Mumia seringkali menarik perhatian para saintis, ahli arkeologi dan pengkaji sejarah. Terdapat beberapa mumia telah ditemui di seluruh pelusuk dunia. Ada di antaranya masih diselubungi misteri dan ada juga mumia yang dijumpai itu merupakan individu terkenal.
Apa yang menjadikan mumia itu terkenal adalah kerana misteri dan keadaannya yang dipelihara dengan baik. Kita banyak mempelajari perkara baru mengenai mumia-mumia ini, antaranya ialah sejarah, adat, pakaian dan banyak lagi. Berikut adalah beberapa mumia yang paling terkenal di dunia.
10. Ramesses the Great (Ramesses II)
Mumia Ramesses II adalah salah satu mumia dari Mesir yang terkenal. Dia sering dianggap sebagai firaun paling kuat, hebat dan terkenal di dalam Empayar Mesir. Ramesses II adalah firaun yang ketiga dalam 19 Dinasti Mesir purba. Pada asalnya, Ramesses II dikebumikan di makam KV7 di Lembah Raja-raja.
Kerana seringnya berlaku rompakan kubur, mumianya telah dialihkan ke makam Ratu Inhapy. Selepas tiga hari, mumia itu sekali lagi dialih ke makam paderi besar Pinudjem II. Hari ini, mumia Ramesses II ditempatkan di Muziem Kaherah, Mesir. Dia berusia 90 tahun ketika meninggal dunia.
Setelah mumia Ramesses II diperiksa, pakar perubatan mendapati bahawa dia mempunyai garis rahang yang kuat dan juga memiliki rambut yang tebal. Seorang pakar pengkaji Mesir purba, Gaston Maspero adalah individu yang menjumpai mumia itu. Ramesses II juga merupakan mumia pertama yang mempunyai passport Mesir.
9. The Tollund Man
Tollund Man adalah mumia yang dijumpai di sebuah kampung kecil bernama Tollund di semenanjung Jutland, Denmark pada tahun 1950 di kawasan rawa gambut. Mengikut kajian radiokarbon, lelaki itu dipercayai hidup sekitar abad ke-4 SM semasa Zaman Besi Pra-Rom.
Secara fizikalnya mumia Tollund Man ini terpelihara dengan begitu baik sekali dan pada awalnya dia dianggap baru sahaja mati ketika dijumpai oleh salah seorang penduduk kampung yang sedang menebas rumput di kawasan tanah gambut. Kandungan asid di dalam gambut dan kekurangan oksigen serta cuaca sejuk telah menyebabkan mumia Tollund Man itu terpelihara dengan sempurna.
Setelah dilakukan pemeriksaan sinar-X, doktor mendapati bahawa organ dalaman Tollund Man seperti paru-paru, jantung, dan hati juga berada dalam keadaan baik. Pakar perubatan percaya bahawa Tollund Man mati akibat digantung dan mungkin dijadikan sebagai mangsa ritual korban manusia.
8. Cherchen Man
Mumia Cherchen Man juga sering dikenali sebagai mumia Tarim. Lelaki ini dianggarkan telah meninggal dunia sekitar 1000 tahun SM. Sisa mayatnya yang masih terpelihara ditemui di Makam 2 di tanah perkuburan Zaghunluq di Gurun Raklamakan, Xinjiang, China.
Keadaan tanah gersang bercampur dengan tanah masin telah membantu proses mumifikasi mayat Cherchen Man secara semula jadi. Manakala suhu sejuk pula menghalang bakteria daripada melakukan proses penguraian pada mayat.
Mayat Cherchen Man ini telah dikebumikan di sebuah makam yang diperbuat daripada batu bata lumpur. Pada bahagian atas makan itu pula ditutupi dengan buluh. Mumia lelaki dewasa ini mempunyai wajah bercirikan etnik Caucasia dan sering digambarkan sebagai lelaki dari "Zaman Gangsa Eropah".
