Nama syarikat IBM mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia teknologi. International Business Machines Corporation atau singkatannya IBM merupakan sebuah syarikat multinasional daripada Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1911 lagi.

Syarikat ini menghasilkan dan menjual perkakasan komputer, perisian dan menyediakan perkhidmatan hosting dan khidmat perundingan dalam pelbagai bidang merangkumi komputer hinggalah ke nanoteknologi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin ramai yang tidak tahu, IBM juga merupakan sebuah organisasi yang banyak melakukan penyelidikan dan pemegang rekod untuk kebanyakan paten di Amerika Syarikat yang dihasilkan oleh sebuah perniagaan (sehingga 2019) selama 26 tahun berturut-turut. 

Dalam acara Think 2019 yang diadakan di San Francisco baru-baru ini, pihak IBM Research baru sahaja mempersembahkan ramalan mereka mengenai teknologi baru yang wujud pada masa akan datang. Juga dikenali sebagai "5 in 5", kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi mengenai ramalan IBM tentang 5 inovasi baru yang akan merubah hidup manusia dalam tempoh 5 tahun akan datang.

1. Pendigitalan bidang pertanian

pertanian digital

Kebanyakan petani menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada pihak bank kerana ketiadaan bukti transaksi jualan bagi meyakinkan pihak bank. Dengan merekodkan segala aspek dan aktiviti pertanian secara digitial, perkara ini dapat diatasi.

Aktiviti pendigitilan ini dikenali sebagai Digital Twin dan dalam tempoh 5 tahun, dengan penggunaan teknologi artificial intelligent (AI), kita boleh menggunakan data ini untuk meramalkan hasil tanaman secara tepat, yang seterusnya akan memberikan bank dan institusi kewangan titik data yang mereka perlukan untuk memberi kredit untuk membantu petani berkembang

2. Penggunaan blockchain akan mengurangkan pembaziran makanan

blockchain dan pembaziran makanan

Dalam masa 5 tahun, kita akan berupaya untuk mengurangkan kos-kos sampingan dalam proses rantaian bekalan makanan. Daripada petani hinggalah kepada pihak pembekal, setiap pihak dalam rantaian bekalan makanan ini akan mempunyai data berapakah jumlah tanaman yang perlu dihasilkan dan diedarkan kepada pasaran.

Pembaziran makanan dapat dikurangkan dengan begitu drastik seterusnya dapat memastikan makanan yang diterima oleh pembeli sentiasa segar. Perkara ini dapat dilakukan dengan memanfaatkan teknologi blockchain, peranti IoT dan algoritma AI.

3. Memanfaatkan mikrob untuk memastikan makanan lebih selamat dimakan

mikrob

Dalam masa 5 tahun, pihak pemeriksa keselamatan makanan seluruh dunia akan dapat memanfaatkan data mengenai jutaan mikrob untuk memastikan makanan yang dimakan oleh pengguna adalah selamat.

Sesetengah mikrob ini yang tidak selamat untuk dimakan oleh manusia kebiasaannya akan masuk dalam makanan ketika ianya berada di ladang, kilang dan pasar raya. Dengan teknik dan teknologi baru yang dibangunkan kelak, kita dapat mengenalpasti dengan mudah dan murah sama ada sesuatu makanan itu selamat dimakan atau tidak.

4. Sensor AI akan dapat mengenalpasti makanan yang tercemar dengan mudah

patogen

Dalam masa 5 tahun, petani, pengedar dan penjual serta seluruh isi rumah akan dapat mengenalpasti dengan mudah sekiranya makanan mereka sudah tercemar. Apa yang mereka perlukan hanyalah telefon pintar atau peralatan khas yang dilengkapi dengan sensor AI.

Para saintis IBM sedang mencipta sebuah sensor yang dapat mengesan kewujudan patogen dimana sahaja termasuklah pada makanan. Sensor mudah alih ini dapat mempercepatkan proses mengenalpasti bakteria berbahaya seperti E. Coli dan Salmonella dalam hanya beberapa saat sahaja berbanding beberapa hari pada masa kini.

5. Teknologi VolCat akan merevolusi proses kitar semula plastik

Dalam tempoh 5 tahun, IBM mengatakan proses pelupusan sampah dan penghasilan plastik baru akan ditransformasikan. Segalanya daripada kotak minuman dan bungkusan makanan sehinggalah pakaian boleh dikitar semula dan syarikat pembuatan bahan poliester akan dapat mengambil poliester terpakai dan mengubahnya menjadi sesuatu yang berguna.

Perubahan seperti ini dapat dilakukan dengan inovasi baru seperti VolCat, proses kimia berkatalis yang dapat mengubah PET, iaitu sejenis plastik yang banyak digunakan dalam pembuatan bungkusan makanan kepada satu sumber boleh diperbaharui.

Teknologi baru ini membolehkan plastik lama dimanfaatkan semula menjadi barang baru. Pada masa kini, dianggarkan 272 juta tan plastik dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun dimana 1 per 4 daripadanya adalah plastik jenis PET.

Kredit: Venturebeat




Hakcipta iluminasi.com (2017)