Kim Malek pernah bekerja di Starbucks ketika belajar di kolej sebagai seorang barista, membancuh kopi bagi menyara hidup ketika bergelar pelajar. Selepas tamat belajar dengan segulung ijazah, beliau kembali menyambung pekerjaan dalam jawatan bahagian pemasaran di Starbucks.
Pada ketika itu, Starbucks hanya mempunyai 30 cawangan di seluruh Amerika. Boleh dikira kecil.
BESARKAN TEKS A- A+
Permulaan
Ibu bapa beliau risau kerana merasakan pekerjaan yang beliau perolehi pada ketika itu tidak berapa menjamin masa depan, apatah lagi ketika itu, Starbucks bukanlah sebuah rangkaian kopi yang terkenal.
"Saya hanya mampu kata pada ibu bapa saya, memang saya bekerja dengan syarikat kedai kopi yang tak terkenal, tetapi saya percaya yang Starbucks akan besar satu hari nanti," kata Kim ketika diminta menceritakan pengalaman beliau.
Kim Malek masih lagi teringat bagaimana Howard Schultz, CEO pengasas Starbucks sebelum Starbucks, menjalankan model perniagaannya.
"Saya ketika itu masih bekerja sebagai barista (ketika belajar) dan kami yang di kira sebagai pekerja bawahan pun diberikan peluang untuk bermesyuarat dengan beliau pada ketika itu. Howard memang dari awal lagi model perniagaannya sama, orang ramai, pelanggan dan pekerja nombor satu."
Sambung Kim lagi, "Starbucks pada masa itu yang amat menekankan asas perniagaan adalah orang ramai, membuatkan saya yakin untuk terus kekal dengan Starbucks."
"Setiap kali ibu bapa saya persoalkan kerjaya saya pada masa itu (selepas tamat pelajaran), saya hanya jawab yang saya benar-benar percaya dengan idea dan visi Howard Schultz," kata beliau.
Idea Gila
Sekitar 2009, sepupu Kim bernama Tyler Malek, yang baru dipecat kerana 'terlalu baik' untuk jadi penjual kereta, mendapat idea ketika merebus daging di rumahnya. Lemak yang terkumpul hasil rebusan daging itu mempunyai rasa yang unik. Tyler mendapat idea gila; tukarkan rasa lemak daging itu kepada bentuk ais krim.
Tyler menyampaikan idea beliau kepada Kim, yang pada ketika itu sudah berumur 40 tahun dan sedang merangkak mahu memulakan perniagaan sendiri. Kim mempunyai senarai portfolio yang membuktikan beliau adalah pakar pemasaran yang dipenuhi pengalaman bekerja dengan pelbagai syarikat berstatus Fortune 500. Pada ketika itu, Kim berkhidmat sebagai Pengarah Pemasaran syarikat (RED), kelolaan legenda rock, Bono, vokalis kumpulan U2. Kim memang memasang impian untuk mempunyai kedai ais krim sendiri sejak muda tapi impiannya belum pernah dikejar secara serius tetapi situasi pekerjaan beliau ketika itu memaksa beliau mengambil serius idea gila sepupunya.
Idea Tyler memang berbunyi gila; dia menghantar 60 idea resipi ais krim berperisa hati dan sirap mapel, licorice (sejenis gula-gula) dan yang penting, ais krim berperisa sum-sum tulang kepada Kim.
"Ais krim perisa sum-sum tulang?" soal Kim.
Tyler merayu Kim untuk meneruskan idea gila beliau.
Permulaan Perniagaan
Pada awal 2011, oleh kerana berlaku kelambatan pada proses renovasi kedai mereka, Kim dan Tyler mula berniaga dengan menggunakan gerai tolak, menjual ais krim menggunakan jenama Salt & Straw dengan perasa-perasa ganjil dan bahan-bahan yang wajib diperolehi dari pembekal tempatan Portland.
Perniagaan mereka meletup kerana model perniagaan yang unik menarik minat orang ramai. Ais krim mereka dibuat tanpa ada perisa yang tetap dan dibuat dalam kuantiti yang terhad. Antara perisa yang dah dikeluarkan adalah ais krim perisa ayam belanda berkaramel, bir dan bakon serta ais krim berperisa keju.