7. Grauballe Man
Grauballe Man adalah mumia yang telah dijumpai di kawasan rawa gambut pada tahun 1952 berhampiran kampung Grauballe, Denmark. Mumia ini dipercayai telah meninggal dunia sekitar abad ke-3 SM, ketika Zaman Besi Jerman.
Mumia Grauballe Man merupakan salah satu mayat paling baik terpelihara dalam rawa gambut. Mumia ini digambarkan sebagai penemuan terhebat dari zaman prasejarah Denmark. Lelaki yang dipercayai berusia sekitar 30-an ketika mati ini mempunyai tangan dan kaki dalam keadaan sempurna, membolehkan saintis mengambil cap jarinya.
Sejurus selepas penemuannya, mumia Grauballe Man ini dibawa ke Muzium Prasejarah di Aarhus untuk penelitian dan kajian lanjut. Pada tahun 1955, mumia ini telah dibawa pula ke Muzium Moesgaard berdekatan Aarhus di mana ia dipamerkan untuk tontonan umum.
6. Saint Bernadette
Saint Bernadette Soubirous adalah seorang kudus yang terkenal dari Lourdes, Perancis. Dia dilahirkan pada 7 Januari 1844. Dia menjadi terkenal sebagai jelmaan Marian yang meminta agar sebuah gereja dibina di tempat pembuangan sampah di kawasan gua di Massabielle. Selepas kematiannya pada 16 April 1879, mayat Soubirous kekal dalam keadaan tidak terusik.
Pertama kali mayatnya dikeluarkan semula adalah pada 22 September 1909 di mana wakil-wakil gereja mendapati bahawa tubuhnya tidak hancur akibar proses penguraian. Kali kedua mayat Soubirous dikeluarkan adalah pada 3 April 1919 dan doktor yang memeriksa mayat itu mendakwa ia mengalami proses mumifikasi secara semula jadi.
Walaupun terdapat sedikit kehilangan kulit di beberapa tempat tertentu, sebahagian besar badannya masih utuh. Pada tahun 1925, mayat Soubirous sekali lagi digali oleh gereja untuk disaluti dengan lapisan lilin. Kali ini mereka mendapati ada sedikit warna hitam pada wajah mayat Soubirous dan matanya sedikit tenggelam.
5. Rosalia Llombardo
Rosalia Llombardo adalah mumia seorang kanak-kanak yang terkenal di mana dia meninggal dunia sebelum tiba ulang tahunnya yang kedua. Mayat kanak-kanak perempuan ini terkenal kerana ianya terpelihara dengan baik dan kelihatan seperti dia sedang tidur di dalam kuburnya.
Makamnya terletak di kawasan perkuburan Capuchin di Palermo, Itali. Kanak-kanak itu mati disebabkan radang paru-paru dan bapanya berhasrat untuk memumifikasikan mayat anak kesayangannya itu. Bapanya, Mario Llombardo telah meminta seorang penjaga kubur terkenal iaitu Alfredo Salafia untuk melakukan proses mumifikasi tersebut.
Imbasan sinar-X yang dilakukan juga mendapati organ dalaman kanak-kanak ini masih dalam keadaan baik. Selepas gambar yang diambil oleh National Georaphic mendapati mayat itu mula menampakkan tanda-tanda penguraian, mayat Rosalia telah ditutup dengan kotak kaca bagi mengelakkan ianya daripada rosak.
4. Xin Zhui @ Lady Dai
Selama 2000 tahun selepas kematian Xin Zhui yang juga dikenali sebagai Lady Dai atau Marquise of Dai, mumia ini menjadi terkenal. Dia adalah isteri kepada Li Cang iaitu Marquis of Dai semasa Dinasti Han dan juga merupakan seorang puteri China purba.
Mayat Xin Zhui telah ditemui di dalam sebuah bukit yang dikenali sebagai Mawangdui di Hunan, China pada tahun 1971 oleh beberapa orang pekerja. Mayat Xin Zhui ditemui dalam keadaan baik, dipenuhi dengan pelbagai artifak berharga. Pengebumian mewah adalah perkara biasa semasa zaman Dinasti Han.
