Sekiranya ada gemar dengan aktiviti sukan berlari jarak jauh, di Malaysia sudah terdapat banyak acara marathon yang dianjurkan oleh penganjur tempatan. Tidak seperti beberapa tahun dahulu, acara marathon semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan boleh dikatan terdapat sekurang-kurangnya satu acara marathon yang boleh anda sertai setiap bulan. Walaupun banyak, berikut merupakan acara marathon yang popular dan dianjurkan hampir setiap tahun.
BESARKAN TEKS A- A+
#1 Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM)
Merupakan antara acara marathon terbesar dan popular di Malaysia dengan penyertaan atlit-atlit elit daripada luar negara. Ianya merupakan antara acara yang paling ditunggu-tunggu dan untuk menyertainya anda perlu mendaftar dengan segera apabila pendaftaran dibuka memandangkan ia cepat penuh, laku seperti pisang goreng panas. Lokasi larian adalah sekitar bandar Kuala Lumpur. Selain acara full marathon (42km), terdapat beberapa kategori lain seperti half marathon (21km), 10km dan fun run (5km).
#2 Penang Bridge International Marathon (PBIM)
PBIM merupakan sebuah lagi acara yang dianjurkan diperingkat antarabangsa dengan penyertaan atlit daripada pelbagai negara. Untuk PBIM, peserta akan berlari melalui jambatan lama Pulau Pinang. Acara ini juga selalunya diadakan pada tengah malam. Sekiranya anda tidak gemar berlari pada waktu pagi kerana panas, PBIM mungkin lebih sesuai untuk anda.
#3 Twincity Marathon
Acara Twincity Marathon lebih popular dalam kalangan pelari amatur atau mereka yang baru pertama kali berlari dalam kategori ini. Bagi yang pertama kali ingin mencuba acara Full Marathon, Twincity Marathon lebih sesuai memandangkan masa yang diberikan (cut off time) adalah selama 8 jam untuk menamatkan larian. Sebagai perbandingan, kebanyakan acara marathon hanya memberikan masa 6.5 jam kepada peserta untuk menamatkan larian. Untuk Twincity Marathon, peserta akan berlari di sekitar bandar Putrajaya dan Cyberjaya.
#4 Perlis Marathon (PM)
Antara acara marathon yang baru diperkenalkan di Malaysia. Walaupun baru, ianya mendapat respon yang positif daripada peserta memandangkan ia diuruskan dengan teratur dan yuran penyertaan termurah acara marathon di Malaysia. Perlis Marathon biasanya dianjurkan pada waktu malam dan sesuai bagi mereka yang sukar bangun pada awal pagi.
#5 Putrajaya Night Marathon (PNM)
Putrajaya Night Marathon (PNM) juga merupakan sebuah lagi event yang dianjurkan pada waktu malam. Ianya juga antara acara yang mendapat respon positif daripada peserta saban tahun. Peserta akan berlari di sekitar Putrajaya.