa popular siri/filem tersebut iaitu bahasa Vulcan yang digunakan oleh etnik fiksyen Vulcan serta bahasa etnik Klingon, yang kerap kali diajuk kerana mempunyai kosa kata yang agak melucukan apabila dituturkan.

Kedua-dua bahasa mempunyai sejarah yang panjang, kerana siri televisyen popular ini mula ditayangkan sejak era 1960-an lagi dan penyelidikan serta penambahan kepada kosa kata, tatabahasa dan cara sebutannya juga berubah-ubah.

Bahasa Vulcan muncul lebih awal, pada tahun 1967 hasil ciptaan tidak rasmi seorang ahli bahasa yang juga peminat siri Star Trek bernama Dorothy Jones Heydt. Tulisan ringkas beliau mula popular sebelum lebih ramai membantu menghasilkan kosa kata baru yang akhirnya diangkat menjadi sebahagian daripada karya rasmi siri tersebut.

kursus bahasa klingon

Namun bahasa Klingon mendapat sambutan lebih menggalakkan berbanding Vulcan. Bahasa Klingon dicipta oleh seorang ahli bahasa bernama Marc Okrand, semasa penghasilan filem Star Trek II : The Wrath of Khan pada tahun 1982.

Kedua-dua bahasa mempunyai kamusnya sendiri, buku tatabahasa serta kerap kali ditambah baik. Beberapa karya klasik sudah diterjemahkan ke bahasa Klingon sepenuhnya dan lebih lucu, enjin carian Bing membolehkan anda menterjemahkan bahasa tersebut kepada mana-mana bahasa lain.

5. Bahasa Sindarin Dalam Lord of the Rings

perkahwinan lotr aragorn arwen

Siri novel 'Lord of the Rings' yang menjadi acuan kepada banyak penghasilan karya-karya fantasi moden memaparkan terlalu banyak bahasa fiksyen, yang berjaya digambarkan dengan baik oleh penulisnya J.R.R. Tolkien - khasnya untuk kegunaan makhluk cantik yang dikenali dengan istilah 'elf.'

Dalam keluarga asal bahasa fiksyen yang dicipta Tolkien, dianggarkan wujud 15 dialek yang berbeza-beza bagi menampakkan kasta antara kumpulan etnik yang ada dalam komuniti 'elf.' Dan itu hanya untuk satu komuniti, belum mengambil kira kaum-kaum makhluk fantasi lain yang dicipta.

Di antara kesemua bahasa rekaan Tolkien, dua layak dikatakan lengkap - Quenya dan Sindarin dan kedua-dua inilah yang terus popular sehingga kini, sehinggakan mempunyai penutur yang benar-benar mahir serta mampu berkomunikasi sepenuhnya hanya dengan menggunakan bahasa fiksyen tersebut.

bahasa sindarian tolkien

Latar belakang Tolkien sendiri menunjukkan hidupnya berkisar kepada penguasaan bahasa. Tolkien mengakui dia gemar belajar perkataan baru.

Beliau belajar tentang bahasa sejak usia muda dan mula mencipta kosa kata sendiri pada awal belasan tahun, selepas menguasai bahasa Esperanto - bahasa pengantara yang dicipta untuk membolehkan dua orang yang tidak faham antara satu sama lain, boleh berkomunikasi dengan baik.

Menguasai bahasa Latin, Greek, Inggeris kuno, Jerman serta beberapa bahasa Eropah lain, Tolkien menggunakan bakatnya dalam bidang bahasa bagi membentuk banyak laras bahasa unik dalam bentuk fiksyen - yang nyata terus kekal diamalkan peminat tulisan beliau dalam komunikasi.

6. Bahasa F Dalam Filem Puteri Impian

Bahasa ini mula popular di Malaysia sekitar tahun 1990an selepas tayangan filem Puteri Impian lakonan Amy Mastura ditayangkan. Apa yang menarik, bahasa ini menggunakan Bahasa Malaysia sebagai asas perbualan namun hanya orang tertentu sahaja yang boleh memahaminya.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menyatakan "saya mahu makan" anda perlu mengolah ayat anda ke Bahasa F "safayafa mafahufu mafakanfan". Menarik bukan?

Bahasa ini biasanya digunakan oleh remaja wanita dan bagi remaja lelaki, ianya agak sukar untuk difahami. Perlu diingati, sekiranya anda menggunakan Bahasa F ini, orang sekeliling akan berasa kurang senang dengan anda.

Bagi penulis, Bahasa F ini sangat bagus untuk digunakan untuk melepasi kepintaran algoritma automatik Google dan Facebook. Juga sangat sesuai dijadikan sebagai katalaluan anda kerana penggodam sudah tentu tidak memiliki kamus (wordlist dictionary) katalaluan Bahasa F ini untuk mencuri katalaluan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)