Setiap hari tidak ada perisa yang sama dan pelanggan hanya tahu apa jenis perisa yang akan dijual pada hari itu. Itu tidak menghalang pelanggan berbaris panjang untuk membeli, sehinggalah larut malam.
Bertapaknya Salt & Straw
Salt & Straw berhenti menjual menggunakan gerai tolak pada Ogos 2011 dan memulakan perniagaan di premis pertama mereka. Pada April 2012, mereka berjaya membuka cawangan kedua juga di Portland. Cawangan ketiga di Los Angeles dibuka tidak lama kemudian untuk memenuhi permintaan orang ramai di sana.
Salt & Straw akhirnya diangkat sebagai salah satu tempat yang perlu dilawati jika pelancong melawat Portland hanya untuk menikmati keunikan ais krim yang senantiasa berubah-ubah.
Rahsia Perniagaan
Apabila ditanya apa rahsia perniagaan beliau, Kim Malek menyebut yang semua ini bukan datang dengan mudah.
Hanya selepas 15 tahun bekerja dan belajar baru dia berjaya memenuhi impiannya mempunyai perniagaan sendiri. Semua ini katanya berpunca dari pengalamannya bekerja menaikkan Starbucks daripada 30 cawangan kepada lebih 3 ribu cawangan di seluruh dunia.
"Saya masih lagi mengamalkan apa yang saya pelajari dari Starbucks di Salt & Straw. Kami memperkenalkan faedah-faedah yang diberi oleh Starbucks pada pekerjanya; 3 bulan cuti bersalin dan cuti kepada ayah, insurans kesihatan termasuklah untuk pekerja separuh masa dan program untuk melatih pekerja supaya boleh memimpin."
"Kami takut pada awalnya nak perkenalkan faedah-faedah ini kerana kami tak pasti perniagaan kami akan berjaya, tapi kami tetap teruskan kerana pada saya, ini adalah asas kepada perniagaan yang perlu diwujudkan sebagai tapak model perniagaan kami."
Nasib Menyebelahi
Ditanya mengapa beliau begitu berani meninggalkan pekerjaan dengan gaji enam angka bersama Bono, Kim mengakui yang beliau diminta bertukar lokasi ke New York, membuatkan beliau berat hati untuk berpindah. Atas dorongan suaminya, beliau mula serius hendak memulakan perniagaan ais krim sehingga sanggup mengeluarkan wang 401K beliau (seperti KWSP di negara kita) kerana gagal mendapatkan pinjaman untuk perniagaan.
Ketika masih lagi meniaga menggunakan gerai, salah seorang wartawan Wall Street Hournal meminta kebenaran untuk melakukan reviu terhadap ais krim mereka, yang kemudiannya diterbitkan dalam suratkhabar berprestij itu.
Tidak lama selepas itu, Kim mendapat panggilan dari O Magazine milik pengacara televisyen terkenal dunia, Oprah Winfrey untuk dimasukkan ke dalam salah satu segmen dalam majalah O. Semenjak itu seluruh Amerika tahu tentang keunikan ais krim Salt & Straw ini.
Ikon Bandar Portland
Bermula dari situ, nasib Salt & Straw berubah dengan barisan panjang pelanggan beratur dengan sabar, menjadi sesuatu pemandangan yang sinonim dengan model perniagaan mereka."Di Starbucks, jika ada pelanggan beratur, itu menandakan servis kami tak cukup bagus, tapi saya terpaksa terima dengan jumlah pekerja yang ada, Salt & Straw belum mampu mengambil tahap kecekapan sama seperti Starbucks lagi," kata Kim.
Semua bahan-bahan dalam ais krim mereka dibeli daripada pembekal-pembekal tempatan yang membantu mencipta hubungan rapat di antara Salt & Straw serta komuniti di situ.Ini membuatkan Salt & Straw kini menjadi salah satu ikon wajib dilawati di bandar Portland, Oregon untuk menikmati keunikan rasa ais krim yang besar kemungkinan janggal untuk didengari.