Xin Zhui dipercayai meninggal dunia pada 163 SM ketika berusia 50 tahun akibat serangan jantung. Teknik pemeliharaan menakjubkan yang menggunakan cecair misteri telah memelihara tubuhnya serta organ dalaman Xin Zhui dengan begitu baik sekali. Malah, otot sendinya masih lagi berfungsi dan kulitnya juga lembut dan lembap. Semua rambut pada badannya juga masih kekal dengan baik. Ini menunjukkan teknik mumifikasi Dinasti Han amatlah menakjubkan.
3. Tutankhamun
Tutankhamun yang juga dikenali sebagai Raja Tut adalah firaun Mesir dari dinasti ke-18. Firaun ini meninggal dunia semuda usia 18 tahun sahaja. Dia dilahirkan pada tahun 1341 SM dan mati pada tahun 1323 SM.
Penemuan makam Tutankhamun yang masih lagi utuh oleh Howard Carter pada tahun 1922 telah membawa kepada liputan akhbar di seluruh dunia. Penemuan mumia ini membuatkan orang ramai berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Topeng Kematian Tutankhamun dan juga peradaban Mesir purba.
Topeng Tutankhamun kini diletakkan di Muzium Mesir dan merupakan simbol yang popular. Pada tahun 2013, pengkaji Mesir purba iaitu Dr. Chris Naunton dan beberapa saintis daripada Cranfield Institute telah mengkaji mumia Tutankhamun dengan mengendalikan "autopsi maya".
Mereka mendapati bahawa minyak yang terdapat pada kain mumia dan oksigen telah membawa kepada pembakaran semulajadi dengan suhu mencapai 200 darjah selsius. Mereka juga mendapati terdapat keretakan pada tulang mumia tersebut.
2. Ötzi the Iceman
Ötzi adalah nama panggilan yang diberikan pada seorang lelaki yang hidup sekitar 3400 hingga 3100 SM. Dia merupakan salah satu mumia semula jadi yang paling baik keadaannya di dunia. Pada tahun 1991, sekumpulan pendaki telah menjumpai mayat lelaki zaman Neolitik yang berusia lebih kurang 5300 tahun ini di Pergunungan Ötztal di antara Austria dan Itali.
Ötzi adalah mumia semula jadi dari Eropah yang paling tua pernah dijumpai. Bukan sahaja tubuh lelaki tua itu dalam keadaan baik, malah pakaiannya juga masih terpelihara. Para pendaki juga menjumpai beberapa barangan lain milik lelaki itu seperti busur, anak panah, pisau dan beberapa peralatan lain.
Apa yang menariknya ialah lelaki itu lebih tua daripada piramid di Mesir dan Stonehenge. Mumia Ötzi yang beku itu dan barangan miliknya kini dipamerkan di Muzium Arkeologi Tyrol di Bolzano, selatan Tyrol, Itali.
1. Vladimir Lenin
Vladmir Lenin adalah seorang ahli politik revolusioner dan ahli teori politik yang terkenal dari Kesatuan Soviet. Dia merupakan pengasas kepada teori-teori politik yang dikenali sebagai Leninisma.
Lenin adalah ketua kerajaan Rusia dan Soviet Union setelah dia dan pengikutnya berjaya menggulingkan pemerintahan Tsar Nicholas II. Pada 21 Januari 1924, Lenin telah meninggal dunia akibat penyakit saluran darah yang tidak dapat diubati.
Mayatnya telah diawet dan disimpan dalam keranda merah untuk diarak sebagai tontonan umum. Pada 23 Januari, berpuluh-puluh ribu penyokong Parti Komunis, Kesatuan Sekerja dan ahli Soviet telah berkumpul di rumahnya di Gorki untuk memberikan penghormatan terakhir.
Mayatnya kemudian telah dibawa menaiki kereta api untuk dibawa ke Dewan Kesatuan Sekerja di Moscow. Sepanjang 3 hari, kira-kira lebih sejuta orang telah hadir memberikan penghormatan terakhir mereka.
Rujukan:
1. Mental Floss
2. List Verse
3. Travel Earth