Banyak yang berubah dalam tempoh 10 tahun dan sepanjang sedekad yang lalu, kita telah melihat permulaan kepada perlumbaan untuk ke Marikh, pelancaran komersial kereta tanpa pemandu dan gambar pertama lubang hitam.
Dan dalam sepuluh tahun akan datang, perubahan-perubahan yang akan berlaku adalah lebih luar biasa.
Ramalan-ramalan ini bukanlah diperoleh dengan sekelip mata tetapi ia adalah gabungan ramalan saintifik dan ekonomi dari beberapa pakar terkemuka di dunia serta projek-projek sebenar, yang sedang dijalankan oleh pencipta sebenar.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan ia bukan hanya fantasi tetapi peristiwa yang kemungkinan besar akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.
iluminasi.com kongsikan 10 ramalan menakjubkan untuk 10 tahun akan datang.
10. Penghasilan mesin membaca otak - 2020
Mesin yang boleh membaca minda atau otak kedengaran seperti sesuatu yang mustahil dan fantasi, tetapi jika saintis jika ahli sains memenuhi jadual yang dirancang, kita bakal melihat mesin telepati pertama yang diumumkan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Itulah tarikh akhir yang ditetapkan oleh sekumpulan saintis Jepun pada tahun 2010 apabila mereka mula-mula mengumumkan rancangan untuk melancarkan mesin yang boleh membaca minda anda dan mengubah pemikiran anda menjadi mesej teks.
Sejak itu, saintis telah membuat beberapa penemuan luar biasa.
Satu pasukan saintis Jepun telah membangunkan teknologi yang dapat memecahkan aktiviti otak untuk mencipta imej kasar dari pemikiran orang.
Sementara itu, ahli sains di Universiti Carnegie Mellon telah mencipta mesin yang dapat melihat isyarat otak dan menggunakannya untuk membaca pemikiran dalam fikiran anda. Mereka mendakwa ia mampu mencapai ketepatan 87%.
Dan tak lama lagi, kita mungkin dapat membeli peranti ini.
9. Pengeluaran kereta pandu sendiri secara besar-besaran bermula - 2021
Kereta tanpa pemandu telah berada di pasaran, tetapi ia sukar untuk ditemui di mana-mana. Hari ini, memiliki sebuah kereta yang boleh memandu anda ke tempat kerja biasanya satu kemewahan yang hanya mampu untuk orang kaya.
Namun, semua ini akan berubah pada tahun 2021.
Kerana ini adalah tahun di mana syarikat China, Baidu, merancang untuk melancarkan armada kereta tanpa pemandu untuk memenuhi jalan-jalan di Beijing dan Shanghai.
Dan jika kita menggunakan kejayaan kereta elektrik China sebagai bukti, maka kita boleh melihat teknologi ini digunapakai di China lebih pantas dari di Barat.
Tanpa halangan kebebasan dan demokrasi yang menjengkelkan, China boleh menjadikan pembelian kereta elektrik sebagai satu keperluan.
Di bandar-bandar terbesar China, sesiapa yang membeli kereta dikuasakan minyak petrol terpaksa membayar RM64,000 untuk nombor pendaftaran, secara praktikalnya mahu memaksa rakyat membeli kereta elektrik.
Dan hasilnya, sekitar 60% daripada penjualan kereta elektrik global ketika ini dijual di China.
Jika Baidu mendapat sokongan kerajaan China, kita boleh menjangkakan untuk melihat kereta pandu sendiri memenuhi jalan-jalan menjelang tahun 2021.
8. Pesawat komersial kuasa solar - 2022
Pada tahun 2022, Eviation Aircraft merancang untuk melancarkan pesawat komersial berkuasakan elektrik sepenuhnya pertama di dunia, yang menjadikan ini bukan lagi satu idea sains fiksyen.
Pesawat Eviation telah diumumkan ke dunia dan ia bukan yang pertama seumpamanya. Satu pasukan juruterbang telah mengelilingi dunia sebagai pesawat elektrik.
Tetapi pada tahun 2022, kita akan mula melihat kapal terbang elektrik dengan panel solar menjadi pilihan sebenar untuk setiap penerbangan yang kita naiki.
