Pada Mei 1962, Majlis Perbandaran Centralia, Pennsylvania telah mengadakan mesyuarat mengenai tapak pelupusan sampah di bandar itu. Pihak berkuasa tempatan sebelum itu telah membina sebuah tempat pelupusan sampahnya berukuran 300 kaki lebar, 70 kaki panjang dan 50 kaki dalam. Ia dibina bagi mengatasi masalah pembuangan sampah haram yang berleluasa.
BESARKAN TEKS A- A+
Motif perbincangan itu ialah bagaimana untuk membersihkan tapak pelupusan yang hampir penuh itu, sebelum tibanya perayaan tahunan Hari Peringatan bandar itu. Dalam mesyuarat itu, satu kata putus telah diperolehi — membakar semua sampah di tapak pelupusan itu.
Pada mulanya, rancangan itu nampaknya berjaya. Lubang besar itu ditutupi dengan bahan-bahan yang tidak mudah terbakar untuk mengelakkan api daripada merebak. Pembakaran dimulakan pada waktu malam 27 Mei 1962. Setelah kesemua sampah telah dibakar, air digunakan untuk memadamkan api.
Namun, dua hari kemudian pada 29hb, api telah kelihatan semula. Begitu juga seminggu kemudian pada 4 Jun. Pihak bomba Centralia bingung dari mana api itu muncul. Mereka menggunakan jentolak untuk meratakan sampah untuk mencari punca kebakaran.
Akhirnya punca kebakaran ditemui
Pada dasar tapak pelupusan itu, terdapat satu lubang berukuran 15 kaki lebar dan beberapa kaki dalam. Disebabkan ia dipenuhi sampah, mereka tidak dapat menutup lubang itu dengan betul menggunakan bahan kawalan tidak mudah terbakar sebelum menyalakan api.
Lebih memburukkan lagi keadaan, lubang kecil yang terbakar itu telah membentuk satu laluan terus kepada terowong arang batu lama, di mana bandar Centralia telah dibina di atasnya.
Penduduk mula mengadu tercium bau busuk yang memasuki rumah serta premis perniagaan mereka. Tidak lama selepas itu, kepulan asap pula mula dilihat keluar dari tanah tempat pelupusan sampah itu.
Pihak majlis perbandaran telah memanggil seorang pegawai pemeriksa lombong untuk melihat keadaan itu. Pegawai itu telah mengenalpasti kehadiran kandungan karbon monoksida yang menyebabkan lombong itu terbakar.
Apabila majlis perbandaran tidak mahu mendedahkan perkara sebenar kerana telah melakukan pembakaran sampah tidak sah, maka mereka menghantar surat kepada Syarikat Perlombongan Lehigh Valley dengan menyatakan "api yang tidak dikenalpasti" sedang terbakar di bawah bandar mereka.
Akhirnya, pihak perbandaran, Syarikat Perlombongan Lehigh Valley dan Syarikat Perlombongan Susquehanna yang bertanggungjawab terhadap lombong itu telah mengadakan perjumpaan untuk membincangkan bagaimanakah cara untuk memadamkan api dengan berkesan.
Akan tetapi, sebelum perbincangan di antara mereka mendapat kata putus, tahap kandungan karbon monoksida yang merbahaya telahpun dikesan meresap ke dalam lombong. Kesemua lombong di kawasan bandar Centralia diarahkan tutup serta merta.
Dua projek dijalankan untuk memadam api, namun kedua-duanya gagal
Projek pertama melibatkan penggalian. Rancangannya adalah untuk menggali parit-parit dalam tanah supaya api itu terdedah keluar dan dipadamkan. Namun, jurutera rancangan ini telah tersalah kira jumlah tanah yang perlu digali melebihi separuh anggaran sehingga kehabisan dana.
Projek kedua pula dengan memadamkan api menggunakan bahan campuran batu hancur dan air. Rancangan ini dilihat boleh berjaya tetapi digagalkan oleh cuaca sejuk yang melanda kawasan bandar ini. Suhu beku menyebabkan paip saliran air membeku dan mesin penghancur batu juga tidak dapat berfungsi.
Syarikat itu juga bimbang jika jumlah bahan campuran yang mereka ada tidak mencukupi untuk memenuhi kesemua laluan lombong itu. Akhirnya mereka hanya berjaya menutupi separuh sahaja dan meninggalkan ruang untuk api terus menyala.
Akhirnya projek itu juga kehabisan dana malah terlebih belanja sebanyak RM 83,000, jumlah yang agak besar pada tahun 1962. Pada ketika itu api sudahpun merebak sepanjang 700 kaki.
Pada saat itu, kos untuk memadamkan api sudahpun menjadi terlalu tinggi. Kajian pakar mendapati jumlah arang yang terdapat di bawah bandar Centralia itu cukup untuk membuatkan api itu menyala selama 250 tahun lagi.
Kini, bandar itu tidak berpenghuni lagi. Pada tahun 1980, kerajaan Amerika telah membelanjakan sebanyak RM 174 juta bagi memindahkan dan menempatkan semula penduduk bandar itu ke suatu tempat di negeri lain serta merobohkan rumah yang ada di Centralia.
Setelah 56 tahun kejadian itu berlaku, permukaan tanah dan jalan telah merekah dan mengeluarkan kepulan asap gas sulfur. Begitu juga jalanraya yang meliputi bandar ini, ia masih panas jika dipegang.
Bandar ini menjadi inspirasi permainan video "Silent Hill"
Permainan video seram terkenal iaitu Silent Hill yang berkisarkan bandar tinggal dengan kabus yang tebal dikatakan diinspirasikan menyerupai bandar Centralia.
Lebuhraya utama Centralia iaitu Route 61 telah ditutup kerana ia mengalami rekahan yang berterusan dan mengeluarkan kepulan asap, sama seperti gambaran di dalam Silent Hill. Bukan itu sahaja, malah gereja di dalam permainan video ini juga hampir sama dengan gereja di bandar Centralia.
Rujukan :