Gambaran Xin Zhui ketika muda remaja
Kini berusia lebih daripada 2,000 tahun, Xin Zhui atau juga dikenali sebagai Lady Dai adalah wanita dari zaman dinasti Han (206 BC - 220 AD) yang telah diawet.
Dia diiktiraf secara meluas sebagai mumia manusia yang paling terpelihara dalam sejarah.
Xin Zhui ditemui pada tahun 1971 apabila para pekerja menggali dekat dengan kawasan perlindungan serangan udara berhampiran Changsha, China di mana mereka terjumpa makamnya yang tersangat besar.
Makam bawah tanahnya yang seperti gua itu mengandungi lebih daripada 1,000 artifak berharga, termasuklah cermin solek, peralatan dandanan, beratus-ratus unit pasu dan piring serta 162 ukiran kayu mewakili orang suruhannya.
Malah, hidangan makanan juga disediakan untuk dimakan oleh Xin Zhui di kehidupan selepas matinya.
Walaupun struktur rumit kubunya itu sangat mengagumkan kerana masih bertahan setelah hampir 2,000 tahun sejak ia dibina, apa yang lebih mengejutkan para penyelidik adalah keadaan fizikal Xin Zhui.
Ketika dia digali keluar, dia dilaporkan memiliki kulit yang terpelihara seperti orang hidup. Kulitnya masih lembut apabila disentuh dengan rasa lembap dan kenyal.
Rambut aslinya masih terletak elok di kepala, termasuk dengan bulu hidung, bulu kening dan bulu mata.
Para saintis melakukan autopsi yang mana mereka mendapati bahawa mayatnya yang mati pada tahun 163 BC itu berada dalam keadaan serupa dengan manusia yang baru sahaja meninggal dunia.
Namun, mayat Xin Zhui yang diawet itu mula memburuk apabila oksigen di udara mengenainya. Maka, imej mayat Xin Zhui yang dilihat pada hari ini bukanlah seperti mana ketika penemuan awal.
Malah, para penyelidik mendapati bahawa semua organ Xin Zhui masih utuh dan pembuluh darahnya masih mengandungi darah jenis A.
Gumpalan darah turut ditemui yang mendedahkan penyebab kepada kematiannya iaitu serangan jantung.
Pelbagai jenis penyakit lain ditemui di seluruh badan Xin Zhui termasuklah batu karang, tinggi kolestrol, tekanan darah tinggi dan penyakit hati.
Ketika mayatnya diperiksa, pakar patologi menemui 138 biji buah tembikai di dalam perut dan ususnya.
Biasanya biji-biji ini mengambil masa 1 jam untuk dihadamkan, jadi mereka beranggapan bahawa buah tembikai adalah makanan terakhinya sebelum diserang sakit jantung.
Bagaimana mumia ini terpelihara dengan sangat baik?
Para penyelidik mengatakan mumia ini terpelihara dengan sangat baik disebabkan oleh ketelitian pembinaan kubur dan keadaannya yang tersangat kedap udara.
Disemadikan 12 meter di bawah tanah, Xin Zhui dimasukkan ke dalam keranda yang paling kecil daripada 4 buah keranda.
Setiap keranda ini dimasukkan ke dalam keranda yang lebih besar, membuatkan keranda berisi mayat Xin Zhui berada di kedudukan paling dalam.
Dia dibalut dengan dua puluh lapisan kain sutera dan mayatnya ditemui di dalam hampir 80 liter cecair yang tidak dapat dikenal pasti. Setelah diuji, cecair tersebut mempunyai elemen asid dan terdapat kesan magnesium.
Satu lapisan tebal tanah ditempelkan di lantai dan keseluruhannya dipenuhi dengan arang yang menyerap kelembapan lalu ditutup dengan tanah liat.
Semua ini menghalang oksigen dan bakteria yang menyebabkan kerosakan daripada memasuki ruang kubur.
Bahagian atas kubur pula ditutup dengan lapisan tanah liat setebal hampir 1 meter, menghalang air daripada menembusi struktur tersebut.
Walaupun pelbagai perkara mengenai kubur dan kematian Xin Zhui diketahui, namun kisah kehidupannya tidak begitu jelas.
Apa yang diketahui adalah Lady Dai adalah merupakan isteri kepada seorang pegawai Han berpangkat tinggi iaitu Li Cang dan meninggal ketika berusia 50 tahun.
Serangan jantung yang membunuhnya dipercayai disebabkan oleh obesiti, kurang bersenam dan diet mewah yang terlalu mengenyangkan.
Namun, mayatnya telah menjadi mayat yang terpelihara dalam keadaan yang terbaik dalam sejarah manusia.
Xin Zhui kini ditempatkan di Muzium Wilayah Hunan dan merupakan calon utama bagi penyelidikan mereka dalam pemuliharaan mayat.
Rujukan:
1.Es Kiz