Norway telah komited untuk menggunakan pesawat berkuasa elektrik pada 2023 dan merancang untuk mempunyai lapangan terbang pertama di dunia yang serba mencukupi dengan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025.
Lebih menarik, pesawat masa depan ini mungkin lebih murah.
Pesawat Eviation menjangkakan bahawa pesawat elektrik mereka hanya perlu membelanjakan RM32 untuk tenaga bagi melakukan perjalanan 160 kilometer, berbanding RM1,600 yang diperlukan untuk bahan api.
7. Krisis ekonomi global - 2023
Sekarang kita berada di tengah-tengah perkembangan ekonomi terpanjang dalam sejarah Amerika, namun ia tidak akan kekal selama-lamanya.
Lambat-laun, pasti akan berlaku satu lagi kemelesetan. Dan jika ramalan Majlis Dasar Perniagaan Global adalah benar, hari-hari yang paling sukar akan menemui kita pada tahun 2023.
Mereka telah meramalkan bahawa kita akan mula melihat pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dan bahawa ia tidak akan kembali naik sehinggalah selepas tahun 2023.
Ketika ini berlaku, hutang negara yang semakin meningkat akan berhadapan dengan risiko yang lebih besar dan risiko yang lebih besar untuk ekonomi global,.
Kemudian, kita akan mula melihat negara-negara dengan pasaran baru muncul tidak membayar hutang mereka.
Walaubagaimanapun, kemelesetan ini bukan sahaja menjadi perlahan secara global, tetapi juga satu penstrukturan semula.
Asia Timur adalah bahagian yang dijangka tidak begitu terjejas, bermakna kita akan melihat India, Vietnam, Filipina dan juga China melonjak ke hadapan ketika mana Barat merosot.
6. Misi manusia pertama ke planet Marikh - 2024
Tahun 2024 adalah tahun yang kita mungkin berjaya menghantar manusia ke planet Marikh. Ia adalah tahun di mana program Space X oleh Elon Musk merancang untuk menghantar roket pertamanya ke Marikh.
Dan sudah tentunya jika Elon Musk tidak berjaya mencapai matlamat ini, pastinya ia akan direalisasikan oleh orang lain.
Semua ini hanya bergantung kepada jarak. Pada tahun 2024, orbit Bumi dan Marikh akan diselaraskan dengan cara yang membolehkan pelayaran antara planet berlaku dengan paling mudah.
Misi yang paling berani yang telah diumumkan oleh NASA untuk tahun 2024 adalah misi yang dikendalikan manusia untuk ke bulan.
5. Saintis berupaya membetulkan otak manusia - 2025
Pada tahun 2013, kerajaan AS mengumukan Inisiatif BRAIN, satu rancangan untuk memetakan dan memahami aktiviti di dalam otak manusia menjelang tahun 2025.
Apabila projek itu memasuki tahun terakhir, para saintis yang terlibat sudah akan berada jauh ke hadapan daripada tahap analisis dan akan melakukan sentuhan terakhir terhadap aplikasi yang menggunakan apa yang mereka pelajari mengenai minda manusia.
Diharapkan penyelidikan itu akan membolehkan kita mengimbas otak manusia dan mengenal pasti isu-isu kesihatan mental seperti gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan kemurungan.
Dam jika keadaan berjalan lancar, teknologi ini juga akan boleh membenarkan ahli neurosains membetulkan masalah-masalah tersebut.
Saintis mungkin akan mempunyai pemahaman yang cukup kuat tentang neurosains di sebalik kesihatan mental yang boleh mengubah semula otak manusia dan memperbaiki masalah kemurungan.
Dengan ini, pesakit tidak lagi perlu berjumpa dengan ahli terapi atau makan ubat-ubatan seperti sekarang.
Itu adalah satu ramalan optimis, tetapi secara realistik, saintis menjangkakan dapat mengukur tahap PTSD dan ketagihan dengan mengimbas otak manusia menjelang tahun 2025.
4. Doktor menterbalikkan penuaan jantung manusia - 2026
Penyakit kardiovaskular masih menjadi antara punca utama kematian di seluruh dunia. Tak kiralah betapa banyak perkara malang yang kita berjaya elak, kita tetap tidak dapat mengelak daripada jantung kita daripada menua.
