Kredit foto: harnas.co
"Sejak arwah tiada, saya langsung tidak boleh lelapkan mata. Pejam sahaja mata, pasti terbayang wajah arwah".
Demikian jawab aktor Zul Ariffin, mengulas kehilangan ibunya, Allahyarham Robiah Nasir, 66, pada 5 Disember lalu akibat serangan jantung .
Katanya, dugaan yang bertimpa datang sebelum ini tiba-tiba hilang apabila diterjah berita pemergian itu.
"Jiwa saya kosong selepas kematian arwah ibu. Selama ini, arwah adalah penguat semangat perjuangan saya, tetapi hari ini, segala-galanya sudah melayang.
"Sejak hari pertama saya berlakon, impian saya hanya mahu membuatkan arwah ibu berbangga dengan pencapaian saya. Alhamdulillah, arwah sempat melihatnya.
"Ketika ini, banyak tawaran yang terpaksa saya ketepikan kerana saya seperti hilang arah tuju. Saya benar-benar rasa kehilangan. Di hadapan orang, saya mungkin masih boleh tersenyum dan tenang, sebaliknya jauh di sudut hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Jiwa saya memang tidak tentu arah ketika ini," katanya dalam laporan portal BH Plus.
5 Disember lalu, peminat dunia hiburan digemparkan dengan berita pemergian ibu Zul yang dilapor menerusi status kelab peminatnya, Zul Ariffin FC di laman Instagram, yang berbunyi:
"Kami akan sentiasa mengingati Allahyarham sebagai insan yang sangat positif, bertenaga dan menyokong. Sama-sama berdoa dan moga Allahyarham berada di tempat yang baik."
Robiah Nasir meninggal dunia sekitar jam 3.40 pagi hingga 4 pagi akibat serangan jantung di kediaman anak perempuannya, iaitu kakak kepada Zul yang bertempat di Sungai Penchala, Damansara.
Antara kenangan termanis anak-beranak ini adalah apabila mereka sama-sama menghadiri Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Mei lalu yang menyaksikan Zul merangkul trofi Pelakon Filem Lelaki Popular.
Kredit foto: Instagram Zul Ariffin FC
Masih dibelenggu kenangan bersama, Zul akui sukar untuknya melelapkan mata kebelakangan ini.
"Mungkin saya menyimpan rasa terkilan kerana tidak sempat bersama arwah pada saat beliau menghembuskan nafas terakhir. Ketika saya tiba, arwah sudah tutup mata. Ia sangat memberi kesan pada jiwa saya," katanya sebak.
Zul bagaimanapun berjaya memujuk hati tatkala mengenangkan detik-detik terakhir diluangkan bersama arwah beberapa hari sebelum beliau pergi.
"Saya bersyukur sempat berbual panjang dan keluar bersama arwah beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Entah kenapa saya tergerak hati memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan kepadanya. Saya memberitahu perancangan mengajaknya bercuti ke Dubai, seterusnya menunaikan umrah di Makkah, bulan depan.
"Kami berjalan sambil berpimpin tangan, saya ajak arwah ronda-ronda. Saya tengok arwah gembira sangat. Bagaimanapun, siapa sangka, itu pertemuan kami yang terakhir.
"Hasrat saya mahu membawa ibu ke Dubai dan menunaikan umrah tidak kesampaian. Saya terbang juga ke Dubai untuk membawa hati dengan ditemani abang angkat dan keluarganya. Insya-Allah, bulan depan saya menunaikan umrah," katanya.
Sumber berita: BH Plus