Pendatang baharu, Wany Hasrita menjadi antara penyanyi yang bakal berentap di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), bakal berlangsung pada 11 Februari ini di Axiata, Bukit Jalil.

Bercakap tentang perasaannya, Wany akui berasa gementar mengenangkan pengalaman pertama di acara hiburan berskala besar itu.

Ekoran itu, beliau mula melatih diri menerusi persiapan intensif yang memberi fokus kepada kualiti vokal dan stamina agar kekal baik menuju ke malam pertandingan.

wany hasrita menghitung hari 2

“Dari segi persembahan, saya serahkan kepada syarikat rakaman, termasuk aspek baju dan konsep. Pada masa sama, kami juga berbincang dengan pencipta lagu. Saya akan cuba lakukan yang terbaik. Memang sudah muda rasa takut. Malah, bila hari kian dekat, buat saya rasa semakin tertekan,” kata Wany memetik laporan Sinar Harian.

Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media AJL32 yang berlangsung di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Cheras, Kuala Lumpur yang bernaung di bawah label Fantasia Music City (FMC) ini berkata, dia sedang sibuk melaksanakan rangka promosi single terkininya, Rintihan Rindu.

Meskipun masih mengekalkan genre sama dengan single sulungnya, Wany merasakan melodi kali ini lebih matang.

“Rintihan Rindu satu perkembangan yang baik. Saya mulai kenal suara sendiri dan muziknya juga lebih matang dan punya variasi,” kata Wany.

Dalam masa sama, beliau meluahkan rasa gembira menerima perkhabaran jumlah tontonan lagu itu di Youtube yang mencecah 7 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.

Kredit foto: Instagram Wany Hasrita

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)