Namun, ramalan mengatakan kita boleh melakukannya menjelang tahun 2026. Ini adalah tahun di mana Harvard Stem Cell Institute menjangkakan akan menyiapkan ujian klinikal ke atas penyelidikan mereka dalam menterbalikkan penuaan hati manusia.
Mereka telah mengenal pasti protein yang mana apabila disuntik ke dalam tikus yang semakin menua, dapat mengurangkan penebalan dinding hati tikus tersebut.
Tak lama lagi, mereka akan melakukan ujian ke atas manusia dan menjelang tahun 2026, ujian klinikal ini akan siap. Jika mereka berjaya, kita mungkin dapat memulihkan salah satu penyebab kematian terbesar manusia.
3. Negara membangun mengatasi ekonomi Amerika Syarikat - 2027
Ketika ini, dunia sedang melalui perubahan yang luar biasa.
Terdapat negara-negara membangun yang berkembang pada kadar yang mengejutkan sehinggakan kita bakal melihat perubahan besar dalam keseimbangan kuasa global.
Menurut Goldman Sachs, syarikat pelaburan bank multinasional dan perkhidmatan kewangan Amerika Syarikat, perkara ini tidak dapat dielakkan dan ia akan berlaku antara 2026 dan 2027.
Menjelang tahun 2026, mereka meramalkan bahawa China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia. Tetapi perubahan kuasa tidak akan berhenti dengan China.
Menjelang tahun 2027, Goldman Sachs percaya bahawa negara-negara BRIC iaitu Brazil, Rusia, India, dan China, akan mempunyai KDNK gabungan yang lebih tinggi daripada negara-negara G7 iaitu Kanada, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Buat pertama kalinya sejak kebangkitan Mesir, kita akan melihat keseimbangan kuasa global mula beralih dari hemisfera Barat, satu perubahan yang boleh memberi kesan kepada seluruh dunia.
2. Saintis mula menghidupkan semula spesis pupus - 2028
Jurassic Park mungkin tidak akan kekal sebagai sains fiksyen selama-lamanya. Menjelang tahun 2028, para saintis percaya bahawa mereka akan mempunyai keupayaan untuk menghidupkan semula spesis haiwan yang telah pupus.
Menurut kajian in, kita mungkin perlu menunggu lebih lama selepas tahun 2028 untuk menghidupkan kembali dinosaur seperti velociraptors dan tyrannosaurus rexes, tetapi dengan kecanggihan dalam kejuruteraan pengklonan dan genetic, kita mungkin berjaya menghidupkan kembali haiwan seperti burung dodo.
Ketika ini, para saintis sudah menjalankan beberapa pendekatan yang berbeza untuk memulihkan kepupusan.
Ada yang cuba menggunakan bahan genetik haiwan yang sudah pupus untuk membuat klon yang serupa, sementara yang lain menggunakan pembiakan selektif atau teknik genetik untuk cuba menghasilkan spesis yang paling hampir dengan saudara terdekat haiwan tersebut.
1. Krisis populasi global - 2029
Menjelang akhir tahun 2029, populasi manusia dijangka akan mencecah 8.5 bilion orang dan apabila ini berlaku, kita akan mempunyai masalah-masalah baru.
Para saintis percaya bahawa penghujung tahun 2020-an akan menjadi penanda kepada perubahan baru dalam keutamaan manusia.
Pada masa itu, kita akan memerlukan 50% lebih banyak makanan dan tenaga daripada yang kita lakukan hari ini, serta 30% lebih banyak air tawar.
Dan apabila sumber paling penting ini semakin berkurangan, ia akan membawa manusia ke tahap krisis kemanusiaan.
Kehabisan makanan dan air akan menjadi masalah yang sangat nyata dan pada tahun 2029, barulah manusia akan mula menyedari betapa besar masalah yang dihadapi.
Menurut Penasihat Saintifik United Kingdom iaitu John Beddington, jika masalah ini tidak ditangani, dekad seterusnya akan membawa kepada sebuah konflik global era baru di mana negara-negara akan mula berperang untuk mendapatkan tanah dan air.
Rujukan:
2. Tech Crunch
4. Space News
.