Kredit foto: Instagram Wany Hasrita
Lagu terbaharu nyanyian Wany Hasrita berjudul 'Ewah Ewah' dilihat ramai seakan berjaya mengembalikan nostalgia kegemilangan genre Irama Malaysia.
Lagu ciptaan Pak Ngah dan lirik oleh Siso itu bukan sahaja sebuah karya yang enak di pendengaran, malah diterima baik netizen memandangkan ia kini trending nombor dua di laman Youtube sejak dimuatnaik pada 4 Mac lalu.
Sehingga kini muzik videonya sudah ditonton lebih 720,000 pelayar laman berkenaan.
"Sekali dengar macam Siti, dua kali dengar macam nasyid, tiga kali dengar macam lagu raya, empat kali dengan macam 'best'! Sudah lama tiada artis buat lagu Irama Malaysia.
"Wany Hasrita kembalikan irama Malaysia pada 2018. Selamat kembali Irama Malaysia!
"Teringat zaman-zaman Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Siti Nordiana, Syura yang popular dengan lagu Irama Malaysia," cetus beberapa netizen menerusi ruangan komen.
Pun begitu, ada juga yang menyamakan karya berkenaan dengan beberapa lagu Irama Malaysia yang pernah meletup di era lalu.
"Bila dengar lagu ini tak tahu kenapa teringat Zehra Zambri lagu Semalakama versi Anugerah Juara Lagu," tulis seorang individu.
Apapun, eksperimen Wany, Pak Ngah dan Siso membuat kelainan berbeza daripada kelompok semasa, wajar dipuji kerana bukan sahaja berani mengambil risiko, malah turut membuahkan hasil yang mengagumkan.
Ia merupakan lagu Irama Malaysia sulung dendangan Wany selepas tiga single balada terdahulu iaitu Menahan Rindu, Disana Cinta Disini Rindu (duet bersama Tajul) dan Rintihan Rindu.