Sebut sahaja nama Jeff Bezos, boleh dikatakan semua orang mengenalinya. Bagi yang tidak mengetahui, Jeff Bezos adalah pengasas kepada Amazon.com dan syarikat penjelajahan angkasa lepas iaitu Blue Origin. Dia juga beberapa kali dinobatkan sebagai individu paling kaya di dunia pada hari ini.
Mungkin ramai mengetahui kisah kejayaan Bezos tetapi terdapat banyak lagi fakta menarik tentang lelaki ini yang kurang diketahui umum. Berikut adalah beberapa fakta mengenai Jeff Bezos.
1. Bapa kandung tidak kenal Jeff Bezos sehingga 2013
BESARKAN TEKS A- A+
Jeff Bezos dan bapa kandungnya, Ted Jorgensen
Dia dilahirkan sebagai Jeffrey Preston Jorgensen pada 12 Januari 1964 kepada pasangan Ted Jorgensen dan Jacklyn Gise Jorgensen. Ibu bapanya bercerai ketika Jeff berusia setahun. Ibunya kemudian berkahwin dengan lelaki bernama Miguel "Mike" Bezos dan berpindah ke Houston, Texas.
Ted Jorgensen terputus hubungan dengan bekas isteri dan anaknya selepas bercerai. Ted sudah lupa nama sebenar anaknya dan tidak tahu bahawa anaknya masih hidup atau tidak. Dia hanya mengetahui bahawa Jeff Bezos adalah anak kandungnya apabila seorang wartawan datang untuk mewawancaranya pada 2013.
2. Minat mencipta sejak kecil
Sejak kecil, Bezos suka bereksperimentasi. Dia pernah membina hoverkraf menggunakan mesin penyedut habuk dan alat memasak solar menggunakan payung yang disaluti kertas aluminium.
Bezos juga pernah menghasilkan mainan infinity cube sendiri kerana ibunya tidak mampu membelikan untuknya. Bagi mengelak daripada adik-adik tiri memasuki biliknya, Bezos mencipta sistem penggera elektrik sendiri.
3. Belajar ilmu perniagaan daripada datuknya
Jeff Bezos ketika berusia 5 tahun dan datuknya, Lawrence Preston Gise
Bapa kepada ibu Bezos iaitu Lawrence Preston Gise adalah pengarah Suruhanjaya Tenaga Atom Amerika Syarikat di Albuquerque. Dia bersara awal dan menghabiskan hidupnya di ladang keluarga di Cotulla, Texas. Jeff sering menghabiskan cuti sekolahnya bersama datuknya dari usia empat hingga 16 tahun.
Datuknya banyak mengajarkan Bezos mengenai selok-belok dunia perniagaan. Datuknya juga pandai membaiki sendiri peralatan yang rosak di ladang. Jeff Bezos dan datuknya pernah membina sendiri sebuah rumah di ladang itu.
4. Pernah bekerja di McDonald's
Ketika berusia 16 tahun, Bezos pernah bekerja di McDonald's. Di situlah dia belajar bagaimana bekerja di bawah tekanan apabila terpaksa berhadapan dengan pelanggan yang ramai.
Bezos begitu kagum dengan pelbagai peralatan automatik yang digunakan restoran makanan segera itu untuk menyediakan makanan. Perkara ini mendorong Bezos dalam minatnya terhadap inovasi teknologi.
5. Guna beberapa nama sebelum Amazon.com
Ketika berusia 29 tahun, Bezos berhenti kerja di sebuah firma dana untuk menjual ebook dan menamakan laman webnya sebagai "Relentless.com". Namun, rakan-rakannya mendapati nama itu agak "kasar" jadi Bezos menukarkannya kepada "Cadabra" iaitu singkatan kepada "Abracadabra".
Kemudian, Bezos menukar pula nama Cadabra kepada Amazon. Dia mahukan nama yang bermula dengan huruf "A" kerana Yahoo ketika itu menyusun hasil cariannya mengikut abjad. Bezos masih menyimpan domain "Relentless.com" dan jika ditaip, ia akan membawa terus kepada Amazon.com.
6. Beli The Washington Post guna wang tunai
Pada 2013, Jeff Bezos telah membeli syarikat akhbar The Washington Post dengan harga USD 250 juta secara tunai melalui anak syarikatnya iaitu Nash Holdings.
Dia merombak semula akhbar itu dan mengoptimumkan media digital dan platform mudah alihnya. Selepas tiga tahun membelinya, kelihatan peningkatan pada pembaca atas talian dan syarikat itu mula membuat keuntungan pertama sejak dibeli Bezos.
7. Untung USD 6.24 bilion dalam masa 5 minit
Pada 10 Oktober 2017, Amazon mengumumkan pendapatan suku ketiga mereka. Pada jam 4.00 petang apabila pasaran saham Amerika ditutup, saham Amazon didagangkan pada USD 972 seunit. Dalam masa lima minit sahaja, saham Amazon melonjak kepada USD 1,041.15.
Bagi Bezos yang memiliki 17% pegangan saham Amazon, ini bermakna dia mendapat keuntungan bernilai USD 6.24 bilion dalam masa hanya lima minit sahaja. Lima bulan kemudian pada 6 Mac 2018, Bezos dinamakan sebagai individu paling kaya di dunia.
8. Dinamakan sebagai "Boss Paling Teruk Dunia"
Salah satu gudang Amazon
Walaupun berjaya dan sangat kaya, Bezos juga mendapat pengiktirafan yang tidak disenangi. Dalam Kongres Dunia ITUC (International Trade Union Confederation) yang berlangsung di Berlin pada 2014, Bezos telah diundi sebagai boss paling teruk di dunia daripada 9 pencalonan.
ITUC mewakili kepentingan seramai 180 juta pekerja dari 161 negara. Syarikat Amazon sering dilaporkan melayan pekerja dengan secara tidak sepatutnya dan hanya mementingkan keuntungan berbanding kebajikan.
9. Mencipta "Jam 10,000 Tahun"
Jeff Bezos menebuk sebuah gunung di Texas Barat dan menyimpan "Jam 10,000 Tahun" di dalamnya. Jentera ikonik itu adalah idea daripada Jeff Bezos dan Danny Hillis. Jam ini hanya akan berdetik setahun sekali dan berbunyi setiap 1000 tahun.
Bezos juga membina lima bilik di dalam gunung itu bagi meraikan ulang tahun jam itu yang pertama, ke-10, ke-100, ke-1,000 dan ke-10,000. Bilik pertama dihiasi dengan model sistem suria manakala bilik kedua masih dalam perancangan. Jeff Bezos meninggalkan tiga bilik terakhir untuk dihiasi generasi akan datang.
10. Berlakon filem Star Trek
Jeff Bezos (kanan) dalam filem Star Trek Beyond
Jeff Bezos amat meminati Star Trek. Berlakon di dalam filem atau siri itu merupakan salah satu impiannya. Ia menjadi kenyataan apabila Jeff Bezos diundang menjadi pelakon sampingan dalam filem Star Trek Beyond (2016) sebagai salah seorang pegawai alien di Starfleet.
Namun, wajah Bezos sukar dikenali kerana solekan alien yang tebal dikenakan pada wajahnya. Pada minit ke-13 filem itu, Bezos kelihatan pada skrin selama lapan saat dan hanya berkata "Speak normally". Selain Star Trek, Bezos juga pernah menyumbang suaranya untuk kartun Simpson sebagai dirinya sendiri.